Empat menteri – Encik Jeffrey Siow, Encik David Neo, Encik Ng Chee Meng, dan Cik Sim Ann – telah mengangkat sumpah sebagai Menteri penuh dalam satu upacara yang dirasmikan oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam di Istana pada 27 Julai.

Upacara tersebut turut dihadiri Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, yang baru-baru ini telah mengumumkan barisan Kabinet baharunya pada 22 Julai di sidang media yang diadakan di Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI).

Dalam Kabinet baharu ini, Encik Siow kini dinaikkan pangkat sebagai Menteri Pengangkutan merangkap Menteri Kedua Kewangan.

Encik David Neo pula dirasmikan sebagai Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Kedua Pendidikan.

Sementara itu, Encik Ng, yang merupakan AP Jalan Kayu merangkap Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), akan menyertai pemerintah sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO).

Turut dinaikkan pangkat juga ialah Cik Sim Ann sebagai Menteri Kedua (Ehwal Luar merangkap Ehwal Dalam Negeri).

Di sidang media pada 22 Julai, Encik Wong turut mengumumkan Encik Zaqy Mohamad sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam merangkap Menteri Negara Kanan (Pertahanan).

Beliau turut mengumumkan pelantikan Encik Zhulkarnain Abdul Rahim sebagai Menteri Negara (Ehwal Dalam Negeri merangkap Ehwal Luar).