Topik diikuti
Pergi ke BHkuCAAS, NTUC lancar inisiatif $2.6j tingkat sokongan kerjaya awal sektor penerbangan
CAAS, NTUC lancar inisiatif $2.6j tingkat sokongan kerjaya awal sektor penerbangan
Usaha demi penuhi permintaan perjalanan udara yang meningkat, serta persiapan pembukaan Terminal 5
CAAS, NTUC lancar inisiatif $2.6j tingkat sokongan kerjaya awal sektor penerbangan
Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) melancarkan dua inisiatif baru bagi mempertingkatkan sokongan kerjaya awal bagi warga Singapura yang menyertai sektor penerbangan.
Inisiatif Cabang Belia Kelompok Aeroangkasa dan Penerbangan (A&A) NTUC dan Program Bimbingan Kerjaya Awal OneAviation bernilai $2.6 juta, adalah sebahagian daripada usaha kededua pihak untuk meningkatkan pengambilan kerja dan kemahiran tenaga kerja.
Menurut NTUC dan CAAS dalam satu kenyataan bersama pada 18 Mei, usaha sedemikian dilakukan demi memenuhi permintaan perjalanan udara yang semakin meningkat dan sebagai persiapan bagi pembukaan Terminal 5 (T5) Lapangan Terbang Changi mulai pertengahan 2030-an.
Dengan pembukaan T5 kelak, ia dijangka meningkatkan kapasiti penumpang tahunan Lapangan Terbang Changi kepada lebih 50 peratus – daripada 90 juta ketika ini kepada 140 juta.
Malah bandar yang terhubung dengan Singapura melalui udara dijangka berkembang kepada lebih 200, naik daripada lebih 170 sambungan bandar buat masa ini, apabila T5 siap.
Kededua inisiatif tersebut, menurut kenyataan itu, adalah daya usaha tiga pihak yang terkini oleh CAAS, syarikat penerbangan dan kesatuan sekerja untuk mengembangkan sektor tersebut dan menyokong pekerjanya.
Pengarah Agung CAAS, Encik Han Kok Juan, berkata:
“Inisiatif ini merupakan bukti semangat tiga pihak yang kukuh di Singapura, demi membantu sektor ini mengatasi cabaran, merebut peluang dan menjaga pekerja kami.
“Inisiatif ini merupakan pelaburan jangka panjang yang menggariskan komitmen bersama kami untuk mengembangkan hab udara Singapura bersama-sama dan membangunkan pekerja kami.”
Timbalan Setiausaha Agung NTUC, Cik Cham Hui Fong, menjelaskan inisiatif sedemikian kian penting bagi individu yang mendapatkan pekerjaan buat kali pertama.
Ini lebih-lebih lagi dalam era kecerdasan buatan (AI) yang mengubah pengalaman pekerjaan dalam sektor penerbangan Singapura, ujarnya.
Beliau berkata: “Memandangkan kesatuan sekerja bekerja rapat dengan para pekerja, kami (NTUC) mengetengahkan pandangan mengenai keperluan tenaga kerja dan maklum balas mereka dalam perbincangan di peringkat sektor.
“Ini memastikan pekerja disokong apabila mereka menyertai industri penerbangan, mengharungi peralihan dan berkembang maju dalam kerjaya mereka.
“Dengan sokongan tiga pihak yang kukuh, usaha khusus yang tertumpu pada sektor dapat memberikan impak yang lebih besar.”
Sehubungan itu, Naib Presiden Kanan dan Ketua Modal Insan, Perkhidmatan Laluan Singapura bagi Asia Pasifik, Sats, Cik Charis Cheng, menjelaskan bahawa program bimbingan berstruktur dapat membantu perluaskan pengalaman bagi pekerja baru kerana mereka meraih panduan terkait, sekali gus mereka dapat mengorak langkah lebih luas dalam industri.
Menyentuh berkenaan inisiatif bimbingan yang baru diumumkan, beliau berkata:
“Ini memberi kesan mendalam bagi operasi pengendali darat dan katering penerbangan, memandangkan ketepatan, semangat berpasukan, keselamatan dan kecemerlangan perkhidmatan adalah penting.
“Dengan mengongsi pengalaman dan pengetahuan, kami membantu membentuk generasi karyawan sektor penerbangan seterusnya, sambil memastikan kesinambungan dan kemampanan jangka panjang untuk perniagaan kami.”
Ini penting bagi sektor penerbangan yang secara umumnya bersifat teknikal dan diperoleh bertahun lamanya, kata Naib Presiden Kanan Sumber Manusia dan Ketua Pegawai Sumber Manusia di SIA Engineering Company (SIAEC), Cik Eleana Choy.
Menurut beliau, program bimbingan yang disesuaikan dengan keperluan sektor “adalah kaedah jitu untuk menyampaikan pengalaman dan kepakaran teknikal sedemikian serta membantu jurutera dan juruteknik baru membina keyakinan pada peringkat awal kerjaya”.
Sejak Oktober 2022, lebih 1,400 pencari pekerjaan telah berjaya mendapatkan pekerjaan dalam sektor aeroangkasa dan penerbangan melalui Hab Kerjaya OneAviation (OACH) – inisiatif yang melibatkan Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC dan CAAS.
