Topik diikuti
Pergi ke BHkuNak hilangkan tekanan, pasangan main hujan
Nak hilangkan tekanan, pasangan main hujan
Nak hilangkan tekanan, pasangan main hujan
Ketika ramai memilih untuk berteduh dan berehat di rumah sewaktu hujan, pasangan suami isteri, Encik Adi Iskandar Osman dan Cik Nur Liyana Saripie pula memilih untuk bermain hujan demi menghidupkan kembali ‘jiwa kanak-kanak’ mereka.
Tindakan spontan itu turut menyentuh hati ramai netizen yang merindui kebebasan dan kegembiraan sederhana di tengah tekanan kehidupan dewasa.
Menurut Cik Liyana, idea tersebut tercetus secara spontan ketika beliau dan suaminya berasa penat akibat tekanan kehidupan dan rutin orang dewasa yang sibuk bekerja.
Demi menceriakan suasana dan melepaskan tekanan, beliau mengajak suaminya bermain hujan dan cadangan itu dipersetujui tanpa berfikir panjang.
“Sebenarnya hari itu ‘mood’ saya dan suami memang tidak begitu baik. Ada rasa penat dan sikit tekanan. Jadi saya ajak suami bermain hujan untuk hilangkan stres,” katanya yang berusia 30 tahun.
Guru prasekolah itu berkata beliau tidak menyangka video yang dimuat naik di TikTok itu akan menjadi tular kerana aktiviti seperti itu sudah biasa dilakukan mereka, malah sejak sebelum mendirikan rumah tangga lagi.
Beliau menjelaskan bahawa aktiviti spontan seperti bermain hujan, mendaki atau melakukan aktiviti luar bersama menjadi cara mereka mengeratkan hubungan selain melepaskan tekanan.
Sebagai seorang guru, beliau perlu sentiasa bersikap serius dan bertanggungjawab di tempat kerja, justeru saat-saat santai dan aktiviti seperti ini membolehkannya kembali menghayati sisi inner child atau jiwa kanak-kanak dalam dirinya.
Pasangan itu meluangkan kira-kira setengah jam bermain hujan di sebuah taman berdekatan rumah mereka yang terletak di Bukit Panjang.
Walaupun pada awalnya mereka berasa sedikit malu berjalan pulang dalam keadaan basah kuyup, mereka akhirnya berasa gembira kerana dapat menikmati detik tersebut bersama tanpa mengganggu sesiapa.
Menurut Cik Liyana, beliau turut terkejut dengan reaksi positif orang ramai terhadap video yang telah meraih sebanyak 53,000 tontonan di TikTok.
Ramai netizen meninggalkan komen bahawa video tersebut mengingatkan mereka agar lebih menikmati hidup, tidak terlalu memikirkan pandangan orang lain dan berani mencari kegembiraan dalam perkara-perkara kecil.
“Saya pernah cuba buat perkara macam ini setelah dewasa. Tiba-tiba ada seorang mak cik datang tepuk bahu saya dan suruh saya berteduh seolah-olah saya tak tahu apa-apa,” kata pengguna nama ‘@anahus86’.
Seorang lagi pengguna juga berkata:
“Comel juga tengok masih ada pasangan yang menikmati hidup mereka tanpa mengendahkan sesiapa walaupun tahu akan ada orang yang mengata. Teruskan jadi diri sendiri dan semoga hubungan kalian kekal kuat serta bahagia!”
Cik Liyana bersyukur kerana ramai dapat memahami mesej yang ingin disampaikan melalui detik sederhana itu.
Ketika dihubungi, beliau turut menggalakkan orang ramai, khususnya pasangan yang sedang melalui cabaran mengharungi alam dewasa, supaya memberi ruang kepada diri sendiri untuk menikmati saat-saat spontan dan menggembirakan selagi tidak memudaratkan atau menyusahkan orang lain.
“Menjadi dewasa tidak semestinya hidup perlu membosankan. Kadang-kadang kita cuma perlu kembali kepada diri kita yang dulu untuk mengembalikan semula rasa bahagia dan menyemarakkan lagi semangat,” katanya.
Beliau turut berseloroh bahawa walaupun bermain hujan dalam tempoh yang agak lama, beliau dan suaminya langsung tidak jatuh sakit selepas itu.
“Adi kata kalau ada di antara kita jatuh sakit, ia akan menjadi kali terakhir kami bermain dalam hujan. Jadi saya akan pastikan kami tidak jatuh sakit,” ujarnya.
