Ibarat air, Bahasa Melayu mengalir secara semula jadi dan meresap ke setiap aspek kehidupan – daripada budaya dan tradisi, hingga ke nilai serta pengalaman harian.
Itulah gambaran yang diberikan Cik Suhana Jumadi, 38 tahun, tentang pengalaman mengajar bahasa tersebut.
Demikian juga pendekatan yang beliau terapkan dalam mendidik anak murid dalam kelas Bahasa Melayu – mengaitkan pelbagai aspek kehidupan dengan pembelajaran akademik yang diajar.
Bagi anak bongsu tiga beradik itu, Bahasa Melayu bukan sekadar subjek akademik, malah satu aliran hidup yang perlu dirasai, dihayati dan dinikmati.
Di bilik darjahnya di Sekolah Menengah Juying, bahasa Melayu tidak pernah terbatas pada latihan dan buku teks semata-mata.
Bahasa itu hadir dalam kisah yang beliau kongsikan – ada kalanya tentang tradisi dan kenangan lama, ada masanya pula melalui irama dan lagu yang menghidupkan suasana.
Selama hampir 11 tahun bergelar pendidik sepenuh masa di Sekolah Menengah Juying, Cik Suhana gigih menyemai rasa cinta terhadap bahasa ibunda, menjadikannya sesuatu yang dapat dirasai jiwa, bukan sekadar dihafal.
Bagi beliau, bahasa Melayu ‘hidup’ dan ia mengalir bak air yang menyuburkan identiti dan memelihara nilai.
Seperti yang diungkapkannya dalam temu bual Berita Harian (BH) di ibu pejabat Kementerian Pendidikan (MOE) di Buona Vista:
“Bahasa Melayu itu ibarat air, ia mengalir dengan sendirinya.
“Apabila bercakap tentang bahasa Melayu, secara tidak langsung kita dapat memetik pengalaman sedia ada.”
Falsafah tersebut menjadi tunjang selama lebih sedekad beliau bergelar pendidik.
Perpaduan antara ketegasan dengan kelembutan, tradisi dengan inovasi ituah yang akhirnya menempatkan Cik Suhana sebagai salah seorang daripada lapan finalis Anugerah Guru Arif Budiman 2025 (Kategori Teladan).
Anugerah Guru Arif Budiman atau Agab (Kategori Teladan) disampaikan kepada guru yang telah mengajar selama 10 tahun atau lebih.
Kategori ‘Perangsang’ pula dikhususkan bagi guru yang mempunyai pengalaman kurang 10 tahun dalam perkhidmatan.
Agab mengiktiraf guru Bahasa Melayu cemerlang di sekolah aliran utama, yang berusaha meneroka kaedah pembelajaran di luar bilik darjah untuk menyemai penghargaan lebih mendalam terhadap mata pelajaran tersebut.
Ia merupakan anjuran bersama Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Persatuan Guru-Guru Bahasa Melayu (PGBM), BH dan Jawatankuasa Pembelajaran dan Penggalakan Penggunaan Bahasa Melayu (MLLPC).
Majlis penyampaian Agab bagi tiga guru pencetus inspirasi akan diadakan di Auditorium Ngee Ann, Muzium Tamadun Asia (ACM), pada 1 November.
Lebih daripada sekadar tatabahasa atau kefahaman, Cik Suhana menghidupkan bahasa dengan mengajak pelajarnya menyelami budaya Melayu – sama ada melalui tarian, makanan, muzik, mahupun adat kehidupan harian.
“Saya sering menggalak mereka bertutur dalam bahasa Melayu, walaupun secara beransur-ansur.
“Saya juga memperdengarkan lagu-lagu Melayu daripada pelbagai genre sebagai pendedahan tambahan untuk mereka,” katanya, yang telah mengajar di Sekolah Menengah Juying sejak 2014.
Namun, beliau juga sedar generasi hari ini dekat dengan teknologi.
Justeru, peralatan digital seperti Portal Pelajar (SLS), Canva, Padlet dan Kahoot menjadi ‘sahabat’ dalam kelas yang dikendalikannya.
Dengan kreativiti beliau, teknologi bukan sahaja menghidupkan pembelajaran, malah membangkitkan semangat pelajar.
Namun, dalam kepesatan dunia digital, sentuhan insani tetap menjadi keutamaan.
“Teknologi sememangnya memperkaya proses pengajaran dan pembelajaran pelajar.
“Namun, saya juga percaya pelajar perlu bergerak secara aktif.
“Oleh itu, ada kalanya saya mengajak mereka menulis di papan putih kerana kegiatan sebegini turut melatih mereka memperhalusi kemahiran menulis,” tambahnya.
Di luar bidang akademik, pelajarnya menganggap beliau lebih daripada seorang guru.
Suatu ketika, semasa perkhemahan sekolah, seorang pelajar meninggalkan kata-kata yang beliau tidak dapat lupakan sehingga kini:
“Miss Suhana, you will make a good mother. (Cik Suhana, awak akan jadi seorang ibu yang baik.)
“Mereka sebenarnya memerhati perbuatan kita, apa kita cakap, cara kita bergaul dan cara kita berinteraksi.
“Jadi apabila pelajar itu berkata sedemikian, saya rasa tersentuh,” ceritanya.
Ungkapan itu menjadi pengingat bahawa seorang guru mendidik bukan hanya dengan kata-kata sahaja, namun dengan teladan.
Kasih, disiplin dan empati yang ditunjukkan setiap hari menjadi contoh hidup yang meresap ke dalam jiwa anak didiknya.
Baginya, pencalonan Agab bukan sekadar penghargaan peribadi. Ia amanah untuk terus menyumbang.
“Saya amat bersyukur kerana pencalonan saya untuk anugerah ini sudah membuktikan usaha gigih saya dihargai.
“Saya berharap dapat terus menunjukkan ciri arif dan budiman kepada orang sekeliling kerana saya tidak mahu penganugerahan ini sekadar menjadi satu gelaran, sebaliknya menjadi satu amanah dan nilai kehidupan,” jelasnya.
Seperti aliran air yang tidak pernah terhenti, dedikasi Cik Suhana akan terus mengalir, menyuburkan jiwa anak didiknya dengan bahasa, nilai dan kasih yang berkekalan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg