BAGI sebuah gerai makanan Melayu di Kelab Masyarakat (CC) Pasir Ris East, pelanggan utama mereka adalah penduduk estet perumahan serta staf yang bekerja di kelab masyarakat itu.

Ini termasuk pekerja beruniform, seperti jururawat daripada klinik Singhealth berdekatan, serta pegawai polis, yang diberi keutamaan di gerai itu tanpa diperlukan untuk beratur.

Dengan itu, pemilik gerai Best Food Forever Malay Cuisine, Cik Noor Hayathi Haji Mahmood, berkata beliau tidak sampai hati untuk menaikkan harga bagi semua masakannya meskipun kos beroperasi serta bahan makanan sudah menyebabkan kos mereka naik dalam purata 50 peratus.

Menurutnya, mereka telah cuba sedaya upaya untuk memastikan harga makanan mereka tetap berpatutan buat pelanggan mereka, yang kebanyakan sudah biasa membeli di gerainya.

Daripada sekitar 10 hidangan masakan Melayu yang dipapar di papan menu mereka, hanya tiga masakan sahaja yang harganya dinaikkan 50 sen lebih sebulan lalu.

Ia termasuk Nasi Rawon, yang dinaikkan kepada $6.50; Nasi Lemak yang kini berharga $3.50; dan set Nasi Sambal Goreng berharga $6.50 sekarang, lengkap dengan pelekat baru yang mencatatkan harga terkini itu di atas harga yang kali terakhir dinaikkan beberapa tahun sebelum pandemik.

"Kami naikkan harga untuk tiga masakan sahaja, yang lain kami tetap letak harga yang sama sebab kami tak sampai hati nak minta pelanggan kami bayar lebih untuk menikmati masakan kami," kata Cik Noor Hayathi, 53 tahun.

"Tapi ia tidak bermakna kos bagi masakan lain tak naik. Sebaliknya, semuanya terjejas dek kos yang semakin melambung baru-baru ini."

Cik Noor Hayathi mengendalikan gerai itu bersama suaminya dan anak perempuannya, Cik Ashiqin Tuan Anuar, serta sekitar lima pekerja.

Gerainya dibuka dari 4 pagi hingga 6 petang, dan jikalau ditutup lebih awal boleh dikenakan denda.

Antara lain, beliau memberi anggaran bahawa kos yang telah naik adalah sehingga sekitar $20,000 sebulan, termasuk duit sewa dan api air yang memakan perbelanjaan lebih $6,000 dan baru sahaja dinaikkan lagi $1,000 dalam dua tahun semasa pandemik.

Dari segi makanannya pula, beliau membandingkan harga Nasi Lemak dengan harga bahan setiap satu dalam masakan itu, ibarat hidangan a la carte.

Ayam kini berharga $1.80; telur 70 sen; nasi $1; sambal dalam 50 sen; ikan bilis pula 50 sen. Keseluruhannya mencatatkan harga dalam $4.50 - lebih sedolar berbanding harga yang dikenakan sekarang, namun sambal dan ikan bilis selalunya tidak dikira, kata Cik Noor Hayathi.

Beliau juga hampir tidak percaya kos bagi bahan makanan melambung baru-baru ini, seperti minyak masak, yang kini mencecah sekitar $52 setiap tong.

"Jadi kalau tengok dari segi harga berasingan begitu, nampaklah kita ada memakan kosnya sedikit. Tapi sebab bila pelanggan beli Nasi Lemak tu, ia ibarat macam satu pakej, jadi kami jual dalam harga yang berpatutanlah," katanya.

"Pada awalnya kami naikkan harga, ada juga pelanggan yang merungut, mereka kata kenapa harga mahal dan sebagainya, jadi kami cuba menerangkan kepada mereka supaya mereka tak terkejut.

"Tapi masakan dalam menu kami yang lain, macam Nasi Ayam Penyet, Mi Rebus dan Mi Soto, harganya tetap sama, sebab pelanggan kami pun penduduk dan pekerja yang bekerja dekat sini, dan kami bergantung kepada mereka untuk selalu datang, jadi ia ibarat bertolak ansur," kata Cik Noor Hayathi lagi.

Antara lain, gerai itu menawarkan khidmat tempahan secara langsung bagi kakitangan berseragam seperti jururawat di Poliklinik Singhealth dan pegawai polis di Pusat Kejiranan Polis di kelab masyarakat itu.

Itu satu inisiatif yang disediakan berdasarkan keputusan mereka sendiri dan bukan daripada pihak pengurusan kedai kopi kelab masyarakat itu, kendalian Canopy Coffee.

Selain itu, Cik Noor Hayathi juga bimbang kerana bilangan pelanggan semakin berkurangan dan duit sewa dijangka naik lagi.

"Sekarang, gaji kami pun dah tak seberapa. Kalau dulu untung boleh dapat dalam lima, enam ribu dolar. Sekarang seribu atau seribu dua.

"Jadi kami ambil gaji sahaja dan dengan kos semakin naik, kami gunakan gaji itu untuk menokok semula bayaran kos kami."

"Pada awalnya kami naikkan harga, ada juga pelanggan yang merungut, mereka kata kenapa harga mahal dan sebagainya, jadi kami cuba menerangkan kepada mereka supaya mereka tak terkejut." - Pemilik gerai Best Food Forever Malay Cuisine, Cik Noor Hayathi Haji Mahmood.