Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

8 dalam 10 warga emas pilih tinggal di flat HDB sendiri

Isi rumah warga emas merangkumi 31.0% isi rumah penduduk flat HDB, ia naik daripada 25.6% pada 2018
Nov 27, 2025 | 1:16 PM
jenis flat, tinjauan hdb, hdb warga emas
Jenis perumahan yang paling popular dalam kalangan warga emas ialah flat tiga bilik, yang menjadi pilihan 28.8 peratus. - Foto fail

Lebih daripada lapan dalam 10 warga emas, iaitu sebanyak 85.9 peratus, berhasrat untuk terus tinggal di flat sedia ada mereka.

Jika warga emas memerlukan bantuan untuk menjalani kegiatan harian, mereka lebih memilih untuk menua di rumah sendiri dengan bantuan penjagaan daripada ahli keluarga, pembantu rumah, atau sokongan profesional.

Pada 2023/24, isi rumah warga emas merangkumi kira-kira satu pertiga atau 31.0 peratus daripada semua isi rumah penduduk yang tinggal di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), meningkat daripada satu perempat atau 25.6 peratus pada 2018.

HDB mendedahkan perangkaan itu pada 27 November, yang diperolehi menerusi Tinjauan Sampel Isi Rumah 2023/24 yang dilakukannya setiap lima tahun.

“Dengan penduduk Singapura yang semakin tua, HDB akan terus menyediakan pelbagai pilihan perumahan dan mewujudkan persekitaran hidup yang selamat dan selesa untuk warga emas,” kata HDB dalam satu kenyataan.

Jumlah warga emas yang berusia 65 tahun ke atas juga dilaporkan meningkat, membentuk hampir satu dalam lima atau 18.2 peratus penduduk HDB.

Ia hampir dua kali ganda jumlah warga emas pada 2013 yang sebanyak 10.4 peratus.

Tinjauan itu melibatkan sekitar 7,000 penghuni di semua estet dan bandar HDB, dan sekitar 1,600 penghuni bujang dan dilakukan antara October 2023 dengan April 2024.

Dalam pada itu, sebahagian kecil warga emas atau 14.1 peratus menyatakan hasrat untuk menukar ke flat lebih kecil bagi memudahkan penyelenggaraan atau untuk pendapatan tambahan.

Apabila ditanya tentang jenis perumahan lebih dipilih untuk menua, jenis perumahan yang paling popular dalam kalangan warga emas ialah flat tiga bilik, yang menjadi pilihan 28.8 peratus.

Di samping itu, sekitar satu dalam lima isi rumah warga emas memilih flat dua bilik, meningkat daripada seorang dalam sembilan warga emas atau 11.8 peratus pada 2018.

Pilihan bagi flat empat bilik dan lebih besar juga merosot daripada 45.4 peratus pada 2018, kepada 36.9 peratus pada 2023/2024.

Warga emas yang memilih flat satu bilik kekal hampir sama – 1.1 peratus pada 2018 dan 1.3 peratus pada 2023/24.

Jumlah yang memilih hartanah persendirian juga kekal hampir sama pada 0.4 peratus pada 2018 dan 0.5 peratus pada 2023/24, manakala jenis perumahan lain, seperti rumah jagaan, menunjukkan peningkatan daripada 1.6 peratus pada 2018 kepada 3.6 peratus pada 2023/24.

Selain itu, 6.0 peratus isi rumah warga emas turut memilih untuk menyewa pada 2023/24, hampir sama dengan 6.7 peratus yang dilaporkan pada 2018.

HDB menambah, ia akan terus menawarkan projek Apartmen Penjagaan Masyarakat (CCA), dengan projek keenam yang akan dilancarkan di Toa Payoh pada 2026.

CCA menyepadukan perumahan mesra warga emas dengan keperluan penjagaan.

Sebanyak 1.4 peratus isi rumah warga emas menyatakan pilihan terhadap jenis perumahan CCA, kata HDB.

Semasa Rapat Hari Kebangsaan pada Ogos, Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, mengumumkan pemerintah akan melancarkan Kejiranan Sihat Menua bermula di Toa Payoh.

Ia merupakan inisiatif baru bagi menyokong warga emas meniti usia di kawasan yang sama.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg