Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

2 lelaki S’pura dibawa pulang dari Thailand, Kemboja didakwa atas penipuan

Nov 13, 2025 | 3:35 PM
Singapura, penipuan, SPF
Seah Jianhao (kiri) dan Ong Kwang Wee dibawa ke Mahkamah Daerah pada 13 November selepas dihantar pulang ke Singapura dari Thailand dan Kemboja. - Foto SPF

Dua lelaki Singapura yang dipercayai terlibat dalam operasi penipuan rentas sempadan yang menyasarkan rakyat Singapura telah dibawa ke Mahkamah Daerah pada 13 November.

Ini selepas mereka dihantar pulang ke Singapura dari Thailand dan Kemboja.

Ong Kwang Wee, 44 tahun, didakwa dengan satu tuduhan membantu mengakses bahan komputer tanpa kebenaran.

Kertas tuduhan menyatakan Ong didakwa membenarkan seorang individu, yang dikenali sebagai ‘Ah Feng’, mengakses akaun banknya pada April, lapor The Straits Times

Akaun bank tersebut digunakan oleh sindiket jenayah untuk pengubahan wang.

Ong juga dipercayai merupakan sebahagian daripada sindiket penipuan rentas sempadan yang mengendalikan pusat penipuan di Myanmar yang turut terlibat dalam penipuan penyamaran pegawai pemerintah menyasarkan rakyat Singapura.

Siasatan awal mendapati Ong terlibat dalam fungsi pentadbiran di pusat penipuan tersebut, dan dia melarikan diri ke Thailand selepas pusat itu diserbu pihak berkuasa Myanmar, kata pihak polis Singapura dalam satu kenyataan pada 13 November. 

Dia ditangkap oleh Polis Diraja Thai semasa satu serbuan di Bangkok dan dihantar pulang ke Singapura pada 11 November.

Setibanya di Singapura, Ong ditangkap dan kini berada dalam tahanan polis.

Kesnya akan dibicarakan semula di mahkamah pada 20 November. 

Untuk tuduhan membantu mengakses bahan komputer tanpa kebenaran, seorang pesalah boleh dipenjara sehingga dua tahun, didenda, atau kedua-duanya.

Lelaki kedua, Seah Jianhao, 44 tahun, didakwa dengan satu tuduhan membantu secara berkomplot untuk menipu dan satu tuduhan memiliki harta yang mungkin disyaki telah diperoleh daripada kegiatan jenayah. 

Kertas tuduhan menyatakan dia membuka akaun bank dengan HSBC pada 11 Oktober 2021, yang dia dakwa digunakan untuk kegunaan peribadi. 

Seah juga didakwa memiliki lebih $47,616 dalam bentuk wang tunai yang dipercayai diperoleh daripada kegiatan jenayah, antara Oktober dengan Disember 2021.

Jumlah tersebut kemudian dipindahkan ke akaun bank UOB miliknya.

Dia ditangkap oleh Polis Kemboja kerana terlibat dalam sindiket penipuan telekomunikasi di Krong Bavet, Kemboja, di mana dia berperanan sebagai penterjemah.

Dia ditangkap oleh polis Singapura setibanya di Singapura pada 11 November selepas dibawa pulang.

Penipuan boleh membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya.

Mereka yang memiliki harta yang disyaki sebagai hasil daripada kegiatan jenayah boleh dipenjara sehingga tiga tahun, didenda sehingga $150,000, atau kedua-duanya.

Pada 29 Oktober, pihak polis mengeluarkan waran tangkap terhadap 27 rakyat Singapura dan tujuh rakyat Malaysia yang disyaki terlibat dalam sindiket penipuan yang beroperasi di Kemboja.

Mereka dikatakan terlibat dalam 438 kes penipuan melibatkan kerugian sekurang-kurangnya $41 juta.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg