Topic followed successfully
Go to BHkuCFO syarikat teknologi tempatan eksekutif keempat didakwa dalam siasatan cip Nvidia
CFO syarikat teknologi tempatan eksekutif keempat didakwa dalam siasatan cip Nvidia
CFO syarikat teknologi tempatan eksekutif keempat didakwa dalam siasatan cip Nvidia
Eksekutif kanan keempat didakwa di Singapura atas siasatan melibatkan cip canggih Nvidia yang dikawal eksport.
Jenny Lim, 51 tahun, Ketua Pegawai Kewangan (CFO) Aperia Cloud Services, menghadapi satu tuduhan penipuan di Mahkamah Daerah pada 2 April.
Kesnya dijadual untuk sesi persidangan praperbicara pada 22 Mei.
Lim dituduh bersekongkol dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Alan Wei Zhaolun, 50 tahun, dan Ketua Jualan, Aaron Woon Guo Jie, 41 tahun.
Mereka didakwa membuat tuntutan palsu bahawa Aperia International, anak syarikat Aperia Cloud Service, akan menjadi pengguna akhir bagi pelayan komputer (server) yang dibeli daripada Dell.
Pelayan komputer itu kemudian dihantar ke Malaysia.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, sebelum ini membayangkan server tersebut mungkin mengandungi cip Nvidia.
Cip Nvidia tertakluk kepada kawalan eksport Amerika Syarikat kerana teknologinya dianggap sensitif, dengan sekatan khusus terhadap penghantaran ke negara seperti China.
Secara keseluruhan, sembilan individu telah ditahan di Singapura selepas laporan syarikat tempatan terlibat dalam pemindahan haram cip Nvidia ke China, mengelak kawalan eksport Amerika.
Tindakan tegas itu menyusul siasatan Washington terhadap potensi pelanggaran kawalan eksport, terutama selepas firma China, DeepSeek, melancarkan alat kecerdasan buatan (AI) percuma yang menjejas nilai saham teknologi Amerika.
Ahli perundangan Amerika secara jelas menyebut Singapura dalam surat pada Januari, menggesa Penasihat Keselamatan Amerika, Encik Mike Waltz, mengenakan syarat pelesenan lebih ketat terhadap negara yang kurang tegas membanteras penghantaran ke China.
Semakan The Straits Times mendapati, Aperia Cloud Services dan Aperia International, ditubuhkan pada 2023.
Laman arkib dalam talian mendedahkan Aperia menyediakan pengkomputeran AI kepada syarikat pemula dan perusahaan sejagat, malah mendakwa sebagai rakan kongsi awan Nvidia pertama di Asia Tenggara.
Wei dan Woon masing-masing menghadapi dua tuduhan penipuan.
Seorang warga China, Li Ming, 52 tahun, turut didakwa atas penipuan dan kesalahan di bawah Akta Penyalahgunaan Komputer melibatkan pembekal pelayan Supermicro.
Kes Wei, Woon dan Li juga ditetapkan untuk persidangan praperbicara pada 22 Mei.

