Kurang dua bulan sejak ia menerajui program yang bertujuan mempersiap pasangan Muslim dalam perjalanan keibubapaan dan keluarga, AMP Singapura telah pun mengorak langkah untuk mendekati lebih ramai pasangan.

Pada Jun, AMP menambah jumlah pegawai bagi program Achieving Resilient and Inspiring Families (Arif) itu, daripada lima kepada lapan pegawai dan sedang merancang untuk mengambil dua lagi pegawai pada masa depan.

AMP turut merancang untuk mengadakan latihan berterusan bagi para pegawai tersebut, termasuk Kadi, untuk mempertingkat kemahiran masing-masing untuk mendamping pasangan Muslim.

Selain itu, ia juga akan bekerjasama dengan sayap penyelidikan AMP, Pusat Penyelidikan Hal Ehwal Islam dan Melayu (Rima), untuk memantau hasil inisiatif di bawah Arif bagi memastikan ia kekal berkesan mengikuti keperluan keluarga Islam yang berubah.

Sejak dilancarkan sebagai program rintis pada September 2020, seramai 10,700 peserta telah meraih manfaat daripada ceramah pendidikan awam menerusi

Seramai 3,500 pasangan telah mendaftar bagi Arif, manakala hampir 5,300 pasangan pula menerima buku sumber program berkenaan.

Program tersebut pada mulanya dikenali sebagai Projek Arif dan digerakkan bersama oleh Yayasan Temasek, Hospital Wanita dan Kanak-Kanak KK (KKH) serta Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) semasa dalam fasa rintis.

Buat masa ini, terdapat 130 kes pasangan dikendalikan di bawah Arif, kata jurucakapnya, menjawab pertanyaan Berita Harian (BH).

Timbalan Pengarah AMP, Cik Hameet Khanee, menyifatkan peralihan Arif menjadi tetap sebagai langkah yang membolehkan badan itu menyokong pasangan dengan lebih menyeluruh, merentasi pelbagai peringkat dalam membina mahligai.

“AMP menawarkan sokongan luas untuk individu, pasangan keluarga dan pelajar. Pengenalan Arif melengkapi khidmat sedia ada ini dengan menyediakan sokongan perkahwinan dan hubungan yang khas.

“Peralihan ini membolehkan AMP menyokong pasangan dengan lebih holistik merentasi pelbagai peringkat alam perkahwinan, dengan menyepadukan usaha pengukuhan rumah tangga bersama sokongan sosial yang lebih luas, pembinaan keupayaan profesional serta penambahbaikan program secara berterusan,” kongsi Cik Hameet

Ini sekali gus membolehkan pasangan dalam Arif meraih manfaat daripada perkhidmatan menyeluruh AMP mengikut keperluan, sementara klien sedia ada AMP yang layak juga boleh menyertai Arif, tambahnya.

Setelah menjadi program tetap, Cik Hameet menekankan bahawa keutamaan AMP adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap Arif dalam kalangan pasangan yang baru bernikah, agar menggalakkan lebih penyertaan dalam program pengukuhan rumah tangga.

AMP juga ingin memperkukuhkan rujukan ke perkhidmatan AMP lain serta perkhidmatan masyarakat lain sekiranya bersesuaian, di samping terus membangunkan program yang menangani keperluan pasangan yang berubah mengikut peringkat perkahwinan yang berbeza, tambah Cik Hameet.

Arif salah satu daripada pelbagai wadah sokongan yang dikendalikan oleh badan Melayu/Islam (MMO) seperti AMP, telah membawa kesan bermakna dalam usaha lebih luas untuk mengurangkan kadar perceraian dalam pasangan Islam sepanjang sedekad lalu.

Kadar perceraian dekad pertama pasangan Islam mencatat penurunan terbesar, walaupun kekal tertinggi berbanding perkahwinan sivil yang lain, menurut Laporan Trend Keluarga 2026 yang diterbitkan pada 10 Julai.

Bagi kohort perkahwinan 2005, kadar perceraian adalah 24.8 peratus. Angka itu menyusut kepada 17 peratus bagi kohort yang bernikah pada 2014.

Menjawab pertanyaan BH mengenai sokongan yang ada bagi pasangan Muslim, jurucakap Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) menekankan jaringan sokongan holistik yang dihasilkan menerusi kerjasama antara beberapa pihak berkepentingan telah menyumbang kepada kadar perceraian Islam yang kekal menyusut dalam dekad lalu.

Mengulas lebih lanjut peranan Arif dalam memperkukuh jaringan sokongan untuk pasangan Islam, MCCY berkata:

“Ini mencerminkan semangat M3+ yang lebih luas dalam menyatukan pelbagai pihak bagi menyediakan sokongan yang lebih bersepadu dan menyeluruh kepada keluarga serta pasangan Islam.”

Ia termasuk kerjasama berterusan antara agensi pemerintah, Pejabat Pendaftaran Pernikahan Orang islam (ROMM), Mahkamah Syariah, MUIS, masjid serta MMO.

Buat masa ini, Arif bertujuan untuk meningkatkan tahap kesedaran mengenai Arif, supaya ia dapat dimanfaatkan lebih ramai pasangan Muslim, kata Cik Hameet.

“Kami sedang memperhebat usaha pemasaran bagi mengalu-alukan lebih banyak pasangan pengantin baru untuk mendaftar di bawah Arif, agar mereka dapat meraih manfaat daripada program pengukuhan rumah tangga, sumber serta rangkaian sokongan yang lebih luas,” kata beliau.

Antara program utama Arif ialah SaturDate and SunDate, pendidikan awam yang mengupas topik mengenai kesihatan, sosial dan agama dalam perkahwinan.

Terdapat juga sesi penglibatan kesihatan, iaitu Health Meet, yang dikendalikan dengan kerjasama pakar kesihatan dari KKH, serta program Men on the Move, yang memberi tumpuan kepada golongan ayah.