Dua pusat khidmat keluarga (FSC) di Tengah dan Bukit Panjang akan dibuka pada 2026 dan 2027, dijangka meningkatkan jumlah keseluruhan pusat itu kepada 51.
Pusat baru itu bertujuan memenuhi ramalan peningkatan permintaan bagi perkhidmatan FSC di kawasan berkenaan serta menambah baik akses kepada sokongan keluarga, kata seorang jurucakap Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).
Setakat Disember 2025, terdapat 49 FSC di seluruh Singapura, lapor The Straits Times (ST).
Pusat tersebut menyediakan sokongan sosial dan emosi kepada keluarga serta individu.
FSC di Tengah merupakan pusat pertama seumpamanya di estet baru itu dan akan dikendalikan oleh Thye Hua Kwan Moral Charities (THKMC), sebuah agensi perkhidmatan sosial.
Pusat tersebut dijangka dibuka pada suku terakhir 2026.
Menurut jurucakap THKMC, bantuan FSC paling kerap dicari bagi isu pengasuhan anak, hubungan keluarga, keganasan domestik, kesihatan mental dan kewangan.
Dalam tahun kewangan MSF 2024 yang berakhir pada 31 Mac 2025, FSC mengendalikan hampir 26,600 kes selain lebih 27,400 kes maklumat dan rujukan.
Pada tahun kewangan 2023, kedua-dua kategori merekodkan sekitar 28,200 kes setiap satu.
Kes kerja melibatkan kerjasama langsung kakitangan FSC dengan penerima bantuan, manakala kes maklumat dan rujukan tertumpu pada penyaluran kepada perkhidmatan sosial serta sumber masyarakat.
THKMC kini mengendalikan lima pusat FSC, termasuk di Bedok North, MacPherson, Tanjong Pagar, Bukit Panjang dan Jurong.
Jurucakapnya berkata penggunaan teknologi, termasuk alat dalam talian, akan dimanfaatkan di FSC baru di Tengah bagi menilai kesejahteraan emosi penerima bantuan.
“Kami bertekad untuk memahami keperluan penduduk Tengah dan menyesuaikan sokongan kami dengan demografi kawasan ini,” katanya.
Sementara itu, Khidmat Masyarakat Fei Yue akan membuka pusat FSC baru di Bukit Panjang, yang dijangka mula beroperasi antara 2026 dengan 2027.
Agensi itu kini mengendalikan enam pusat FSC di beberapa kawasan termasuk Bukit Batok, Choa Chu Kang dan Yew Tee.
Care Corner Singapore pula memulakan operasi FSC terbarunya di Punggol pada April 2025 dari lokasi sementara, sebelum berpindah ke tapak kekal menjelang Ogos 2026.
Timbalan pengarah Care Corner bagi perkhidmatan keluarga dan masyarakat, Encik Martin Chok, berkata isu keganasan domestik, pengasuhan anak dan kesihatan mental antara sebab utama orang ramai mendapatkan bantuan, dengan ramai keluarga berdepan pelbagai masalah serentak.
Agensi itu kini mengendalikan enam pusat FSC di Admiralty, Queenstown, Punggol, Toa Payoh, Tampines dan Woodlands.
Beliau berkongsi kisah seorang lelaki yang berhenti kerja untuk menjaga keluarganya selepas isterinya mengalami masalah kesihatan mental, dengan keluarga itu kini menerima bantuan kewangan dan isterinya semakin pulih.
Seorang pelajar berusia 16 tahun, Clare (bukan nama sebenar), berkata menerima kaunseling di THK Family Service Centre@Tanjong Pagar selama empat tahun membantunya mengawal kemarahan, berhubungan dengan lebih baik dan membina persahabatan.
“Saya rasa kaunseling membantu kerana saya dapat meluahkan perasaan tanpa dihakimi,” katanya.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg