Bayangkan sedang dalam perjalanan ke kerja, namun bas yang dinaiki tiba-tiba terhenti di Ekspreswe Rentas-Pulau (PIE) kerana masalah teknikal.

Tetapi setelah menaiki bas ‘penyelamat’, bas tersebut pun mengalami kerosakan.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, itulah pengalaman pengguna TikTok ‘kj0509jk’ yang telah memuat naik pengalamannya menaiki bas 972 pada 10 Jun sekitar 11.45 pagi.

Laluan bas 972 merupakan antara perkhidmatan pengangkutan awam yang sibuk, menghubungkan kawasan perumahan Bukit Panjang terus ke kawasan bandar seperti Orchard Road dan Dhoby Ghaut melalui lebuh raya Ekspreswe Bukit Timah (BKE) dan PIE.

Dalam TikToknya, beliau menunjukkan detik-detik penumpang yang terpaksa turun daripada bas itu di lebuhraya tersebut.

Namun, selepas menaiki bas kedua yang dihantar untuk mengambil penumpang terkandas, ia turut mengalami kerosakan, dan mereka terpaksa menunggu untuk menaiki bas yang ketiga.

Setakat ini, TikTok itu telah meraih lebih 132,000 tontonan dan menerima lebih 6,000 tanda suka.

Ruang komen juga menerima pelbagai reaksi warganet yang bersimpati dan terhibur dengan nasib penumpang-penumpang yang terbabit.

Seorang pengguna TikTok, ‘Dustbox’ berkata: “Saya tidak pernah mengalami kejadian bus rosak sebelum ini, tetapi anda pula melaluinya dua kali sehari.”

Pengguna ‘F K R N E’ pula meninggalkan komen: “Malang berganda.”

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Timbalan Pengarah Urusan Bas SMRT, Encik Vincent Gay, mengesahkan insiden tersebut dan menjelaskan kronologi kejadian.

“Pada sekitar jam 11.45 pagi pada 10 Jun, perkhidmatan Bas 972 sedang bergerak di sepanjang Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) apabila Kapten Bas mendengar bunyi luar biasa daripada bahagian bawah bas.

“Sebagai langkah berjaga-jaga, Kapten Bas telah memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan membuat aturan untuk memindahkan penumpang ke bas perkhidmatan 972 yang seterusnya.”

“Malangnya, apabila bas perkhidmatan 972 yang seterusnya itu tiba di tempat pengambilan, Kapten Bas mendapati terdapat kebocoran pada tayar belakang kenderaan,” kata Encik Gay.

Mengulas mengenai dakwaan video tular yang menunjukkan penumpang berada di ekspreswe, beliau menegaskan bahawa kebajikan penumpang dikawal rapi mengikut garis panduan syarikat sepanjang tempoh terkandas.

“Memandangkan insiden tersebut berlaku di sepanjang PIE, Kapten Bas kami telah mematuhi protokol keselamatan standard, dengan memastikan penumpang kekal berada di dalam kenderaan dengan selamat sementara menunggu bas seterusnya tiba.

“Kesemua penumpang kemudiannya telah dipindahkan dengan selamat ke bas 972 berikutnya menjelang 12 tengah hari.

“Kami menghargai kesabaran dan kefahaman kesemua penumpang yang terjejas,” kata Encik Gay lagi.