Topik diikuti
Pergi ke BHkuDi sebalik romantisisme kehidupan kampung
Di sebalik romantisisme kehidupan kampung
Pengalaman penulis ‘mudik lebaran’ di kampung dekat Batam
Di sebalik romantisisme kehidupan kampung
Setiap tahun saya akan pulang ke kampung halaman ibu saya sempena Hari Raya Aidilfitri, yang terletak di sebuah pulau desa nelayan kira-kira sejam dari Batam.
Perjalanan ini, yang sering disebut sebagai ‘mudik lebaran’, merupakan amalan biasa bagi rakyat Indonesia yang membuat perjalanan kembali ke kampung halaman sempena perayaan itu.
Kekurangan bekalan air daripada sumur dan gangguan bekalan elektrik adalah perkara biasa dalam kehidupan kampung, dan pengalaman itu bukanlah asing bagi saya.
Kali ini, saya sendiri mengalaminya pada hari Syawal ketiga, apabila bekalan elektrik terputus ketika saya sekeluarga mahu makan malam.
Lazimnya lampu akan menyala semula selepas beberapa minit namun pada kali ini, jentera memakan masa hampir 30 minit untuk bersambung semula.
Akibatnya, satu kampung diselubungi kegelapan selepas waktu maghrib dan kami terpaksa bergantung kepada lampu suluh.
Hal ini membuatkan saya berfikir tentang bagaimana masyarakat begitu merindui cara hidup lebih tenang, sederhana dan santai berbanding kehidupan yang sentiasa tergesa-gesa atau terlalu sibuk seperti di Singapura.
Kehidupan lebih tenang ini seringkali dikaitkan dengan kehidupan di kampung.
Kadangkala saya melihat dan mendengar perkongsian dalam talian yang menyeru agar kita kembali ke masa dan keadaan yang lebih mudah.
Mereka meromantiskan kehidupan di kampung, yang dianggap sebagai satu bentuk eskapisme daripada hiruk-pikuk pemodenan bandar.
Namun, apabila dilihat dari sudut keselesaan hidup di bandar, masyarakat mungkin terlepas pandang realiti sebenar kehidupan kampung.
Sebagai contoh pada musim kemarau atau apabila cuaca panas terik dan sumur kekeringan, ia akan menjejas bekalan air di kampung.
Tanpa air orang kampung tidak dapat mandi, cuci pakaian, atau cuci pinggan dan mangkuk.
Selain itu jika kerap berdepan dengan gangguan elektrik, perkara itu akan merosakkan perkakas elektrik pada jangka masa panjang.
Adakalanya kehidupan di kampung itu juga bak kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
Nelayan bergantung kepada hasil tangkapan harian untuk hidup – baik sebagai makanan untuk seisi keluarga, atau dijual untuk mendapatkan wang.
Seperkara lagi yang mungkin diambil sambil lewa ialah kecekapan birokrasi dan pentadbiran.
Di bandar kita tidak berfikir dua kali untuk berjumpa dengan doktor apabila sakit.
Ada kemudahan seperti klinik doktor umum (GP) di bawah blok, kos poliklinik yang berpatutan, ataupun ke A&E (Jabatan Kemalangan dan Kecemasan) yang dapat dibiayai menggunakan insurans atau MediSave.
Selain itu, kemudahan Internet berkelajuan tinggi yang tidak terputus adalah sesuatu yang menjadi sebahagian kebiasaan kehidupan kita.
Bayangkan jaringan Internet hanya tersedia di kawasan tertentu atau pada masa tertentu.
Mungkin ia satu senario yang mengerikan namun ia juga realiti sebenar bagi mereka yang tinggal di desa terpencil.
Kehidupan kampung sememangnya mempunyai baik dan buruknya, sama seperti kehidupan di bandar.
Meskipun kehidupan di bandar menjanjikan peluang dan kemajuan, tetapi datang dengan kos tekanan, kesesakan, dan kos sara hidup tinggi.
Tekanan ini mungkin membuat sebilangan pekerja yang bergelut dengan rasa ‘burnout’ atau keletihan melampau yang membuatkan mereka dambakan ketenangan.
Justeru, mungkin apa yang perlu untuk kita usahakan adalah mewujudkan waktu rehat tambahan dan keupayaan meluangkan masa bersama keluarga tercinta dalam keadaan sedia ada, dan bukannya romantisisme hidup di kampung.
