Topik diikuti
Pergi ke BHkuPeletakan jawatan Faishal: Wanita nafi dakwaan terbabit
Peletakan jawatan Faishal: Wanita nafi dakwaan terbabit
Peletakan jawatan Faishal: Wanita nafi dakwaan terbabit
Seorang wanita yang menjadi sasaran spekulasi tular di media sosial telah tampil menafikan dakwaan yang mengaitkan dirinya dengan isu peletakan jawatan mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Muhammad Faishal Ibrahim.
Menerusi satu hantaran Facebook pada 27 Julai, wanita berkenaan, Cik Rasidah Caudal, menegaskan bahawa beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap pihak yang terus menyebarkan fitnah dan tuduhan palsu berhubung perkara itu.
Cik Rasidah mengeluarkan hantaran itu selepas penularan satu video di wadah TikTok yang memaparkan gambar serta akaun media sosial beliau, yang mendakwanya sebagai individu yang terlibat dalam isu berkenaan.
Video itu dimuat naik oleh pengguna ‘Nasz Rafz’ yang setakat ini tidak pernah memuat naik video lain.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini.
“Satu-satunya interaksi saya dengan beliau (Dr Faishal) adalah semasa dua acara kecergasan di Kelab Masyarakat (CC) Kampung Ubi yang dianjurkan oleh WEC (Jawatankuasa Eksekutif Wanita) CC Kembangan,” jelas beliau dalam hantarannya.
Bercakap kepada Berita Harian (BH), Cik Rasidah berkata beliau kini berada di Perancis bersama keluarganya untuk menguruskan perpindahan anak perempuannya yang bakal melanjutkan pengajian di negara itu.
“Saya rasa sangat sedih apabila melihat tuduhan yang telah dilemparkan terhadap saya,” katanya kepada BH.
Dalam hantarannya, Cik Rasidah turut menggesa warganet agar menghentikan penyebaran yang tidak berasas serta mencabar pihak yang membuat tuduhan untuk mengemukakan bukti yang sahih.
“Saya memohon agar mereka yang membuat hantaran atau meninggalkan komen berhubung tuduhan palsu ini menghentikan perbuatan tersebut, atau mengemukakan bukti yang nyata bagi menyokong dakwaan kononnya saya mempunyai kaitan dengan Dr Faishal.
“Bukti yang benar dan sahih, bukannya yang direka-reka.
“Sekurang-kurangnya, mereka yang menyebarkan khabar angin tanpa asas ini perlu mempunyai keberanian untuk mengemukakan bukti,” tulis beliau dalam hantarannya.
Selain itu, Cik Rasidah mengingatkan orang ramai bahawa penyebaran maklumat palsu adalah satu kesalahan di bawah Akta Perlindungan daripada Kepalsuan dan Manipulasi Dalam Talian (Pofma) dan beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menyebarkan tuduhan palsu itu.
“Menggunakan nama samaran ketika meninggalkan komen atau memuat naik kandungan tidak menjadikan anda tidak dapat dikesan, dan juga tidak melindungi anda daripada tindakan undang-undang,” ujarnya lagi.
Beliau menambah bahawa penyebaran khabar angin dan tuduhan palsu mempunyai kesan sebenar terhadap kehidupan seseorang dan menyifatkan perbuatan sedemikian sebagai “amat tidak bertanggungjawab.”
Sebelum ini, kenyataan rasmi berhubung peletakan jawatan Dr Faishal menyatakan bahawa Pejabat Perdana Menteri (PMO) telah menerima e-mel daripada seorang wanita mengenai interaksinya dengan mantan menteri tersebut.
Walau bagaimanapun, pihak berkuasa tidak pernah mendedahkan atau mengesahkan sebarang identiti individu yang terlibat.