Topik diikuti
Pergi ke BHkuCEO Kumpulan Grab dinobat Tokoh Perniagaan Terbaik
CEO Kumpulan Grab dinobat Tokoh Perniagaan Terbaik
Anugerah Perniagaan Singapura ke-41 anjuran bersama ‘The Business Times’ dan syarikat DHL turut sampaikan empat anugerah lain
CEO Kumpulan Grab dinobat Tokoh Perniagaan Terbaik
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Grab, Encik Anthony Tan, dinobat sebagai Tokoh Perniagaan Terbaik dalam majlis Anugerah Perniagaan Singapura (SBA) ke-41 anjuran bersama akhbar perniagaan, The Business Times (BT), dan syarikat logistik antarbangsa DHL, pada 21 Mei.
Satu kenyataan bersama BT dan DHL pada 21 Mei, berkata Encik Tan menerima anugerah terulung majlis itu kerana sifatnya yang “berpandangan jauh, dengan komitmen teguh terhadap transformasi sosioekonomi Asia Tenggara”.
Ini di samping menjadi pemangkin kemajuan serta memperjuangkan keterangkuman digital dan pemerkasaan ekonomi, sekali gus memacu aplikasi Grab daripada sebuah aplikasi tempahan teksi semata-mata, kepada aplikasi pelbagai guna utama di rantau ini, tambah kenyataan itu.
Berkongsi kepada BT, Encik Tan berkata: “Saya agak bangga dengan perjalanan Grab sebagai syarikat teknologi tegar, terutama kini dengan kecerdasan buatan (AI) dalam bentuk fizikal, selain AI dalam bentuk dalaman.”
Majlis tersebut diadakan sempena acara makan malam di hotel The Ritz-Carlton, Millenia Singapore, dan disampaikan oleh Menteri Penyelaras bagi Perkhidmatan Awam merangkap Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing, yang hadir selaku tetamu kehormat.
Empat anugerah lain turut disampaikan di majlis itu.
Sementara itu, Presiden dan CEO syarikat pengendali kargo udara, khidmat darat dan katering dalam penerbangan, Sats Ltd, Encik Kerry Mok, meraih anugerah Ketua Eksekutif Cemerlang.
CEO agensi pelancongan Kumpulan Trip.com, Cik Jane Sun, menerima anugerah Eksekutif Luar Negara Cemerlang manakala Anugerah Perusahaan diraih syarikat pengeluar makanan tempatan, Old Chang Kee.
Pengasas Bersama, Pengerusi dan CEO Mlion Corporation Pte Ltd, Encik Eric Leong, meraih anugerah Pemimpin Perniagaan Muda Terbaik.
Editor BT, Cik Chen Huifen, berkata majlis tahunan itu merupakan wadah untuk menggalakkan lebih ramai pemimpin perniagaan mengorak langkah dan membawa perbezaan dalam bidang masing-masing.
“Kami berharap penerima anugerah tahun ini (2026) akan memberi inspirasi kepada generasi pemimpin perniagaan seterusnya agar terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam menempuhi keadaan yang mencabar,” ujarnya.
Naib Presiden Kanan dan Pengarah Urusan DHL Express Singapore, Encik Christopher Ong, berkata dalam persekitaran perniagaan sejagat yang sukar kini, peranan pemimpin perniagaan dalam memacu perubahan dan melakar laluan baru “semakin penting”.
Oleh demikian, penerima anugerah majlis ini “mengiktiraf pemimpin dan perniagaan cemerlang yang telah mengatasi cabaran dan menyumbang secara ketara kepada kejayaan dan daya tahan ekonomi Singapura”.
SBA mengiktiraf pemimpin perniagaan tempatan yang telah melakar perubahan dalam industri masing-masing dan mencipta nilai untuk pihak berkepentingan.
Penerima anugerah bagi SBA kali ini telah diputuskan oleh panel 12 juri, yang dipengerusikan oleh mantan Pengerusi Singapore Airlines, Encik Stephen Lee.
