SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

DPPMS sasar 60 perniagaan warisan dibantu laksana AI

DPPMS sasar 60 perniagaan warisan dibantu laksana AI

Apr 2, 2026 | 3:37 PM

DPPMS sasar 60 perniagaan warisan dibantu laksana AI

DPPMS, AI, Abdul Malik Hassan, perniagaan warisan, Pejuang Digital 
Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo (tengah), bersama hadirin bagi acara makan malam gala anjuran SGTech termasuk (dari kanan) Presiden Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Encik Abdul Malik Hassan; Ketua Pegawai Komersial, Perkhidmatan Digital Antarabangsa Singtel, Encik Derrick Heng; Pengurus Besar Singapura di Alibaba Cloud, Encik Andy Lee; Ketua Perniagaan Perusahaan Singapura di Amazon Web Services, Cik Michelle Toh; Pengerusi SGTech, Encik Nicholas Lee; dan Ketua Pegawai Eksekutif Persekutuan Perniagaan Singapura, Encik Kok Ping Soon. - Foto SGTECH

Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS) akan menumpukan perhatiannya kepada perniagaan warisan dan turun-temurun untuk membantu mereka melaksanakan kecerdasan buatan (AI), kata Presiden DPPMS, Encik Abdul Malik Hassan.

Beliau menjelaskan bahawa tumpuan DPPMS adalah pada perniagaan sebegini yang terletak di kawasan Kampong Gelam dan Geylang Serai, namun ia tidak terhad kepada dua kawasan itu sahaja.

Semasa berkongsi maklumat dengan Berita Harian (BH) sebelum acara makan malam gala anjuran SGTech di Pusat Ekspo dan Konvensyen Marina Bay Sands pada 1 April, beliau berkata persatuan itu menyasarkan 100 perniagaan sedemikian untuk didekati dalam masa terdekat. Daripada jumlah itu, 60 akan menerima bantuan penyelesaian AI.

Tambahnya, 10 daripada 60 perniagaan yang dibantu ini kemudian akan dilantik sebagai Pejuang Digital (Digital Champions) untuk memacu lebih banyak perniagaan Melayu/Islam ke arah pelaksanaan AI.

Kenyataan ini dibuat setelah DPPMS diiktiraf sebagai rakan kongsi strategik utama bagi Inisiatif Perusahaan Sedia AI yang baharu di bawah SGTech.

Inisiatif itu dilancarkan oleh Menteri Penerangan dan Pembangunan Digital, Cik Josephine Teo, semasa acara makan malam gala tersebut.

Menurut kenyataan SGTech pada 1 April, ia bertujuan membantu syarikat kecil dan sederhana (SME) mendapatkan lebih banyak bantuan bagi menerapkan AI dalam operasi masing-masing.

Encik Abdul Malik berkata: “Ramai daripada anggota kami memberi maklum balas bahawa mereka tidak mempunyai masa untuk belajar tentang AI.

“Sesetengah daripada mereka juga berpendapat AI akan mengganggu perniagaan mereka walhal ia sebenarnya membantu mereka.

“Pola pemikiran (terhadap AI) belum lagi begitu ketara… jadi kami sedang cuba olah pola pemikiran ini (dalam kalangan anggota syarikat).”

Beliau memberi contoh usaha pemasaran yang dapat dikendalikan oleh wadah AI.

Jika digunakan secara berkesan, ini dapat membantu pengusaha meningkatkan daya produktiviti kerana AI dapat membantu dalam mengolah pemasaran, sekali gus perhatian dapat diberikan kepada aspek perniagaan lain yang lebih utama, tambahnya.

Sehubungan itu, Pengarah Eksekutif DPPMS, Cik Nadiah Hassan, menyifatkan kerjasama dengan SGTech sebagai satu langkah strategik dari segi kepakaran yang diketengahkan SGTech sebagai persatuan teknologi.

SGTech merupakan persatuan teknologi terbesar di Singapura dengan lebih 1,400 anggota syarikat berteraskan teknologi.

Beliau akur bahawa DPPMS bukanlah pakar dalam industri AI jadi kerjasama itu dapat meningkatkan daya usaha mereka untuk membantu peniaga Melayu/Islam mengembangkan kefasihan dan penggunaan AI.

Malah, beliau berkata AI merupakan antara tunjang yang akan mendapat tumpuan persatuan itu dalam dua tahun seterusnya.

“Dalam dunia perniagaan, tiada lagi istilah saya. Kini istilahnya adalah kami – memberi isyarat pentingnya menjalinkan kerjasama.

“Kekuatan kami di DPPMS adalah menggembleng tenaga dan menjalin kerjasama.

“Kami dapat lihat ada jurang yang perlu dirapatkan lagi dan kini, kami ada rakan kongsi (iaitu SGTech) untuk rujuk anggota atau syarikat yang berminat,” ujarnya.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg