SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

5 generasi berhimpun, kenang peninggalan tokoh di balik Jalan Kathi, Kampung Bedok

5 generasi berhimpun, kenang peninggalan tokoh di balik Jalan Kathi, Kampung Bedok

Sekitar 350 anggota keluarga berkumpul bagi acara Hari Raya
Apr 4, 2026 | 8:35 PM

5 generasi berhimpun, kenang peninggalan tokoh di balik Jalan Kathi, Kampung Bedok

Kampung Bedok,
Lima generasi keturunan Allahyarham Kadhi Haji Ismail, seorang tokoh agama dan antara pengasas Kesatuan Melayu Singapura, berkumpul di HortPark bagi mengeratkan silaturahim dan mengenang warisan Kampung Bedok. - Foto BM oleh KHALID BABA

Terletak di sepanjang Bedok Road dekat Tanah Merah, Jalan Kathi merupakan antara peninggalan terakhir Kampung Bedok, perkampungan Melayu yang pernah wujud sebelum dirobohkan pada 1980-an. 

Jalan ini dinamakan sempena Allahyarham Kadhi Haji Ismail, seorang tokoh agama dan antara pengasas Kesatuan Melayu Singapura.

Lebih empat dekad selepas kampung itu lenyap, keturunan Haji Mohamed Haji Ismail – atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, anak sulung Allahyarham Kadhi Haji Ismail – kembali berhimpun dalam satu perjumpaan istimewa. 

Rumah teres tiga tingkat di Jalan Kathi.
Rumah teres tiga tingkat di Jalan Kathi. - Foto ZAOBAO

Pada 4 April, sekitar 350 anggota keluarga merangkumi lima generasi berkumpul di HortPark bagi acara Hari Raya yang dinamakan Balik Kampung Tok Mat.

Acara ini dianjurkan oleh jawatankuasa keluarga yang dikenali sebagai ‘Tok Mat Tribe’, diketuai Encik Abdul Malek Osman, keturunan generasi kedua Tok Mat. 

Menurut beliau, perjumpaan ini bertujuan mengukuhkan silaturahim, menghidupkan semula sejarah keluarga serta memastikan kebajikan golongan lebih tua terus terpelihara.

“Selama ini kami sering berjumpa semasa Hari Raya, tetapi ini kali pertama semua lima generasi dapat berkumpul bersama,” katanya kepada Berita Minggu (BM).

Beliau menambah, generasi muda mungkin pernah mendengar tentang Kampung Bedok dan Tok Mat, namun tidak memahami sepenuhnya kepentingan sejarah tersebut.

Allahyarham Haji Mohamed Haji Ismail, atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, anak sulung Kadhi Haji Ismail.
Allahyarham Haji Mohamed Haji Ismail, atau lebih dikenali sebagai Tok Mat, anak sulung Kadhi Haji Ismail. - Foto ihsan ABDUL MALEK OSMAN

“Kami mahu mereka benar-benar mengenali asal usul mereka dan memahami semangat kehidupan kampung itu,” ujarnya.

Selepas penduduk Kampung Bedok dipindahkan ke flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada tahun 1980-an, ahli keluarga mula bertebaran di seluruh Singapura.

Walaupun kunjungan Hari Raya masih diteruskan, hubungan semakin longgar dan sejarah keluarga kian dilupakan.

Menyedari keadaan ini, usaha mengumpul semula maklumat keluarga dimulakan sekitar setahun lalu. 

Satu salasilah keluarga turut disusun, walaupun masih belum lengkap kerana saiznya yang besar. 

Pada Jun 2025, wakil daripada pelbagai cabang keluarga bersetuju untuk menganjurkan satu perjumpaan besar.

Acara tersebut, yang menelan belanja hampir $7,000 hasil sumbangan keluarga, menampilkan pelbagai hidangan tradisional, persembahan silat dan tarian Melayu, bacaan Al-Quran serta aktiviti untuk kanak-kanak.

Bagi generasi lebih tua, pertemuan ini amat bermakna. 

Cik Munira Mohd, 66 tahun, yang pernah menetap di Kampung Bedok, meluahkan rasa gembira dapat bertemu anak, cucu dan cicitnya.

“Saya harap usaha ini dapat diteruskan pada masa hadapan,” katanya.

Dalam kalangan generasi muda pula, Cik Nursyafiqah Noorman, 26 tahun, berkata acara ini membuka peluang untuk beliau mengenali keluarga dengan lebih mendalam.

“Biasanya kami hanya berjumpa semasa Raya tanpa berbual tentang sejarah keluarga,” katanya.

Walaupun berdepan cabaran menghubungi saudara-mara yang telah lama terpisah, usaha tersebut berjaya menyatukan kembali keluarga besar ini.

Walaupun Kampung Bedok tidak lagi wujud secara fizikal, semangatnya terus hidup dalam diri generasi pewaris, dipelihara melalui ikatan kekeluargaan dan silaturahim yang kekal utuh.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg