Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Elaun tutor Mendaki akan dinaikkan

Insentif kewangan $300-$1,200 setahun akan turut ditawar
Nov 28, 2022 | 5:30 AM
SUMBANGAN TUTOR DIIKTIRAF: Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad menyampaikan Anugerah Sumbangan Terbaik kepada salah seorang penerima, pendidik dan tutor MTS sepanjang sembilan tahun, Encik Muhammad Jailani Abu Talib ketika acara penyampaian Anugerah Tutor Mendaki di HomeTeamNS Khatib. - Foto MENDAKI
SUMBANGAN TUTOR DIIKTIRAF: Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad menyampaikan Anugerah Sumbangan Terbaik kepada salah seorang penerima, pendidik dan tutor MTS sepanjang sembilan tahun, Encik Muhammad Jailani Abu Talib ketika acara penyampaian Anugerah Tutor Mendaki di HomeTeamNS Khatib. - Foto MENDAKI -

ELAUN bagi tutor di bawah Skim Tuisyen Mendaki (MTS) akan dinaikkan sebanyak 20 peratus daripada $50 sejam kepada $60 sejam mulai 1 Januari tahun depan.

Yayasan Mendaki juga akan memberi insentif kewangan antara $300 dengan $1,200 setiap tahun mulai tarikh itu kepada tutor yang berupaya menggalak pelajar mereka menghadiri kelas MTS secara konsisten serta mencapai keputusan yang baik dalam pelajaran mereka.

Demikian diumumkan Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Tenaga Manusia), Encik Zaqy Mohamad dalam ucapannya ketika acara penyampaian Anugerah Tutor Mendaki yang berlangsung di HomeTeamNS Khatib.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Mendaki berkata, menerusi penambahan gaji dan insentif itu, ia akan menggalak para tutor mengekalkan kehadiran pelajar dalam bilik darjah dengan baik.

Sekitar 51 tutor dan kakitangan MTS telah menerima Anugerah Tutor Mendaki sewaktu acara itu yang dihadiri seramai 130 tutor MTS, ketua tutor, penyelia pusat dan rakan berkepentinan Mendaki.

Bilangan itu merupakan peningkatan 50 peratus berbanding 2021.

Encik Zaqy berkata ketika beliau mendekati tutor MTS, terdapat ramai tutor yang telah mendidik pelajar yang sama sepanjang tempoh yang berpanjangan, lantas membolehkan mereka membina hubungan rapat bersama pelajar mereka.

"Tutor MTS memainkan peranan yang penting dalam kehidupan pelajar kami, kebajikan emosional serta pembangunan holistik mereka," kata Encik Zaqy.

"Lantaran ini, Mendaki akan melakukan lebih untuk menenal pasti dan mengiktiraf para tutor sedemikian termasuk mereka yang telah melakukan lebih daripada yang diperlukan (untuk pelajar mereka)," katanya, kelmarin.

Mendaki yang menyambut ulang tahunnya ke-40 tahun ini telah memberi manfaat kepada lebih suku juta pelajar menerusi MTS yang diperkenal sebagai program utama yayasan itu sejak 1982.

Encik Zaqy juga berkata, disebabkan permintaan tinggi, Mendaki telah merekrut tambahan 100 tutor tahun ini untuk melaksanakan kelas secara dalam talian menerusi pusat virtual MTS.

Terdapat tujuh pusat alam maya itu disediakan tahun ini yang menawarkan tuisyen dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.

Ia diperkenal menyusuli permintaan pelajar dan tutor yang menginginkan wadah alternatif bagi menghadiri dan menyampaikan kelas tuisyen pasca Covid-19.

Lebih 1,000 pelajar telah meminta agar dapat berbuat demikian tahun ini, kata Encik Zaqy, dan disebabkan permintaan tinggi, subjek lain seperti Biologi juga bakal ditawar jika terdapat permintaan.

Antara perkembangan lain, Encik Zaqy berkata, beliau bersama Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Mendaki, Cik Zuraidah Abdullah telah mendekati seramai 50 tutor MTS untuk mendapatkan idea baru bagi mempertingkat kaedah pembelajaran bagi pelajar.

Beliau berkata Mendaki akan lebih bekerjasama dengan tutor MTS untuk menghasilkan strategi dalam bidang pengurusan korikulum dan pelajar.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg