Pengendali pengangkutan awam SMRT telah memulakan tindakan disiplin terhadap seorang kakitangannya yang tidak memaklumkan atau mendapatkan kelulusan bagi pekerjaan sampingannya.
Dalam satu hantaran di Facebook pada 15 Oktober, SMRT berkata pihaknya dimaklumkan mengenai aktiviti kerja sambilan Encik Ja’afar Abdul Samad, melalui laporan Channel News Asia (CNA) pada 14 Oktober, yang menyatakan bahawa kakitangan syarikat itu terlibat dalam prosiding undang-undang bagi menuntut kehilangan pendapatan sebagai pemandu kereta sewa privet.
Ketua Pegawai Sumber Manusia Kumpulan SMRT, Cik Lee Yem Choo, berkata syarikat itu akan mengambil tindakan disiplin yang sewajarnya selaras dengan dasar syarikat tersebut.
“Di bawah dasar sumber manusia SMRT, para pekerja tidak dibenarkan memegang pekerjaan sampingan tanpa pendedahan awal dan kelulusan rasmi daripada penyelia mereka,” kata Cik Lee.
“Dasar ini diwujudkan bagi memastikan komitmen penuh terhadap tanggungjawab operasi serta mengelakkan sebarang kemungkinan konflik kepentingan.”
Menurut CNA, pegawai teknikal SMRT itu terlibat dalam satu kemalangan kecil dengan seorang pemandu pada 19 Januari 2022.
Encik Ja’afar ketika itu berhenti di lampu isyarat merah di persimpangan Yishun Avenue 5 apabila Encik Lim Zhen Xiang, yang berhenti di belakangnya, tertidur dan tanpa sedar terlepas brek tangan, menyebabkan keretanya bergerak ke hadapan lalu melanggar kenderaan Encik Ja’afar – satu insiden yang digambarkan Encik Lim sebagai “pelanggaran kecil”.
Encik Ja’afar kemudian memfailkan saman berjumlah sekurang-kurangnya $75,000, namun mahkamah hanya menganugerahkan sebahagian kecil daripada jumlah itu.
Dalam hasil penghakiman yang diterbitkan pada 14 Oktober, Hakim Daerah Georgina Lum mendapati bahawa salah satu kecederaan yang didakwa Encik Ja’afar selaku plaintif sebenarnya merupakan kecederaan sedia ada.
Beliau turut mendapati bahawa tuntutan berjumlah $33,750 bagi 216 hari cuti sakit – sebagai ganti kerugian pendapatan daripada kerja sampingannya sebagai pemandu Grab – tidak selaras dengan pengisytiharan terdahulu kepada Penguasa Hasil Mahsul Singapura (Iras) yang menyatakan bahawa beliau hanya memperoleh $18,000 sepanjang tahun 2019.
Berita Harian telah menghubungi SMRT untuk maklumat lanjut.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg