Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

10 kes disyaki darah beku antara penerima vaksin mRNA Covid-19 di S'pura

Sep 24, 2021 | 5:30 AM
7df8b558-65a4-4353-9162-061c0824e90e
-

TERDAPAT 10 kes darah beku di otak, atau trombosis vena serebrum (CVT), yang disyaki berlaku dalam kalangan penerima vaksin Pfizer dan Moderna bagi Covid-19 di Singapura.

CVT ialah jenis darah beku yang amat jarang berlaku dalam vena atau urat otak, yang boleh berlaku secara semula jadi tidak kira vaksinasi.

Terdapat beberapa faktor risiko dan ini termasuk sejarah penyakit pembekuan darah, trauma kepala dan penggunaan ubat-ubatan seperti ubat mencegah kehamilan serta ubat terapi pengganti hormon, lapor The Straits Times.

Setiap tahun, sekitar 1.3 hingga 2 dalam 100,000 orang mengalami penyakit itu, kata Penguasa Sains Kesihatan (HSA) dalam kemas kininya yang kelima mengenai keselamatan vaksin Covid-19.

Dalam kalangan kes CVT berkaitan vaksin yang disyaki berlaku, HSA berkata tiada yang maut.

Tidak dapat ditentukan jika kadar CVT yang lebih tinggi berlaku adalah berkaitan dengan penggunaan vaksin mRNA, kata HSA.

Pihak berkuasa itu sedang memantau kejadian seperti itu dengan teliti dan menilai kes-kes yang dilaporkan bersama panel pakar setempat.

Namun, HSA menarik perhatian sejauh ini tiada penguasa luar negara yang telah mengenal pasti CVT sebagai isu keselamatan berkenaan vaksin mRNA.

Menurut kajian kohort besar baru-baru ini yang dilakukan di Amerika Syarikat dan diterbitkan dalam jurnal perubatan, The Lancet, kadar kejadian CVT dalam kalangan mereka yang menerima vaksin mRNA adalah sebanding dengan kadar asas CVT dalam kalangan penduduk.

Ini bermakna kedua-dua vaksin Pfizer dan Moderna tidak dikaitkan dengan peningkatan kadar CVT.

Sementara itu, satu kajian kohort besar lain di United Kingdom telah membuat kesimpulan bahawa risiko kebanyakan kejadian pembekuan darah adalah jauh lebih tinggi setelah jangkitan Covid-19 dibandingkan dengan selepas vaksinasi.

Laporan HSA pula berkata, sebanyak 8.4 kes CVT berlaku dalam setiap 100,000 jangkitan Covid-19, menurut satu kajian setempat.

Ini lebih tinggi berbanding dalam kalangan individu yang telah diberi vaksin.

Penolong Profesor Christine Cheung dari Sekolah Perubatan Lee Kong Chian Universiti Teknologi Nanyang berkata selain pembekuan darah yang berlaku di otak selepas vaksinasi, pembekuan darah yang jarang berlaku juga telah didapati di bahagian lain seperti urat besar di perut, serta dalam arteri yang membawa darah beroksigen dari jantung ke pelbagai organ.

Dalam kalangan mereka yang mempunyai darah beku selepas vaksinasi, kebanyakan mempunyai jumlah platelet yang rendah.

"Ini ironis, kerana ini adalah sel darah yang biasanya mencegah pendarahan dengan membentuk darah beku," kata Dr Cheung.

"Sebaliknya apa yang didapati adalah pesakit memiliki antibodi tertentu yang dapat mengaktifkan platelet dan menyebabkan mereka tersalah berkumpul, dan kemudian menyumbat saluran darah penting.

"Punca sebenar pengeluaran antibodi tersebut masih belum dapat dipastikan," katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg