Topik diikuti
Pergi ke BHkuDari padang bola ke hutan, NS bentuk diri pegawai muda sebagai pemimpin
Dari padang bola ke hutan, NS bentuk diri pegawai muda sebagai pemimpin
Bagi Leftenan Muda Kedua (2LT) Saiful Azhar Saifuddin, pengalamannya menjalani Perkhidmatan Negara (NS) bukan sekadar mengenai ketahanan fizikal, tetapi juga proses membentuk dirinya menjadi seorang pemimpin yang lebih matang dan berdisiplin, serta memahami dan menghargai kekuatan kerja berpasukan – seperti dalam bola sepak yang pernah diceburinya.
2LT Azhar, berusia 22 tahun, yang pernah beraksi sebagai pemain tengah Tanjong Pagar United dalam Liga Perdana Singapura (SPL) dari 2022 hingga 2025, merupakan antara 219 pegawai kadet yang ditauliahkan pada 12 September dalam Perbarisan Pentauliahan Kursus Pegawai Kadet (OCCP) ke-142/25 di Institut Tentera Safti.
Pengalaman sebagai pemain bola sepak memberi 2LT Azhar satu prinsip penting yang dibawa ke Sekolah Pegawai Kadet (OCS) – bahawa sentiasa ada ruang untuk beliau memperbaiki diri.
“Saya rasa secara semula jadi, saya sentiasa fikir bahawa ada ruang untuk memperbaiki segala perkara.
“Itulah satu perkara utama yang saya bawa daripada bola sepak ke Perkhidmatan Negara. Ada banyak aspek yang saya masih boleh perbaiki,” katanya.
Tetapi jika bola sepak sudah mengajarnya tentang disiplin dan bekerja sebagai satu pasukan, OCS pula mengukuhkan nilai tersebut dalam konteks yang jauh lebih mencabar.
Antara pengalaman paling sukar baginya ialah Kursus Keyakinan Hutan (JCC), latihan selama sembilan hari yang menguji ketahanan fizikal dan mental para kadet.
Mereka perlu bergerak melalui kawasan yang tidak dikenali, berdepan bekalan makanan yang terhad serta elemen kelangsungan hidup, sambil terus memastikan objektif misi dicapai.
Latihan tersebut membuatkannya lebih menghargai keperluan seperti makanan dan tempat tinggal, selain menyedarkannya tentang nasib baik hidup dalam masyarakat yang mempunyai keperluan asas yang mencukupi.
Namun, cabaran JCC juga mempunyai satu lagi kesan penting.
Melaluinya, hubungan 2LT Azhar dengan rakan-rakan kadet menjadi lebih erat kerana mereka terpaksa menghadapi kesukaran bersama.
Menurutnya, pengalaman itu mengukuhkan hubungan mereka bukan sahaja sebagai rakan seperjuangan, tetapi juga pada tahap peribadi.
Nilai tersebut selari dengan apa yang sudah dipelajarinya melalui bola sepak – bahawa seseorang individu mungkin mempunyai kemampuan tersendiri, tetapi kejayaan akhirnya bergantung kepada sejauh mana sebuah pasukan dapat berfungsi bersama.
Itulah juga yang menjadi antara pengajaran terbesar 2LT Azhar sepanjang OCS.
“Dalam tentera, ke mana sahaja kita pergi, kita akan bekerja dalam pasukan.
“Seorang individu mungkin boleh menyumbang banyak, tetapi bersama-sama kita boleh mencapai sesuatu yang lebih besar.
“Prestasi individu memang penting, tetapi usaha berpasukan dan sejauh mana pasukan itu dapat bekerjasama boleh membawa kepada pencapaian yang lebih besar,” katanya.
Sebagai Pegawai Artileri, beliau perlu memberi perhatian teliti kepada perkara-perkara kecil bagi memastikan hasil terbaik dapat diberikan kepada unit yang dibantu.
Lantas 2LT Azhar melihat nilai itu boleh diterapkan semula dalam bola sepak.
“Sebagai pemain tengah, sangat penting untuk mempunyai ketenangan ketika membuat hantaran-hantaran penting yang boleh membuat perbezaan kepada pasukan,” katanya.
Selepas ini, 2LT Azhar akan ditempatkan di 1 Guards sebagai sebahagian daripada pasukan Forward Observer.
Namun, tanggungjawabnya bukan sekadar melaksanakan tugas yang diberikan.
Beliau juga bakal memimpin anggota lain dan mahu menjadi seorang pegawai yang boleh dipercayai oleh skuadnya.
“Saya mahu memastikan mereka yang berada di bawah saya mendapat pengalaman NS yang bermakna,” katanya.
