Akses kepada keadilan adalah asas bagi memastikan golongan rentan dan berpendapatan rendah dapat memperoleh pembelaan undang-undang.

Sambil memetik contoh seperti menaikkan had kelayakan bantuan guaman sivil, melembagakan Pejabat Peguam Bela Awam (PDO) dan menyokong inisiatif pro bono berasaskan masyarakat, Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, menambah bantuan guaman dan pembelaan awam bukanlah isu sampingan.

Malah, ia merupakan teras kepada kompak sosial Singapura, dengan individu yang tidak mampu melantik peguam harus tetap menerima bantuan yang bermakna, terutama apabila berhadapan dengan pertuduhan jenayah.

Khidmat guaman pro bono merujuk kepada khidmat percuma atau bayaran rendah.

“Kita telah membangunkan, di Singapura, satu sistem perundangan bertaraf dunia dan badan kehakiman kelas pertama.

“Tetapi seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, semua ini tidak membawa banyak makna jika golongan paling rentan di Singapura, tidak berasa mereka mempunyai akses kepadanya.

“Saya fikir ini juga merupakan satu pemacu yang sangat kuat kepada kedaulatan undang-undang di Singapura, dan bagi kami, ia adalah salah satu tonggak asas utama,” kata Encik Tong.

Beliau berkongsi demikian dalam satu sesi dialog berhubung dengan kedaulatan undang-undang dan fabrik sosial pada 13 Mei.

Dialog itu sebahagian daripada Forum Belia, SGLaw200, anjuran Institut Pengajian Dasar (IPS) dan Kementerian Undang-Undang (MinLaw), dengan kerjasama Majlis Belia Kebangsaan (NYC).

Forum itu dihadiri hampir 500 peserta dan telah diadakan di Sekolah Undang-Undang Yong Pung How, Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Topik lain yang turut dibincangkan termasuk meritokrasi, menegakkan undang-undang di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan perwakilan bagi golongan minoriti.

Dalam pada itu, sependapat dengan Encik Tong ialah Hakim Mahkamah Tinggi, Encik Mohamed Faizal Mohamed Abdul Kadir, yang menekankan tanggungjawab mahkamah untuk memastikan proses perundangan boleh digunakan dan adil.

Katanya: “Sistem terbaik sekalipun mempunyai nilai yang terhad jika rakyat biasa tidak dapat meraih akses menggunakannya.

“Encik Tong akur antara cabaran terbesar akses kepada keadilan hari ini adalah bagaimana golongan yang mempunyai sumber terhad boleh mendapatkan keadilan, termasuk dalam konteks jenayah bagi memastikan orang tertuduh dapat mengambil bahagian secara bermakna dan memahami proses tersebut...

“Matlamat mahkamah adalah untuk memastikan proses tersebut mudah difahami, boleh digunakan dan adil, serta mutu keadilan yang diterima oleh seseorang tidak bergantung kepada sumber kewangan mereka.”

Sementara itu, Timbalan Peguam Negara (DAG) Goh Yihan, pula berkata keputusan pendakwaan dan penggubalan undang-undang mengambil kira golongan rentan, dan rangka kerja perundangan bertujuan melindungi mereka yang tidak mampu melindungi diri sendiri.

“Mungkin fungsi yang paling penting adalah melindungi golongan rentan.

“Kedaulatan undang-undang benar-benar paling bermakna apabila ia memberikan perlindungan kepada mereka yang tidak mampu melindungi diri sendiri.

“Oleh itu, kami memberikan perhatian khusus dalam kes yang melibatkan golongan rentan, termasuk kanak-kanak, warga emas, pekerja domestik dan sudah tentu mangsa penderaan,” ujar DAG Goh.