Topic followed successfully
Go to BHku‘BTO’, ‘wayang’, ‘Mat Salleh’ antara perkataan baru Singlish dalam kamus Oxford
‘BTO’, ‘wayang’, ‘Mat Salleh’ antara perkataan baru Singlish dalam kamus Oxford
11 kekata dengan etimologi bahasa Inggeris S’pura atau M’sia kini dalam senarai perkataan
‘BTO’, ‘wayang’, ‘Mat Salleh’ antara perkataan baru Singlish dalam kamus Oxford
Baca ayat berikut: “Kami sudah bersama selama empat tahun, tapi saya masih menunggu beliau ajak saya BTO, memang jialat betul.”
Mentafsir maknanya sepatutnya mudah, atau bagi mereka yang lebih fasih dengan bahasa Singlish, ‘kacang putih’ sahaja.
Bagi mereka yang langsung tidak memahami maksudnya, kemas kini terbaru kamus, Oxford English Dictionary (OED) pada 24 Mac, telah menambah beberapa patah perkataan Singlish baharu, yang mungkin dapat membantu.
OED menambah 11 patah perkataan baharu dengan etimologi bahasa Inggeris Singapura atau Malaysia ke dalam senarai perkataannya.
Perkataan baharu itu termasuk “BTO”, “wayang” dan “kaypoh” yang boleh digunakan dalam pelbagai bentuk sebagai kata nama, kata kerja atau kata sifat.
Singkatan BTO kini merujuk kepada skim “Build-To-Order”, atau Bina Ikut Tempahan.
Ianya flat di bawah skim yang diuruskan Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB, entri 2016) Singapura, tetapi turut digunakan sebagai kata kerja apabila memohon flat di bawah skim tersebut, kata Oxford Languages, penerbit kamus itu, dalam kenyataan yang menjelaskan entri baharunya.
Penerbit itu menambah perkataan tersebut sering muncul “apabila membincangkan status hubungan pasangan, kerana memohon flat bersama di bawah skim BTO dilihat sebagai satu pencapaian penting, serupa dengan pertunangan.”
Kata pinjaman Hokkien “jialat” berasal daripada perkataan yang bermaksud “memakan tenaga” dan asalnya digunakan untuk menggambarkan sesuatu yang menyusahkan atau memenatkan.
Entri Oxford menyatakan ia kini boleh juga digunakan bagi menggambarkan seseorang yang mempunyai masalah atau berada dalam kesusahan.
Kamus itu turut mencatatkan bagaimana perkataan pinjaman Melayu seperti “wayang” yang merujuk kepada persembahan teater Indonesia atau Malaysia, telah berkembang dalam Singlish menjadi “paparan palsu yang bertujuan untuk menipu” atau sebagai kata sifat yang bermaksud “berlagak atau palsu”.
Dua hidangan makanan turut disenaraikan sebagai entri baru — assam laksa (sup mi yang masam dan pedas dari Pulau Pinang) dan ais kacang (pencuci mulut popular di Malaysia dan Singapura yang diperbuat daripada ais batu yang dikisar) – menyertai makanan kegemaran tempatan lain seperti “kaya toast” (roti kaya), “nasi lemak” dan “curry fish head” (kari kepala ikan), yang telah ditambah pada 2025.
Kemas kini Mac 2026 turut merangkumi perkataan daripada bahasa Inggeris Hong Kong, seperti “people mountain people sea”, frasa yang digunakan untuk menggambarkan orang yang sangat banyak, diterjemah daripada ungkapan bahasa Cina.
Oxford Languages menjelaskan sesuatu perkataan akan dipertimbangkan untuk dimasukkan ke dalam kamusnya apabila para penyunting telah mengumpulkan contoh bebas daripada pelbagai sumber yang baik, serta bukti perkataan itu telah digunakan dalam tempoh masa yang munasabah.
Entri OED Mac 2026 dengan asal usul bahasa Inggeris Singapura dan Malaysia: assam laksa (kata nama), agak-agak (kata nama, kata kerja), boleh (kata kerja, tak transitif), BTO (kata nama, kata kerja), degazette (kata kerja), ais kacang (kata nama), jialat (kata adjektif), kaypoh (kata nama, kata sifat, kata kerja), Mat Salleh (kata nama, kata adjektif), play play (kata kerja) dan wayang (kata nama, kata sifat).

