Topik diikuti
Pergi ke BHkuZaqy gesa hentikan dakwaan tidak berasas berkaitan peletakan jawatan Faishal
Zaqy gesa hentikan dakwaan tidak berasas berkaitan peletakan jawatan Faishal
Zaqy gesa hentikan dakwaan tidak berasas berkaitan peletakan jawatan Faishal
Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Encik Zaqy Mohamad, menggesa orang ramai supaya berhenti menyebarkan dakwaan yang tidak disahkan di media sosial berhubung peletakan jawatan mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Beliau berkata demikian selepas seorang wanita menafikan dakwaan yang mengaitkannya dengan peletakan jawatan mantan menteri tersebut.
Dalam hantaran Facebook Encik Zaqy pada 27 Julai, beliau berkata wanita itu telah dikenal pasti secara salah apabila gambar dan identitinya disebarkan di media sosial, sekali gus mendedahkannya kepada tuduhan palsu serta komen kesat.
“Dakwaan yang tidak berasas terhadap Prof Faishal serta seorang anggota masyarakat yang telah dikaitkan secara tidak wajar amat mendukacitakan.
“Tiada siapa, khususnya seorang wanita yang tidak bersalah, patut menjadi mangsa tuduhan palsu dan gangguan di media sosial,” tulis Encik Zaqy dalam hantarannya.
“Ramai antara kita masih sedang menerima dan mengharungi rasa sedih serta kecewa terhadap apa yang telah berlaku.
“Namun begitu, janganlah kita pula menjadi punca kesakitan yang sama kepada orang lain,” katanya lagi.
Beliau turut berkata Dr Faishal telah berkhidmat kepada masyarakat dengan penuh keikhlasan dan dedikasi selama bertahun-tahun, sambil berharap beliau dan keluarganya diberikan ruang privasi, belas ihsan serta penghormatan ketika melalui tempoh yang sukar ini.
Encik Zaqy mengingatkan bahawa masyarakat Melayu/Islam sentiasa menjunjung nilai adab, yang menghendaki kepentingan setiap individu berhati-hati dalam percakapan serta bertanggungjawab terhadap maklumat yang dikongsi.
“Marilah kita sama-sama memelihara adab, menyemak kesahihan sesuatu sebelum berkongsi, dan sentiasa menghormati maruah serta privasi orang lagi,” nasihat beliau.