Tahun lalu, Ariq Azrael Muhammad Syarifee berdepan kekecewaan setelah tewas dengan lawannya dalam kejohanan bola sepak satu lawan satu di acara Ultimate Showdown Football Tournament.

Enggan menyerah kalah, pemain cilik berusia 12 tahun itu kembali bertanding pada 31 Mei tahun ini dan berjaya menewaskan lawan yang sama, Harrison Hughes, dalam kategori Bawah 12 Tahun (U12).

Malah, Ariq akhirnya berjaya meraih tempat pertama meski pertarungan sengit hingga berlanjutan ke masa tambahan.

Digelar juara, Ariq dijadualkan berangkat ke Sepanyol pada penghujung tahun untuk mengasah bakat dan berlatih dengan pemain profesional di sana.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), pemain berusia 12 tahun itu berkata dia tidak membiarkan ketewasannya mematahkan semangat untuk muncul sebagai juara.

Malah, ia menjadi pembakar semangat untuk melakukan yang terbaik.

“Saya rasa bangga dan gembira selepas akhirnya berjaya merangkul kejuaraan,” katanya yang kini menuntut di Sekolah Rendah Tampines North.

Ariq akui ia agak sukar untuk mengimbangi masa antara pelajaran dengan latihan bola sepak hampir setiap hari.

“Sokongan pihak sekolah dan keluarga menjadi motivasi utama untuk mengekalkan prestasi yang baik untuk kesemua aktiviti yang saya ceburi,” katanya yang sudah berkecimpung dalam sukan tersebut sejak Darjah Tiga.

Acara tersebut dianjurkan oleh Technical Football Training (TFT) yang memberi peluang kepada pemain muda menguji kemampuan menerusi format satu lawan satu secara ‘knockout’, dengan setiap perlawanan berlangsung selama tiga minit.

“Kami menyediakan ruang yang membolehkan pemain muda menguji kemampuan diri, membina keyakinan diri serta mempamerkan bakat mereka melalui pertandingan seperti ini,” kata pengasas kelab tersebut, Encik Mohammad Azri Majilan.

Edisi tahun ini mempertandingkan empat kategori iaitu Bawah 8 Tahun (U8), Bawah 10 Tahun (U10), Bawah 12 Tahun (U12) dan Bawah 14 Tahun (U14).

Kategori U14 pula dibuka khusus kepada pemain perempuan.

Ini merupakan tahun kedua TFT menganjurkan kejohanan tersebut.

Pada 2025, juara bagi setiap kategori berpeluang untuk mengikuti program pembangunan pemain di Portugal.

Tahun ini pula, para juara dijadualkan berangkat ke Sepanyol pada penghujung tahun.

“Sepanyol dikenali dengan budaya bola sepak yang kukuh serta sistem pembangunan pemain bertaraf dunia.

“Para atlet muda akan menjalani latihan intensif dan menyertai pertandingan musim sejuk di sana,” kata pemain bola sepak gaya bebas yang berusia 41 tahun itu.

Turut mencuri perhatian ialah Alma Iffah Rizqah Ahmad Farid yang berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori U14.

Ini merupakan kali keduanya menyertai kejohanan tersebut.

Meskipun tidak dapat mengikut serta ke Sepanyol, Alma, 12 tahun, berkata kejohanan seperti ini bukan sahaja memberi pendedahan kompetitif, malah membuka peluang untuk bertemu pemain baru dan menimba pengalaman dalam sukan bola sepak.

Pemain muda itu kini mewakili sekolah serta beberapa kelab bola sepak dan menjalani latihan hampir setiap hari sebagai persediaan menghadapi pertandingan.

Alma Iffah Rizqah Ahmad Farid, merupakan antara pemain pertama menyertai kategori U14 di acara Ultimate Showdown Football Tournament.
Alma Iffah Rizqah Ahmad Farid, merupakan antara pemain pertama menyertai kategori U14 di acara Ultimate Showdown Football Tournament. - Foto BH oleh ADAM MIFZAL FAIZAL

“Saya gembira dapat menjadi sebahagian daripada kategori U14 yang diadakan buat pertama kali. Ia memberi peluang kepada pemain perempuan untuk menunjukkan kemampuan mereka,” katanya.

Dia mula berjinak-jinak dalam sukan bola sepak sejak kecil apabila sering melihat abang-abangnya bermain, sebelum mula bermain secara aktif kira-kira dua tahun lalu.

Walaupun berpuas hati dengan pencapaiannya, pemain nasional Lion City Sailors itu berazam untuk kembali bertanding pada tahun hadapan dengan sasaran yang lebih tinggi.

Selain itu, beliau turut menantikan peluang menyertai pertandingan di Sweden menerusi program pembangunan bola sepak yang disertainya.

Difahamkan, sebanyak empat juara dijangka akan ke Sepanyol pada Disember.