Usaha jadikan ubat sakit kronik di GP seperti di poliklinik: Ye Kung
Usaha jadikan ubat sakit kronik di GP seperti di poliklinik: Ye Kung
Strategi program Healthier SG alih tumpuan dari penjagaan penyakit di hospital kepada penjagaan cegah penyakit
KEMENTERIAN Kesihatan (MOH) akan meneliti cara menjadikan harga ubat-ubatan bagi penyakit kronik di klinik doktor keluarga (GP) lebih dimampui dan setanding harga di poliklinik.
Selain itu, strategi Healthier SG - yang bertujuan mendapatkan GP lebih terlibat dalam langkah pencegahan - mungkin bermula dengan mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas mulai tahun depan, sebelum ia diperluas kepada kumpulan usia lainnya.
Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata ini akan merangkumi sekitar sejuta penduduk di sini dan memberi cukup masa untuk doktor keluarga meningkatkan kapasiti mereka dan mendaftarkan penduduk secara bertahap-tahap.
"Doktor telah berbincang dan berasa lebih baik bermula dengan mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas kerana mereka berkemungkinan besar mula menghidap penyakit kronik atau sudah mempunyai penyakit kronik.
"Oleh itu, kami mahu memastikan penjagaan diberi kepada mereka dahulu," kata beliau, ketika ditemui media di satu acara jalan kaki amal anjuran Blossom Seeds di Canberra Street semalam.
Langkah itu menyusuli maklum balas yang dikumpulkan melalui sesi pendekatan yang diadakan MOH sejak Mac lalu bersama lebih 6,000 penduduk dan pihak berkepentingan utama mengenai strategi Healthier SG.
Di bawah daya usaha Healthier SG, penduduk akan diundang mendaftar dengan doktor keluarga pilihan mereka sebagai barisan pertama bagi keperluan penjagaan kesihatan mereka.
Strategi itu, yang kali pertama didedahkan semasa bahas Belanjawan MOH Mac lalu, bertujuan mengalihkan tumpuan daripada penjagaan hospital berdasarkan penyakit kepada penjagaan bertujuan mencegah penyakit.
Berhubung usaha menjadikan harga ubat penyakit kronik di GP lebih dimampui, Encik Ong berkata penduduk mengalami penyakit kronik memberikan maklum balas bahawa mereka lebih memilih pergi ke poliklinik bagi mendapatkan ubat kerana harganya lebih rendah, dan bertanya apakah harga ubat di GP boleh dijadikan lebih dimampui.
Butiran lanjut mengenai cara menjadikan harga ubat penyakit kronik lebih dimampui akan dikongsi dalam Kertas Putih mengenai Healthier SG yang akan dibentangkan di Parlimen bulan depan.
"Mereka berkata mereka mungkin kerap berjumpa doktor keluarga, tetapi apabila mereka ada penyakit kronik dan mereka perlu mendapatkan ubat kolesterol atau ubat kencing manis, mereka akan tetap pergi ke poliklinik kerana harga ubatnya lebih rendah.
"Oleh itu, mereka bertanya apakah mereka boleh mendapatkannya di klinik (GP) yang mereka telah berdaftar. Ini satu maklum balas amat praktikal dan penting," kata Encik Ong.
Dapatan sesi pendekatan yang diadakan MOH menunjukkan sekitar dua daripada tiga penduduk menyokong idea mempunyai doktor keluarga, dan berminat mendaftar dengan doktor keluarga yang akan mempunyai gambaran keseluruhan mengenai keperluan perubatan dan kesihatan mereka, selain mahukan fleksibiliti memilih dan menukar doktor dan klinik, misalnya apabila mereka berpindah ke estet lain.
Para GP menyokong strategi Healthier SG namun mereka mengutarakan keprihatinan mengenai aliran kerja bagi penjagaan klinikal dan sokongan bagi teknologi maklumat, kata MOH.
MOH berkata ia sedang mengkaji cara "memberi mereka sokongan mencukupi untuk menguruskan dan menjaga pesakit dan penduduk mereka dengan lebih baik".
Encik Ong berkata mungkin ada beberapa masalah apabila strategi Healthier SG dilancarkan lebih dulu bagi mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas dahulu, namun memberi jaminan MOH akan menangani masalah itu.
"Saya harap tidak lama selepas itu, semoga tidak lebih dari setahun, kami boleh menambahkannya kepada sejuta orang seterusnya, iaitu mereka yang berusia 40 hingga 59 tahun," kata beliau.
DAPATAN SESI PENDEKATAN HEALTHIER SG
Daftar dengan doktor keluarga
- 2 daripada 3 penduduk sokong idea mempunyai doktor keluarga, dan berminat mendaftar dengan doktor keluarga yang akan mempunyai gambaran keseluruhan tentang keperluan perubatan dan kesihatan mereka.
- Responden mahukan pilihan, MOH akan benarkan beberapa fleksibiliti untuk tukar doktor.
- Responden dapati harga ubat penyakit kronik lebih rendah di poliklinik. MOH akan teliti cara jadikan harga ubat penyakit kronik di GP lebih rendah dan setanding di poliklinik.
Bangunkan bersama Rancangan Kesihatan
- 3 daripada 4 penduduk sokong saranan rancangan kesihatan. MOH akan gabungkan ciri-ciri utama dalam rancangan kesihatan, seperti pemeriksaan kesihatan kerap untuk kesan dan cegah masalah kesihatan awal.
Akses kepada program masyarakat
- Responden mahu pendekatan kesihatan lebih menyeluruh, sepadukan kegiatan harian dengan peluang untuk kesihatan lebih baik.
- Responden kongsi saranan galak individu amalkan gaya hidup lebih sihat, misalnya perkenalkan sistem ganjaran seperti kumpul mata kesihatan dan baucar diskaun.
Maklum balas dari GP
- GP sokong strategi Healthier SG, tetapi ada beberapa keprihatinan tentang aliran kerja penjagaan klinikal dan sokongan bagi IT. Mereka mahu beri tumpuan pada penjagaan pesakit dan bukan masa dihabiskan untuk masukkan data atau tangani masalah IT.
- MOH sedang kaji cara beri GP sokongan cukup untuk urus dan jaga pesakit dan penduduk dengan lebih baik.

