Topik diikuti
Pergi ke BHkuDulu minat helikopter, kini bina dron pula
Bakal uji kemahiran dalam Pertandingan WorldSkills di Shanghai
Dulu minat helikopter, kini bina dron pula
Ketika Encik Shafriel Nur Iman menerima sebuah helikopter mainan daripada ayahnya sempena hari lahirnya yang keenam, tiada siapa yang menyangka ia bakal mencetuskan minat mendalam yang akhirnya membawanya mewakili Singapura dalam pertandingan kemahiran antarabangsa terbesar di dunia.
Beliau akan menguji pengetahuan dan kemahiran dronnya menentang 10 peserta dari negara lain seperti China, Jepun dan Amiriah Arab Bersatu (UAE), dalam Pertandingan WorldSkills (WSC) ke-48 di Shanghai dari 22 hingga 27 September.
Pertandingan itu akan menilai beliau merentasi pelbagai peringkat, termasuk pemasangan, pembaikan, pengaturcaraan dan penerbangan dron sepanjang empat hari, dengan sesi terpanjang berlangsung lebih empat jam.
Ini merupakan kali pertama sistem udara tanpa pemandu (dron) diketengahkan dalam acara tersebut yang merupakan pertandingan pendidikan teknikal dan vokasional terbesar di dunia.
Encik Shafriel, 18 tahun, berkata ayahnya yang bekerja sebagai akauntan mengetahui bahawa beliau meminati penerbangan secara umum, dan sering membelikannya helikopter mainan setiap tahun.
Semasa di tadika, beliau terserempak dengan sebuah simulator penerbangan di dalam kokpit ketika lawatan sekolah ke Singapore Flyer.
Pengalaman itu mencetuskan hasrat dalam dirinya untuk menjadi juruterbang, “kerana pada masa itu saya fikir itulah bahagian terbaik dalam industri penerbangan”, kenangnya.
Kemudian, Encik Shafriel belajar lebih lanjut mengenai dron menerusi sebuah program di sekolah menengahnya, yang membincangkan masa depan pengangkutan.
Ketika meneliti pelbagai jenis kerjaya berkaitan penerbangan, beliau merasakan kerjaya dalam bidang dron amat sesuai dengannya, memandangkan beliau meminati fizik dan matematik – subjek yang berkait rapat dengan aerodinamik, pengekodan dan pengukuran bagi dron.
Kini, beliau merupakan pelajar pengurusan penerbangan di Politeknik Republic (RP), dan mempunyai minat khusus terhadap penggunaan dron dalam sektor keselamatan dan pertahanan.
“Selain dalam peperangan, terdapat juga kegunaan baik (bagi dron) seperti dalam misi pencarian dan penyelamatan, serta pemantauan – dron polis boleh terbang mengatasi kumpulan orang ramai untuk mengesan sebarang kegiatan mencurigakan,” ujar Encik Shafriel.
Beliau bercita-cita untuk mempelajari kejuruteraan aeroangkasa di universiti, dan seterusnya membantu memajukan teknologi dron, seperti meningkatkan tempoh penerbangan peranti tersebut.
Sistem dron kini semakin menonjol dalam pelbagai bidang penggunaan, termasuk ketenteraan, alam sekitar, pemulihan bencana, penilaian infrastruktur dan pemantauan hidupan liar.
