Edisi kedua Siri Kompilasi Fatwa, bertajuk ‘Fatwa Singapura: Pewarisan, Perancangan Harta dan Pembahagian’ dilancarkan semasa Persidangan Fatwa dalam Masyarakat Kontemporari yang dianjurkan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) selama dua hari dari 2 hingga 3 Februari.
Ia mengandungi himpunan fatwa yang memberi panduan mengenai bidang tertentu dan menangani pelbagai isu yang dihadapi masyarakat Islam Singapura.
Kompilasi itu turut menawarkan analisis menyeluruh terhadap fatwa yang dikeluarkan dan ketengahkan bagaimana tafsiran sumber agama klasik berinteraksi dengan konteks sosio-agama dalam pengeluaran fatwa tersebut.
Dalam siri kedua, fokus diberikan terhadap isu berkaitan pewarisan, perancangan dan pembahagian harta, kata Muis.
Edisi pertama kompilasi fatwa dilancarkan pada Persidangan Fatwa dalam Masyarakat Kontemporari pertama yang diadakan pada 2017.
Edisi tersebut memberi tumpuan kepada fatwa-fatwa berkaitan sains, perubatan dan kesihatan.
Selain pelancaran kompilasi fatwa tersebut, persidangan fatwa kali ini akan ketengahkan pembentangan ucaptama oleh Mufti Dr Nazirudin Mohd Nasir, serta ulama antarabangsa, termasuk Mufti Besar Mesir, Profesor Dr Shawki Ibrahim Abdel Karim Allam; anggota Majlis Fatwa Amiriah Arab Bersatu (UAE), Profesor Dr Amany Lubis; dan Setiausaha Agung Akademi Fiqh Islam Antarabangsa, Profesor Dr Koutob Moustapha Sano.
Persidangan itu juga akan mempamerkan pelbagai projek dan penemuan oleh pasukan penyelidik di bawah Projek Fatwa Lab, yang memberi penekanan terhadap empat bidang penyelidikan – kecerdasan buatan, kewangan, teknologi makanan dan teknologi perubatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg