Pengalaman bertugas sebagai bekas ahli bomba selama melebihi dua dekad, di mana beliau terdedah kepada pelbagai bencana dan kematian, telah mendorong Encik Suhaimi Ramli, 43 tahun, untuk memahami dan menghayati ajaran agama secara lebih mendalam.
Lantaran itu, beliau menanam hasrat untuk mengambil pengajian Islam secara berstruktur dengan matlamat agar beliau dapat mencapai kelulusan sehingga peringkat doktor falsafah (phD).
Pada 2013, Encik Suhaimi mengorak langkah menyertai Kursus Fahami Solat (KFS) di Institut Pengajian Tinggi Al-Zuhri. Beliau kemudian mendaftarkan diri bagi program Sijil Pengajian Ugama (SPU) dan seterusnya ke program Diploma Pengajian Islam Zuhri (DPIZ). Semua program itu diikutinya secara sambilan, yang membolehkan beliau belajar sambil bekerja.
Kini, beliau bakal menyelesaikan Diploma Pengajian Islam Lanjutan (DPIL) yang akan disetarakan dengan Sarjana Muda selepas melengkapi tugas-tugas akhir tuntutan institut tersebut, yang antaranya termasuk menjalankan khidmat masyarakat dan praktikum mengajar.
Sesungguhnya, Encik Suhaimi mendapati bahawa pengajiannya di institut itu bukan sahaja meningkatkan ilmunya dalam bidang agama, tetapi ia juga dapat diterapkan dalam pekerjaannya.
Sebagai contoh, beliau yang kini bertugas sebagai seorang konsultan pendidikan kembara sejak sekitar tiga tahun lalu, berkata:
“Sebagai konsultan pendidikan kembara, saya pun mengajar tentang pembangunan kepimpinan dan saya terapkan nilai-nilai kepimpinan dalam Islam semasa mengajar. Misalnya, saya menekankan bahawa kepimpinan bukan mengenai kuasa sahaja, tetapi ia juga satu amanah besar. Selain itu, apabila menjalankan tugasan kaunseling, saya menggunakan ilmu berkenaan kaunseling Islam apabila menguruskan klien Muslim.”
Menurut Encik Suhaimi, antara yang beliau suka tentang pengajiannya di Al-Zuhri ialah peluang menjalankan penyelidikan semasa membuat tugasan atau projek, baik secara sendirian mahupun berkumpulan.
“Semakin banyak penyelidikan saya buat, misalnya berkenaan Al-Quran dan Al-Sunah, lebih banyak yang saya tidak tahu dan itu membuat saya ingin tahu. Menerusi pengajian, saya tahu bagaimana untuk periksa sumber-sumber kajian saya untuk memastikan agar hadis itu sahih dan sebagainya,” kata Encik Suhaimi.
Beliau mendapati modul pengajian yang disampaikan pensyarahnya dari Universitas Ibn Khaldun (UIKA) di Bogor, Indonesia, membantu meningkatkan pemahaman beliau berkenaan Islam.
Encik Suhaimi berterima kasih kepada ibu bapa, isteri dan keluarganya kerana sentiasa memberi sokongan sepanjang tempoh pengajian Islam secara berstruktur beliau selama lebih kurang 10 tahun.
Sementara itu, seorang pelajar belia Al-Zuhri, Encik Naqiy Muzhaffar Mubarak, 20 tahun, memilih mengikuti pengajian Islam sepenuh masa selepas lulus peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’.
Mempunyai sijil pengajian Bahasa Arab dari sebuah persatuan Islam, beliau memasuki program Diploma Pengajian Islam di Al-Zuhri pada 2024.
Mengulas tentang sebab beliau beralih daripada pendidikan sekular ke pendidikan Islam, pelajar tahun kedua itu berkata: “Semasa pandemik Covid-19, saya berada di menengah tiga dan banyak menonton video ceramah Islam. Ia menguatkan semangat saya untuk belajar tentang Islam dengan lebih mendalam.
“Ia juga membuat saya bertekad menukar aliran pendidikan saya dengan mencari institut pendidikan Islam bertauliah dan menyediakan program pengajian Islam secara berstruktur.”
Encik Naqiy berkata pengalaman pengajian awalnya di institut Al-Zuhri itu merupakan satu pembuka mata.
“Semasa di semester pertama, saya dikehendaki menyiapkan sebuah tesis mini setebal 20 muka surat untuk mata pelajaran Metodologi Kajian Ilmiah. Saya tidak pernah membuat tugasan serupa itu semasa di sekolah menengah, tetapi saya sahut cabaran tersebut dengan positif.
“Kini, saya seronok mempelajari pelbagai perkara berkenaan Islam, yang mengajar kita untuk menjadi orang lebih baik dan cara mengamalkan agama dalam dunia moden hari ini.
“Sebagai contoh, menerusi mata pelajaran Teknologi Maklumat dalam Islam, saya mempelajari cara memanfaatkan kecerdasan buatan (AI) untuk mencari maklumat tentang agama dan pada masa sama memastikan maklumat itu sahih.”
Encik Naqiy juga kagum melihat asatizah di institut Al-Zuhri berinteraksi dengan pelajar belia.
“Mereka tahu perhatian kami pendek, jadi mereka menggunakan waktu rehat untuk ajak kami berbual dan bertanya soalan bagi memastikan kami tidak mengalami masalah dalam memahami mata pelajaran kami,” kata beliau.
Lantaran itu, Encik Naqiy yakin beliau membuat keputusan yang baik apabila memutuskan untuk mendalami pengajian Islam sepenuh masa dan bercita-cita belajar hingga ke menara gading dan menjadi seorang ustaz pada masa depan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg