Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bahan pengajian Darul Andalus rangsang minat belajar ilmu agama

Kandungan pendidikan Islam Andalus, Cordova dihasilkan syarikat penerbitan Darul Andalus dalam bentuk buku dan digital; padat elemen interaktif terkait kehidupan harian, bantu pelajar faham ajaran agama. Syarikat akan terbitkan edisi baru buku teks dan kerja yang gabungkan dengan teknologi pendidikan.
Jan 10, 2026 | 5:30 AM
Pelajar Kelas Bimbingan Prasekolah (KBPS) di Cordova, Nur Ayra Muhammad Nazri, gemar melalukan aktiviti di dalam buku agamanya yang mempunyai ruang untuk murid mewarna, melukis dan menampal pelekat, yang disertakan di dalam buku Darul Andalus itu.
Pelajar Kelas Bimbingan Prasekolah (KBPS) di Cordova, Nur Ayra Muhammad Nazri, gemar melalukan aktiviti di dalam buku agamanya yang mempunyai ruang untuk murid mewarna, melukis dan menampal pelekat, yang disertakan di dalam buku Darul Andalus itu. - Foto ihsan MUHAMMAD NAZRI NASIR

Mewarna, melukis dan menampal pelekat merupakan antara kegiatan yang digemari kanak-kanak, terutamanya tatkala mereka berada pada peringkat prasekolah dan sekolah rendah.

“Maka bayangkan betapa ghairahnya anak saya, Nur Ayra Muhammad Nazri, yang berusia enam tahun, apabila dia mendapat tahu buku kerja agamanya padat dengan ketiga-tiga kegiatan itu,” kata Encik Muhammad Nazri Nasir.

Nur Ayra adalah pelajar Kelas Bimbingan Prasekolah (KBPS) di pusat pengajian Islam Cordova. 

Encik Muhammad Nazri memilih menghantar anak sulung daripada tiga adik-beradik itu ke Cordova kerana pusat pengajian Islam tersebut berdekatan rumahnya dan menyediakan pengajian Islam dalam bahasa Melayu. 

Beliau berpuas hati melihat anaknya suka menghadiri kelas agama di Cordova dan bersemangat melakukan tugasan dalam buku kerja dan juga dalam talian menerusi wadah e-pendidikan. 

Bahan pengajian agama pusat pengajian Islam Andalus dan Cordova, dihasilkan oleh syarikat penerbitan Darul Andalus. Kandungan pendidikan Islam itu dihasilkan dalam bentuk buku dan digital, serta padat dengan elemen interaktif dan dapat dikaitkan dengan kehidupan harian – lantas membantu pelajar memahami ajaran agama Islam dengan lebih berkesan.

Darul Andalus, yang telah menghasilkan bahan pengajian agama dua pusat pengajian Islam itu selama lebih 20 tahun, kini bakal menerbitkan edisi baru buku teks dan kerja yang mengintegrasi teknologi pendidikan bagi menyokong pembelajaran berasaskan buku.

Berkongsi pendapatnya tentang kandungan bahan pengajian anaknya, Encik Muhammad Nazri berkata: 

“Kandungan dalam buku teks dan buku kerja Cordova mudah untuk kanak-kanak faham kerana tidak ada terlalu banyak teks. Ia juga kreatif kerana ada pelbagai gambar dan cerita dalam buku teks, manakala buku kerja mereka mempunyai pelbagai aktiviti dan ruang untuk mereka mewarna, melukis dan menampal pelekat yang disertakan dalam buku itu.”

Ibu Nur Ayra, Cik Nur Ashikin Asmawi, berkata kaedah pengajaran dalam kelas yang interaktif membantu meningkatkan keghairahan anaknya mempelajari sesuatu topik di dalam buku. 

Memberi contoh, Cik Nur Ashikin berkata semasa mengajar topik berkenaan halal, guru Nur Ayra membawanya dan pelajar lain ke sebuah kedai berdekatan pusat pengajian Cordova, dan membimbing mereka mengenal pasti logo halal pada bungkusan makanan. Sekarang, anaknya akan memeriksa bungkusan makanan bagi memastikan agar makanan itu halal.

“Di rumah, Nur Ayra juga seronok menonton video animasi, menjawab kuiz dan melakukan kegiatan yang ada pada e-pendidikan. Saya mendapati kandungannya interaktif dan inovatif dan membantu kami agar mudah mengulang kaji pengajian agama bersama Nur Ayra,” kata Cik Nur Ashikin.

Seorang pelajar Kelas Bimbingan Menengah di pusat pengajian Islam Andalus, Danish Anaqi Mohamed Hasrul Nizam, 17 tahun, pula mendapati kandungan di dalam buku teks dan kerja Andalus tersusun dan mudah diikuti.

Menurutnya, contoh yang diberikan di dalam buku juga amat berkaitan dengan kehidupan harian, membuatnya lebih memahami dan senang mengingati isi pelajaran.

Susunan teks dan soalan mencabar minda pula membantu Danish belajar dengan lebih berkesan kerana ia menjadikan pembelajaran lebih menyeronokkan. 

“Ia membantu saya kekal fokus dan ingat isi pelajaran pada jangka masa panjang. 

“Saya juga berpendapat bahawa bahan pengajian inovatif adalah bahan yang tidak bergantung hanya pada teks semata-mata. 

“Penggunaan bahan digital di dalam bilik darjah, seperti video, Kahoot!, Google Classroom dan elemen interaktif, membuatkan pembelajaran lebih menarik dan tidak membosankan. Ia juga membantu pelajar memahami pelajaran,” kata Danish.

Selain itu, Danish berkata beliau melakukan tugasan e-pendidikan secara berkala apabila ia diberi. Yang beliau suka tentang bahan e-pendidikan ialah ia mudah diakses dan fleksibel, membolehkan beliau mengulang kaji pelajaran pada bila-bila masa.

“Secara keseluruhan, saya mendapati bahan pengajian Andalus sesuai dan membantu dalam pembelajaran. Ia memudahkan saya mengulang kaji tentang Islam di rumah, terutamanya apabila ia disertakan dengan nota ringkas dan soalan ulang kaji. 

“Saya boleh mengulang kaji apa yang telah dipelajari di dalam kelas dan menguatkan kefahaman saya tentang ajaran Islam, dan belajar cara mengamalkannya dalam kehidupan harian.

“Bahan pengajiannya juga menarik kerana ia bukan memberi ilmu agama sahaja, malah membantu membentuk pemikiran dan akhlak pelajar,” kata Danish.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg