Topik diikuti
Pergi ke BHku8 dikejar ke hospital selepas kebakaran flat di Potong Pasir
8 dikejar ke hospital selepas kebakaran flat di Potong Pasir
Seorang lelaki 44 tahun ditahan, disyaki terbabit dengan perbuatan nakal
8 dikejar ke hospital selepas kebakaran flat di Potong Pasir
Seramai lapan individu dihantar ke hospital selepas kebakaran tercetus di sebuah flat di tingkat 18, blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Joo Seng Road, Potong Pasir, pada malam 4 Mei.
Menerusi hantaran di Facebook, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), berkata dua anggota bomba berasa tidak sihat semasa operasi pemadaman kebakaran tersebut dan turut dihantar ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga.
Menjawab pertanyaan media, polis memberitahu The Straits Times (ST), seorang lelaki berusia 44 tahun telah diberkas di tempat kejadian atas kesalahan khianat dengan api.
Polis dan SCDF berkata mereka telah dimaklumkan tentang kebakaran di Blok 14, Joo Seng Road, pada sekitar 9.40 malam.
Lapan individu itu yang dipercayai terhidu asap bersama dua anggota bomba, telah dihantar ke Hospital Besar Singapura (SGH), kata SCDF dalam hantarannya di Facebook.
“Apabila tiba, api kelihatan sedang marak di dalam sebuah unit di tingkat 18,” kata SCDF.
Pihaknya menambah, api yang membakar seluruh unit itu telah dipadamkan dengan dua pancutan air.
Tiga individu berjaya menyelamatkan diri sebelum SCDF tiba.
“Penemuan awal menunjukkan kebakaran itu mungkin dimulakan dengan sengaja,” kata SCDF dalam hantaran itu.
Dalam kenyataan pada petang 5 Mei, polis berkata kejadian itu telah mengakibatkan kerosakan harta benda yang teruk kepada unit kediaman berhampiran yang turut terjejas.
Mereka menambah, dua anggota bomba yang dihantar ke hospital telah dibenarkan pulang.
Lelaki berusia 44 tahun itu dijangka akan didakwa pada 6 Mei atas kesalahan khianat dengan api, dengan niat untuk memusnahkan sebuah rumah.
Siasatan polis sedang dijalankan.
Jika didapati bersalah, lelaki itu boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun dan didenda.
Dalam hantaran di Facebook, Anggota Parlimen (AP) Potong Pasir, Encik Alex Yeo, berkata SCDF telah memindahkan seluruh penduduk blok itu demi keselamatan mereka, dan semua penduduk yang terjejas berada dalam keadaan selamat.
Beliau turut berterima kasih kepada pegawai HDB yang memeriksa struktur bangunan bagi mengesan sebarang isu dan mengaturkan penginapan sementara bagi penduduk yang terjejas.
Encik Yeo juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada sukarelawan akar umbi dan pasukan Persatuan Rakyat (PA) yang berada di sana sehingga awal pagi, untuk menjaga penduduk sehingga selamat bagi mereka untuk kembali ke rumah masing-masing.
