Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 warga S’pura didenda di M’sia buang sampah tempat awam

Jan 6, 2026 | 6:20 PM
Malaysia, Singaporeans, littering
Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) telah berkuat kuasa pada 1 Januari sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan lebih ketat terhadap kesalahan membuang sampah ringan. - Foto fail

KUALA LANGAT (Selangor): Tiga warga Singapura merupakan antara 120 individu yang dikenakan denda RM2,000 ($630), serta diperintah menjalani khidmat masyarakat kerana membuang sampah sembarangan di kawasan awam, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Encik Nga Kor Ming. 

Beliau berkata semua pesalah akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat, tertakluk kepada kelulusan Jabatan Peguam Negara.

“Saya dimaklumkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) bahawa pada 5 Januari di Johor Bahru, lima individu telah ditahan – tiga daripada mereka adalah warga Singapura,” kata Encik Nga.

Beliau turut menambah bahawa di bawah Ops Cegah yang dijalankan pada 1 dan 2 Januari, seramai 120 pesalah telah ditangkap, terdiri daripada 86 warga tempatan dan 34 warga asing.

“Mereka ingat boleh (buang sampah di tempat awam), sekarang tidak boleh. Kita nak Singapura bersih, Malaysia lagi bersih,” katanya ketika berucap dalam Majlis Sentuhan Kejayaan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) 2025 di Pasar Awam Sungai Jarom, Selangor, pada 6 Januari.

Menurut Encik Nga, Perintah Khidmat Masyarakat di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) telah berkuat kuasa pada 1 Januari sebagai sebahagian daripada penguatkuasaan lebih ketat terhadap kesalahan membuang sampah ringan.

Hukuman itu dilaksanakan menerusi pindaan Akta 672 yang diluluskan Dewan Rakyat pada Ogos 2025 dan dibentangkan di Dewan Negara pada bulan sama, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Penguatkuasaan itu meliputi negeri Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perlis dan Kedah, serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Mengenai pelaksanaan lima negeri, iaitu Pulau Pinang, Perak, Kelantan, Terengganu dan Selangor yang tidak tertakluk di bawah Akta 672, Encik Nga berkata penguatkuasaan akan dilakukan pihak berkuasa tempatan.

Encik Nga menambah bahawa SWCorp telah diarah mengambil tindakan tegas terhadap individu yang membuang sampah sembarangan, dengan amaran hukuman lebih berat menanti pesalah.

“Setelah ditangkap, mereka akan diberikan seragam baru – satu jaket hijau – dan diarahkan bekerja bersama pekerja pembersihan majlis tempatan untuk menyapu jalan, membersihkan longkang, memotong rumput serta membersihkan tandas.

“Mereka boleh dikenakan denda antara RM2,000 dengan RM10,000. Jika seseorang kaya dan ingin ‘derma’ kepada kerajaan, mereka boleh membuang sampah – tetapi mereka perlu bayar RM10,000 dan tetap perlu menjalani khidmat masyarakat,” ujar Encik Nga.

Menurut Encik Nga, langkah penguatkuasaan itu telah menunjukkan hasil.

Selepas acara pencahayaan ‘I Lite U’, yang bertepatan dengan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) di Bukit Bintang pada 3 Januari, kawasan tersebut kekal bersih meskipun dihadiri ramai orang. 

“Hampir 30,000 orang menghadiri acara itu, tetapi selepas orang ramai beredar, tiada sampah ditinggalkan. Itu menunjukkan penguatkuasaan berkesan,” tambah Encik Nga.

“Setelah ditangkap, mereka (pesalah) akan diberikan seragam baru – satu jaket hijau – dan diarahkan bekerja bersama pekerja pembersihan majlis tempatan untuk menyapu jalan, membersihkan longkang, memotong rumput serta membersihkan tandas.”
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Encik Nga Kor Ming.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg