Burung belatuk yang jarang dilihat, muncul di S'pura
Ramai pencinta burung berpusu-pusu ke Kebun Bunga S'pura untuk ambil gambar
SEJENIS burung belatuk yang jarang ditemui telah membuat penampilan pada 12 Mac lalu dan menyebabkan ramai pencinta burung berpusu-pusu ke Kebun Bunga Singapura.
Penampilannya begitu jarang dilihat sehinggakan sepasang mempelai meninggalkan majlis perkahwinan mereka berdekatan semata-mata untuk mengambil gambar haiwan itu sejurus selepas memberikan ucapan perkahwinan mereka.
Dengan kepalanya yang licin dan bulunya berwarna kelabu serta saiz berukuran 51 sentimeter, burung belatuk ini disenaraikan sebagai "rentan" di serata dunia dalam Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi.
Walaupun ini bukan kali pertama Encik Hong Yijun melihat spesies ini, beliau tidak melepaskan peluang mengambil gambarnya apabila burung belatuk tersebut berada dekat dengan majlis perkahwinannya.
Pasangan itu kebetulan peminat dan jurugambar burung.
Ini kali keempat burung tersebut, yang dianggap sebagai burung belatuk terbesar di dunia, dilihat di Singapura.
Menurut laman The Straits Times (ST), kali terakhir ia dikesan adalah pada 2018 dekat puncak hutan simpanan Bukit Timah.
Sebelum itu, ia dikesan pada 1899 dan 1904, menurut laman 'Singapore Birds Project' yang mendokumenkan semua spesies burung yang direkodkan di Singapura dan sekitaran pantainya.
"Saya telah melihat burung ini di Thailand dan Malaysia, namun melihatnya di tanah air sendiri merupakan sesuatu yang istimewa," kata Encik Hong, jurutera proses berusia 28 tahun itu.
"Hebatnya, ia tampil di hari perkahwinan kami yang dianggap amat istimewa buat kami berdua."
Isterinya, Cik Zoey Chua, berkata mereka telah menempah tempat majlis perkahwinan mereka di Kebun Bunga Singapura kerana keindahannya serta lokasi itu menarik spesies burung yang menarik.
Secara bersama, pasangan itu telah melihat burung seperti burung hering Himalayan dan spesies burung menarik yang lain.
Cik Chua, yang merupakan ahli kimia berusia 26 tahun berkata:
"Penampilan burung yang jarang dilihat ini pada hari istimewa kami membuat semuanya lebih istimewa."
Burung belatuk itu mendapat sambutan sekitar 40 orang yang berkumpul untuk melihatnya pada Ahad.
Menurut anggota jawatankuasa Persatuan Alam Semula Jadi (Singapura) bagi Kumpulan Burung, Encik Alan OwYong, burung belatuk tersebut bersama tujuh spesies burung belatuk lain telah hilang dari hutan di sini sejak 1950-an.
Kemunculannya semula pada 2018 memang tidak dijangkakan memandangkan ia amat jarang dalam kalangan lapan spesies, tambahnya.
Burung tersebut mungkin telah terbang dari Malaysia akibat habitatnya yang hilang, kata pengerusi kumpulan yang sama, Encik Tan Gim Cheong.
"Saya telah melihat burung ini di Thailand dan Malaysia, namun melihatnya di tanah air sendiri merupakan sesuatu yang istimewa. Hebatnya, ia tampil di hari perkahwinan kami yang dianggap amat istimewa buat kami berdua."
- Encik Hong Yijun, yang nampak burung belatuk di majlis perkahwinan mereka di Kebun Bunga Singapura.

