Sebuah agensi sehenti baru pemerintah yang ditubuhkan bagi membantu mangsa bahaya dalam talian mendapatkan penyelesaian akan beroperasi mulai 29 Jun.

Penjawat awam veteran, Encik Francis Ng, 50 tahun, akan menerajui Suruhanjaya Keselamatan Dalam Talian (OSC) baru tersebut.

Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) serta Kementerian Undang-Undang (MinLaw) dalam satu kenyataan bersama pada 14 Mei berkata:

“Apabila satu insiden bahaya dalam talian berlaku, Pesuruhjaya boleh mengarahkan tindakan bagi menghentikan bahaya tersebut.

“Ini termasuk mengarahkan kandungan berbahaya diturunkan atau menyekat akaun dalam talian si pelaku.”

Encik Ng mempunyai kepakaran lebih 25 tahun dalam peranan undang-undang sektor awam.

Beliau pernah memegang jawatan utama termasuk Pengarah (Dasar Undang-Undang) di MinLaw dan Timbalan Ketua Pendakwa Raya di Bahagian Jenayah, Pejabat Peguam Negara (AGC).

Buat masa ini, Encik Ng menggalas tanggungjawab sebagai Pemegang Amanah Awam dan Pegawai Pemegang Harta, Penerima Rasmi, Pegawai Pelesenan, Pendaftar Pemiutang, Pendaftar Pajak Gadai serta Ketua Pegawai Penguatkuasaan Nafkah di MinLaw. 

Beliau akan dilantik sebagai Pesuruhjaya (Dilantik) bagi Keselamatan Dalam Talian bermula 1 Jun hingga 28 Jun, sebelum memulakan tugas tersebut secara rasmi pada 29 Jun.

OSC ditubuhkan menyusuli kelulusan Akta Keselamatan Dalam Talian (Bantuan dan Kebertanggungjawaban) di Parlimen pada November 2025.

Peruntukan tertentu di bawah undang-undang baru itu juga akan berkuat kuasa pada 29 Jun, bagi memberi kuasa kepada OSC untuk mengarahkan platform, pentadbir kumpulan atau laman web, serta pencipta kandungan supaya menurunkan kandungan berbahaya; menyekat akaun dalam talian pelaku; atau membenarkan mangsa menyiarkan respons balas.

Mangsa juga boleh memfailkan tuntutan ganti rugi sivil di mahkamah sekiranya individu, pentadbir kumpulan atau laman web serta pihak platform melakukan atau gagal mengambil langkah munasabah bagi menangani aduan bahaya dalam talian yang telah dilaporkan.

Undang-undang tersebut diperkenalkan di tengah-tengah kebimbangan yang semakin meningkat terhadap kepantasan dan skala penyebaran kandungan berbahaya di Internet, termasuk gangguan serta penyalahgunaan imej intim.

Mangsa sebelum ini turut memberi maklum balas bahawa mereka mahukan tindakan penurunan kandungan dilakukan dengan pantas, selain kemampuan untuk mengambil tindakan terhadap pelaku yang tidak dikenali.

Singapura merupakan antara sebilangan kecil negara di dunia yang mempunyai agensi khusus bagi membantu mangsa bahaya dalam talian. 

Penubuhan OSC berpandukan pengawal selia keselamatan dalam talian pertama di dunia, iaitu Pesuruhjaya eSafety Australia yang ditubuhkan pada 2015.

Pada peringkat awal operasi, OSC akan mengendalikan 13 jenis bahaya dalam talian, dengan tumpuan awal diberikan kepada gangguan dalam talian, pendedahan maklumat peribadi, pengintaian dalam talian, penyalahgunaan imej intim serta penderaan kanak-kanak berasaskan imej.

Secara berperingkat, suruhanjaya itu akan turut menangani isu penyamaran dalam talian, kandungan palsu mendalam; hasutan dalam talian yang membawa kemudaratan melampau; hasutan keganasan dan permusuhan; pendedahan maklumat peribadi tanpa kebenaran; serta penerbitan bahan palsu atau kenyataan yang menjejaskan reputasi.

Palsu mendalam, atau ‘deepfake’ merupakan satu teknik pemalsuan dengan merubah rupa paras seseorang pada gambar atau video, menggunakan gambar asli melalui kaedah tindan wajah.

“Secara keseluruhan, langkah ini memperkukuh tindakan Singapura terhadap bahaya dalam talian dengan menyediakan saluran khusus bagi mangsa mendapatkan penyelesaian segera, selain menetapkan tanggungjawab jelas kepada pihak yang menyiarkan kandungan berbahaya, mengurus ruang dalam talian dan mengendalikan platform,” kata MDDI dan MinLaw.