Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Autisme tidak halang pereka muda, jaya dalam seni dan sukan

Zulkhairi hasilkan pelbagai karya tempahan melalui ART:DIS yang sokong individu berkeperluan khas kembangkan minat seni
Dec 1, 2025 | 5:30 AM
(Dari kanan) Mohammad Zulkhairi Lutfi Mohd Azam, bersama ibu bapanya, Cik Wahidah Ismail dan Encik Azam Jibani.
(Dari kanan) Mohammad Zulkhairi Lutfi Mohd Azam, bersama ibu bapanya, Cik Wahidah Ismail dan Encik Azam Jibani. - Foto BH oleh KHALID BABA

Walaupun disahkan mempunyai autisme dan Gangguan Hiperaktif Kurang Tumpuan (ADHD) sejak usia tiga tahun, Mohammad Zulkhairi Lutfi Mohd Azam, tidak menganggap ia sebagai satu penghalang.

Sebaliknya, beliau menyifatkan ia sebagai kekuatan yang mendorong dirinya lebih berdedikasi dalam bidang seni dan sukan.

Kini pada usia 20 tahun, Zulkhairi telah menghasilkan pelbagai karya tempahan melalui ART:DIS – badan bukan mencari untung – yang menyokong individu berkeperluan khas dalam mengembangkan minat seni mereka, sejak beliau menamatkan pelajaran di Sekolah Eden pada 2023.

Sekolah itu adalah khusus bagi pelajar keperluan khas dan terletak di Bukit Batok.

Pada 2025 sahaja, beliau menerima tujuh tempahan melalui ART:DIS, termasuk reka bentuk lencana untuk Pavilion Singapura bagi Persidangan Iklim ke-30 (COP30) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berlangsung sehingga 21 November di Belem, Brazil.

Reka bentuk lencana yang mengetengahkan flat tinggi Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kehijauan subur serta air kolam yang mengalir untuk melambangkan kehidupan harmoni antara pembangunan moden dengan alam sekitar.
Reka bentuk lencana yang mengetengahkan flat tinggi Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kehijauan subur serta air kolam yang mengalir untuk melambangkan kehidupan harmoni antara pembangunan moden dengan alam sekitar. - Foto COP30 SINGAPORE PAVILION

Pavilion tersebut bekerjasama dengan inisiatif i’mable Collective, yang juga berkolaborasi dengan ART:DIS untuk mereka bentuk lencana itu.

Pengunjung ke pavilion tersebut boleh membawa pulang lencana rekaan Zulkhairi yang menampilkan identiti kota Singapura melalui ciri reka bentuk dan ikon budaya yang diketengahkan.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), pereka muda itu turut berkongsi makna di sebalik rekaan yang diedarkan di peringkat antarabangsa itu.

Ciri utama yang diketengahkan ialah flat tinggi Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), kehijauan subur serta air kolam yang mengalir, yang menurut beliau melambangkan kehidupan harmoni di antara pembangunan moden dan alam sekitar.

“Gabungan alam dengan bangunan moden menjadi inspirasi saya untuk mereka lencana ini.

“Saya gembira dapat menjadi sebahagian projek yang memberi kesedaran iklim,” kata Zulkhairi yang juga anak ketiga lima beradik.

Zulkhairi memberitahu bahawa beliau akan menghasilkan tiga atau empat lakaran sebelum memilih reka bentuk yang muktamad.

“Saya mula melukis di atas kertas untuk merancang idea. Apabila saya sudah pasti dengan reka bentuk itu, barulah saya lakarkannya di komputer,” kongsinya.

Walaupun jarang menolak permintaan untuk mereka sesuatu, beliau tetap akan menyatakan batasnya secara sopan seperti, “Saya rasa agak penat,” jika mendapat terlalu banyak permintaan untuk menghasilkan sesuatu karya

Bapanya, Encik Azam Jibani, 51 tahun, yang turut menyertai sesi wawancara turut membantu menjelaskan apa yang cuba dikongsikan anaknya.

“Minat Zulkhairi ini amat mendalam. Setiap kali kami keluar, buku lukisan dan telefonnya pasti akan dibawa supaya beliau boleh menangkap gambar bangunan atau persekitaran dan melukisnya,” kata Encik Azam.

Menurut pengurus wilayah dalam industri perubatan itu, bakat seni Zulkhairi mula dikesan semasa beliau kecil apabila gurunya menggunakan kegiatan melukis untuk menenangkan hiperaktiviti beliau.

“Seni ini membuatnya rasa tenang. Apabila di Sekolah Eden, minatnya menjadi semakin serius dan kami juga mula memberikan sokongan penuh untuk beliau mengasah minatnya ini.

“Kami belikannya kanvas, alat dan bahan yang sesuai dan memberi galakkan untuk beliau teroka seni ini,” ujar Encik Azam.

Ibunya, Cik Wahidah Ismail, 47 tahun, berkata anak mereka dikenali sebagai mempunyai rekaan yang terperinci serta minat mendalam dalam seni bina.

Ia dapat dilihat dalam karya seni Katedral Berlin yang kini dalam proses penyiapan sejak dua tahun lalu – mendapat inspirasi hasil lawatan keluarga mereka ke Berlin, Jerman.

Beliau akan berusaha melengkapkan karyanya itu jika ada masa luang.

Lukisan Katedral Berlin karya seni hasil sentuhan Zulkhairi yang masih dalam proses penyiapan sejak dua tahun lalu. Beliau mendapat inspirasi hasil lawatan keluarganya ke Berlin, Jerman.
Lukisan Katedral Berlin karya seni hasil sentuhan Zulkhairi yang masih dalam proses penyiapan sejak dua tahun lalu. Beliau mendapat inspirasi hasil lawatan keluarganya ke Berlin, Jerman. - Foto MOHAMMAD ZULKHAIRI LUTFI MOHD AZAM

“Ketelitian beliau amat tinggi, dan beliau sentiasa menuntut piawaian yang tinggi dalam setiap hasil karyanya,” kata suri rumah itu.

Bukan sahaja mahir dalam bidang seni, Zulkhairi juga pernah mewakili Singapura dalam Sukan Olimpik Khas Dunia 2023 di Berlin, Jerman, dalam acara trek.

Pasukannya meraih tempat pertama dalam acara 4x400m campuran beregu.

Berhasrat mahu membuka studio seninya sendiri, beliau kini mengimbangi masanya dengan projek seni dan jadual latihan sukannya setiap minggu.

Perjalanannya sebagai seorang pelukis turut diperkukuh oleh bimbingan mentor di ART:DIS dan sokongan padu ibu bapanya.

Sebelum ini seorang yang pendiam dan pemalu, Zulkhairi kini berkembang menjadi pelukis yang yakin dan bersemangat.

Mentornya di ART:DIS turut menyifatkan beliau sebagai seorang yang rajin, berdisiplin dan sangat fleksibel kerana mampu mengendalikan beberapa tempahan dan bengkel secara serentak.

Autisme baginya bukan kelemahan, tetapi kekuatan yang membolehkannya memberi tumpuan mendalam dan bekerja dengan tekun.

“Kami percaya bahawa keadaannya bukan halangan, malah platform untuk kejayaan.

“Zulkhairi mengajar kami untuk mendekati sesuatu dengan memberikan yang terbaik, bukan sahaja sokongan melalui kata, bahkan juga dengan menyediakan ruang sesuai untuk membantu orang maju,” kata Encik Azam.

Keluarga Encik Zulkhairi turut berharap agar masyarakat bersikap lebih terangkum dan memahami spektrum autisme, sambil menekankan bahawa tumpuan seharusnya diberikan kepada kemampuan individu, bukan diagnosis.

“Saya berharap semua orang dapat menghargai karya seni saya serta melihat kreativiti dan cerita yang ingin disampaikan melalui setiap karya saya,” ujar Zulkhairi yang juga merupakan antara pelukis di sebalik lukisan beg jinjing Hari Kebangsaan Singapura (NDP) 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg