Pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Pelabuhan Klang telah menemui sekitar 300,000 peranti vape dan komponennya yang dipercayai sedang dibawa dalam perjalanan ke Singapura.
Sumber yang mengetahui tentang siasatan itu memberitahu The Straits Times (ST), bahawa vape tersebut berasal dari China.
Apabila pegawai kastam melakukan pemeriksaan pada kontena itu pada 30 Julai, mereka menemui kotak-kotak kadbod yang diisytiharkan sebagai perabot.
Pegawai kastam mengesyaki bahawa ia sebenarnya mengandungi barangan haram seperti vape kerana dibalut dengan beg plastik hijau – satu taktik yang biasa digunakan sindiket penyeludupan vape, menurut sumber berkenaan.
Vape yang dirampas itu dilabel dengan jenama ‘Salthub’, namun tidak mengandungi sebarang amaran kesihatan yang diwajibkan bagi peranti yang dipasarkan di Malaysia.
Penggunaan vape dibolehkan di sesetengah negeri, termasuk Selangor – tempat terletaknya Pelabuhan Klang.
“Vape yang sah mesti mematuhi garis panduan Malaysia, termasuk pembungkusan dan label yang betul, disertakan amaran kesihatan, memenuhi cukai eksais serta menepati had isi padu cecair vape.
“Kami tahu terdapat beberapa platform di Singapura (seperti di Telegram dan dalam talian) yang mempromosikan jenama vape popular ini,” kata sumber tersebut.
Beliau berkata penyeludup biasanya menghantar vape itu ke Singapura melalui darat.
Pejabat Dadah dan Jenayah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNODC) telah mengeluarkan amaran dalam satu laporan pada Mei bahawa sindiket jenayah menggunakan Malaysia sebagai hab utama penyeludupan melalui laut bagi dadah seperti ‘methamphetamine crystal’ atau ‘Ice’, serta vape ke Asia Tenggara.
Menurut laporan itu, sindiket dadah yang mengelak laluan darat dari Thailand kini semakin menggunakan laluan laut atau kargo untuk menghantar barangan terus ke Pelabuhan Klang.
“Seperti tahun-tahun sebelumnya, Selangor – yang terletak di pantai barat Semenanjung Malaysia – mencatat jumlah rampasan ‘Ice’ terbesar di negara ini pada 2024, iaitu sebanyak 3.6 tan, menunjukkan peranannya bukan sahaja sebagai pintu masuk utama tetapi juga sebagai pintu keluar terutama ke Sumatera Utara, Indonesia,” tambah UNODC.
Pada awal 2025, Kastam Malaysia telah merampas vape dan jus vape bernilai RM5 juta ($1.52 juta) dalam beberapa operasi penguatkuasaan berasingan di pelabuhan Pulau Pinang dan Selangor.
Rampasan itu termasuk 71,886 peranti vape dan 786.5 liter cecair berperisa bernilai RM3.64 juta di Pelabuhan Klang.
Barangan tersebut diisytiharkan secara palsu sebagai barangan plastik.
Kes terbaru pada Julai ini pula dipercayai memulakan perjalanan dari China melalui sebuah syarikat penghantaran tanpa disertakan maklumat nombor telefon atau laman web.
Berdasarkan dokumen penghantaran yang dilihat ST, barangan itu sepatutnya diambil oleh seorang penerima dari Malaysia.
Apabila pihak berkuasa mengunjungi alamat perniagaan berdaftar penerima itu, mereka mendapati ia merupakan sebuah kediaman, dan bukan pejabat atau gudang.
ST telah menghubungi Pelabuhan Klang dan Kastam Negeri Selangor untuk mendapatkan perincian lanjut.
Sementara itu, pihak berkuasa Singapura telah meningkatkan langkah penguatkuasaan susulan peningkatan kegiatan pengambilan vape.
Dari Januari 2024 hingga Mac 2025, Penguasa Sains Kesihatan (HSA) telah merampas vape bernilai $41 juta.
Penguasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) turut meningkatkan pemeriksaan di semua pusat pemeriksaan udara, darat dan laut bagi menjejak dan menghalang cubaan penyeludupan vape.
Agensi itu berkata ia menggunakan analisis data untuk menjalankan penilaian risiko praketibaan terhadap pelawat, kenderaan dan kargo.
Kargo atau pelawat yang dikenal pasti berisiko tinggi akan diperiksa semasa ketibaan di semua pusat pemeriksaan Singapura.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg