SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Ahli mikrobiologi AS terima Hadiah Air Lee Kuan Yew

Ahli mikrobiologi AS terima Hadiah Air Lee Kuan Yew

Joan Bray Rose diiktiraf bantu perkukuh keselamatan sistem NEWater S’pura
Apr 16, 2026 | 7:30 PM

Ahli mikrobiologi AS terima Hadiah Air Lee Kuan Yew

Hadiah Air Lee Kuan Yew, Joan Bray Rose
Profesor Joan Bray Rose membentangkan penyelidikannya semasa sidang media Hadiah Air Lee Kuan Yew 2026 pada 16 April. - Foto ST

Seorang ahli mikrobiologi yang mengubah dunia sains dengan mengukur risiko mikrob atau mikroorganisme berbahaya dalam air telah dipilih sebagai penerima Hadiah Air Lee Kuan Yew 2026.

Saintis dari Amerika Syarikat, Profesor Joan Bray Rose, 72 tahun, diumumkan sebagai penerima anugerah berkenaan pada 16 April, atas usahanya menjadi perintis dalam pendekatan melindungi mutu sistem guna semula air seperti NEWater serta membentuk pengurusan air di sini dan sedunia.

Pengiktirafan tersebut, yang menghargai sumbangan cemerlang dalam menangani cabaran air sedunia, diumumkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) agensi air PUB, Encik Ong Tze-Ch’in, dalam satu sidang media di Boardroom PUB, Environment Building di Scotts Road.

“Dengan membolehkan pengiraan Matematik terhadap risiko jangkitan, Profesor Rose menyediakan satu pendekatan dunia untuk mentakrif, mengurus dan mengawal selia keselamatan air,” kata Encik Ong.

Kerjanya memastikan masyarakat di seluruh dunia mendapat bekalan air minuman dan air guna semula yang selamat.

Profesor Rose mula dikenali pada akhir 1980-an apabila mengetuai penyiasatan terhadap parasit mikroskopik, Cryptosporidium, yang menyebabkan beberapa wabak penyakit bawaan air.

Ini termasuk wabak 1993 di Milwaukee, Amerika, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 69 nyawa dan menyebabkan lebih 400,000 orang jatuh sakit.

Profesor Rose merupakan yang pertama membuktikan parasit tersebut adalah punca wabak dan penularan berlaku akibat bekalan air minuman yang tidak ditapis serta tidak dibasmi kuman dengan sempurna.

Ketika itu, ujian keselamatan air hanya memberi keputusan selepas air diminum dan menawarkan perlindungan terbatas terhadap pencemar bawaan air yang bukan bakteria.

Bagi mengatasi jurang genting ini, Profesor Rose dan rakan penyelidiknya merintis penilaian risiko mikrob secara kuantitatif (jumlah berangka), yang menilai risiko berdasarkan kepekatan mikrob, laluan pendedahan dan tahap keberkesanan.

Selepas lebih empat dekad memulakan penyelidikan dalam dunia mikrob penyebab penyakit tidak kelihatan, beliau kini memegang jawatan Kerusi Homer Nowlin dalam Penyelidikan Air di Universiti Michigan State dan pengarah Water Alliance universiti tersebut, selain menghasilkan lebih 300 penerbitan ilmiah.

Beliau menerima Hadiah Air Stockholm 2016 (Stockholm Water Prize 2016) atau yang dianggap sesetengah pihak sebagai ‘Hadiah Nobel’ bagi air.

Baru-baru ini, Anugerah Air Sedunia Persatuan Air Antarabangsa 2024 (International Water Association Global Water Award 2024), turut diraihnya.

Sebagai penerima ke-11 Hadiah Air Lee Kuan Yew, beliau akan menerima sijil, pingat emas dan $300,000.

Pingat akan disampaikan semasa pembukaan rasmi Persidangan Minggu Air Antarabangsa Singapura (SIWW) oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perusahaan, Encik Gan Kim Yong, dalam satu majlis di Pusat Persidangan dan Ekspo Sands di Marina Bay Sands, pada 16 Jun.

Selain membantu penggubal dasar menentukan tahap risiko kesihatan yang boleh diterima bagi sumber air, penilaian risiko mikrob kuantitatif Profesor Rose turut mengukuhkan keyakinan sedunia terhadap penggunaan air kitar semula sebagai sumber bekalan air yang berdaya maju dan mampan, menurut kenyataan SIWW.

Singapura telah memanfaatkan kepakaran Profesor Rose selama lebih dua dekad, kerana memainkan peranan penting dalam menilai keselamatan NEWater (atau air terpakai yang dikitar semula) sebagai sebahagian daripada panel yang dirujuk untuk ‘paip ketiga’ Singapura yang mengolah air terpakai menjadi air kitar semula yang amat bersih.

Profesor Rose berkata sistem pemantauan dan rawatan air sisa Singapura akan menjadi rujukan sedunia ketika kesedaran terhadap tekanan air meningkat.

Beliau menganggap kerjasama yang menghubungkan sains dan dasar sebagai pencapaian terbesar kerjayanya.

Pada 2015, beliau dinamakan warganegara kehormat Singapura atas sumbangannya kepada mutu dan keselamatan air.

Mengulas mengenai Hadiah Air Lee Kuan Yew, beliau berkata anugerah itu mencerminkan perkembangan bersama dalam memajukan sains risiko mikrob serta peranannya dalam melindungi kesihatan awam.

“Air selamat adalah antara sumber paling asas di dunia, namun tidak diagihkan secara merata serta amat mustahak bagi kehidupan manusia,” katanya.

“Apabila risiko mikrob terus berkembang, pengukuhan sistem air perlu diteruskan agar kekal boleh dipercayai dan berdaya tahan, melindungi mutu air serta nyawa manusia,” tambahnya lagi.

Ini termasuk risiko daripada campuran bahan per- dan polifluoroalkil (PFAS) yang kekal lama dalam persekitaran, serta mikroplastik dan bakteria tahan antibiotik, tambah beliau.

SIWW 2026 dijangka menghimpunkan 2,500 pemimpin, pakar dan pengamal daripada sektor pemerintah, perbandaran, perkhidmatan air dan industri, serta lebih 25,000 pelawat perdagangan.

Antara penerima Hadiah Air Lee Kuan Yew sebelum ini adalah ahli mikrobiologi Belanda, Profesor Gertjan Medema, yang merintis pemantauan air sisa untuk membendung penularan koronavirus semasa pandemik Covid-19.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg