Topic followed successfully
Go to BHkuCotton On tiada rancangan tutup kedai, keluar dari Asia
Cotton On tiada rancangan tutup kedai, keluar dari Asia
Jurucakap jelaskan entiti Cotton On Asia yang dibubar adalah pegangan tidak aktif, tidak kendali sebarang kedai
Cotton On tiada rancangan tutup kedai, keluar dari Asia
Cotton On tidak mempunyai sebarang rancangan meninggalkan rantau Asia, kata syarikat runcit itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 31 Mac.
Jurucakap Cotton On, berkata: “Terdapat laporan media yang mengelirukan, yang mengatakan kedai Cotton On yang beroperasi di Asia sedang ditutup.
“Maklumat ini adalah tidak benar dan kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk meninggalkan rantau Asia.”
Kenyataan itu turut menjelaskan bahawa Cotton On Asia, entiti yang dibubarkan itu, tidak pernah mengendalikan sebarang kedai mahupun mengambil sebarang pekerja.
Ia hanyalah sebuah syarikat pegangan yang tidak aktif dan tidak lagi diperlukan.
“Ini tidak memberi sebarang kesan kepada pelanggan, pekerja, kedai, pembekal atau operasi di rantau Asia,” jelas jurucakap Cotton On.
Notis yang diterbitkan dalam Warta Pemerintah pada 30 Mac menyatakan bahawa Cotton On Asia akan menjalani pembubaran sukarela, dan penyelesai hutang piutang daripada PwC Singapore telah dilantik untuk membubarkan perniagaan tersebut.
Namun, semakan di laman web Penguasa Pengawalan Perakaunan dan Korporat (Acra) pada 30 Mac, menunjukkan bahawa entiti kedua, Cotton On Singapore, masih beroperasi sebagai perniagaan runcit yang menyediakan pakaian untuk orang dewasa.
Cotton On Asia adalah sebahagian daripada syarikat runcit fesyen dan gaya hidup Australia, Cotton On Group, yang ditubuhkan pada 1991 oleh Encik Nigel Austin.
Jenama itu membuka kedai pertamanya di Singapura di Wisma Atria pada 2007, dan ibu pejabat Asia di sini pada 2014, dengan lebih 90 kakitangan.
Jenama di bawah syarikat Cotton On yang tersedia di Singapura ialah Cotton On, Cotton On Body, Cotton On Kids, jenama alat tulis, Typo dan jenama kasut, Rubi.
Jenama lain dalam kumpulan itu termasuk Factorie, Supre dan Ceres Life.
Menurut laman web kumpulan itu, ia beroperasi di 20 negara dengan 20,000 pekerja.
Lebih 30 kedai di Singapura tersenarai di laman web Cotton On sehingga 30 Mac.

