MULAI Sabtu (13 Mac), Kebun Bunga Singapura akan paparkan kerja seni seawal tempoh penjajahan di sebuah banglo kolonial yang diubah suai kegunaannya.
Lembaga Taman Negara (NParks) telah mengubah Gallop House No. 7 (Inverturret) menjadi Galeri Seni Lukis Botani.
Ia akan memaparkan lukisan cat air serta lakaran daripada arkib Kebun Bunga yang menampung sekitar 2,000 kerja seni.
Kerja seni yang turut meliputi karya pelukis kontemporari akan ditukar ganti setiap enam bulan dengan 100 hasil karya dipaparkan pada sesuatu masa.
Pengkaji kanan dan kurator pameran, Dr Michele Rodda, berkata:
"Ini adalah kali pertama kami mengemukakan sebilangan besar kerja seni daripada arkib kami buat orang awam. Kami berharap dapat mempertingkat kesedaran orang ramai tentang kepentingan seni botani bagi kajian dan memaparkan penyelarasan antara kerja pelukis dan pakar kaji tumbuhan."
Galeri ini bukan sahaja menampung koleksi bersejarah yang tertutup tetapi kian bertambah dan berkembang.
Ia adalah antara beberapa ciri baru di Kebun Bunga yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat, pada pagi Sabtu.
Ciri-ciri ini adalah sebahagian daripada peluasan Gallop di Kebun Bunga Singapura.
Selain Inverturret, Gallop House No. 5 (Atbara) telah pun diubah suai peranannya.
Ia kini merupakan Pusat Teroka Rimba atau Forest Discovery Centre @OCBC Arboretum.
Dibina pada 1898, banglo kolonial hitam putih tertua yang diketahui wujud di Singapura masih lagi berdiri megah,
Pusat Teroka Rimba ini adalah pusat mendekati pengunjung dan wadah kajian yang memaparkan ekosistem rimba Singapura serta menekankan kepentingan pemuliharaan menerusi paparan interaktif.
Beberapa bahan pameran di pusat ini melengkapi OCBC Arboretum yang menampung dan mempamerkan koleksi 'dipterocarp' atau kumpulan tumbuhan yang kebanyakannya merupakan pepohon hutan hujan.
Pusat teroka dan galeri seni ini dibuka percuma, tertakluk pada langkah pengurusan keselamatan yang diperkenalkan kini, kata Nparks.
Turut dibuka adalah taman permainan Como Adventure Grove yang meraih inspirasi daripada bahagian pokok dalam Kebun Bunga ini.
Struktur seperti versi raksasa pod dan bijian pokok saga telah diubah menjadi objek permainan buat kanak-kanak panjat dan loncat.
Dengan peluasan ruang seluas lapan hektar ini, keseluruhan tapak Kebun Bunga menjadi 82 hektar.
Menyifatkan Kebun Bunga sebagai kisah kejayaan Singapura mencapai misi Kota Alam Semesta, salah satu tunggak yang diumumkan dalam cetakan biru kemampanan Pelan Hijau Singapura 2030, Encik Heng berkata:
"Kebun Bunga memberikan gambaran tentang komitmen Singapura dalam membina Singapura yang sesuai dijadikan kediaman dan berkesinambungan."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg