SEORANG lelaki, yang merupakan bekas doktor gigi, Teo Eu Gene, 36 tahun, telah disabitkan atas 25 tuduhan menipu.
Teo, yang sebelum ini bertugas di Klinik Pembedahan Pergigian Phoenix, telah dijatuhkan hukuman penjara 46 minggu, hari ini.
Polis dalam kenyataannya hari ini berkata, antara 4 Ogos 2014 dan 19 Oktober 2015, Teo telah mengemukakan 25 tuntutan CHAS yang termasuk prosedur pergigian yang tidak dilakukan ke atas pesakitnya.
Jumlah pembayaran yang dikeluarkan pemerintah untuk tuntutan itu adalah $31,583, di mana $18,618.50 adalah untuk prosedur rekaan.
Lima tuduhan menipu serupa telah dipertimbangkan untuk tujuan hukuman.
Sebanyak 30 tuduhan lagi berkaitan pemalsuan akaun juga diambil sebagai pertimbangan untuk hukuman ke atasnya.
Dia juga menghadapi tuduhan berkaitan dengan pemalsuan nota kes perubatan pesakit untuk menyokong tuntutan yang dibuatnya.
Proses pengadilan ke atas seorang lagi tertuduh yang terlibat dalam kes ini masih berjalan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg