Topic followed successfully
Go to BHkuBekas pegawai polis mengaku cabul pelajar lelaki, rakam perbuatan seks
Bekas pegawai polis mengaku cabul pelajar lelaki, rakam perbuatan seks
Bekas pegawai polis mengaku cabul pelajar lelaki, rakam perbuatan seks
Seorang bekas pegawai polis lelaki telah menyamar sebagai wanita dan mencabul seorang budak lelaki berusia 15 tahun.
Ini selepas dia mengajak remaja itu ke tangga Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dengan alasan untuk meminta bantuan bagi membetulkan colinya.
Dalam dua kejadian berasingan, bekas pegawai polis itu turut memujuk dan merakam dua remaja lelaki berusia 15 tahun, yang telah diperdaya untuk melakukan perbuatan seks dalam panggilan video.
Pada 24 Mac, bekas pegawai polis itu, Sharizal Shafi’ee, 40 tahun, mengaku bersalah atas lima pertuduhan, termasuk mencabul kehormatan dan merakam aksi seks tersebut.
Sebanyak 10 pertuduhan lain, yang melibatkan kesalahan serupa terhadap sekurang-kurangnya tiga mangsa lain, akan diambil kira apabila dia dijatuhkan hukuman pada 21 April.
Perintah larangan bersuara (gag order) dikenakan bagi melindungi identiti mangsa yang terbabit.
Mahkamah diberitahu pada 18 April 2024, Sharizal meninggalkan flatnya dengan bersolek dan berpakaian wanita.
Dia pergi ke sebuah sekolah menengah dan menunggu berhampiran pintu belakangnya untuk mendekati pelajar di situ.
Walaupun dua pelajar menolak permintaannya, Sharizal tidak berputus asa dan menemui seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun yang bersetuju setelah percaya Sharizal benar-benar memerlukan bantuan.
Sharizal kemudian membawa pelajar tersebut ke pelantar tangga HDB berdekatan antara tingkat sembilan dengan 10, dan menunjukkan cara membantunya membetulkan coli.
Semasa budak itu berdiri di belakangnya, Sharizal mula menggesel tubuh budak itu.
Sharizal kemudian dijejaki oleh pegawai Pasukan Polis Singapura (SPF) dan ditangkap pada 28 April 2024.
Siasatan forensik ke atas telefon bimbitnya mendedahkan dia telah merakam video melibatkan sekurang-kurangnya 32 lelaki melakukan perbuatan seks.
Semasa siasatan, Sharizal mengakui bertindak sebagai wanita di media sosial untuk berhubung dengan beberapa lelaki lain.
Dia melakukan sedemikian sekitar 2023 dan berkawan dengan seorang budak lelaki berusia 15 tahun secara dalam talian.
Dia kemudian berkata dia ingin melihat remaja itu melakukan perbuatan seks dalam panggilan video.
Remaja itu bersetuju.
Sharizal, yang terus bertindak seperti wanita, kemudian merakam panggilan itu secara sembunyi. Rakaman itu melebihi 12 minit.
Dia juga mengakui menggunakan helah yang sama pada April 2024 ke atas seorang lagi remaja berusia 15 tahun.
Peguam Sharizal berkata bekas pegawai polis itu telah menunjukkan penyesalan dan sedang mengambil langkah ke arah pemulihan.
Beliau menegaskan Sharizal adalah seorang warga yang taat undang-undang sebelum kesalahannya, dengan kerjaya cemerlang selama 17 tahun dalam SPF.
Namun, pihak pendakwa menyifatkan kesalahan Sharizal sebagai amat teruk.
Mereka yang didapati bersalah atas pencabulan boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda, disebat, atau dikenakan gabungan hukuman tersebut.
Mereka yang didapati memperoleh atau cuba memperoleh pelakuan sebarang perbuatan lucah atau tidak senonoh daripada seseorang di bawah umur 16 tahun boleh dipenjara sehingga lima tahun, didenda sehingga $10,000, atau kedua-duanya sekali.
Mereka yang didapati bersalah kerana sengaja menghasilkan bahan penderaan kanak-kanak pula boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun, didenda, disebat, atau dikenakan gabungan hukuman tersebut.

