Pada usia 80 tahun, Cik Latipah Bidin, masih aktif ke kolam renang setiap minggu

Tetapi ia bukan untuk menghantar cucunya belajar berenang.

Sebaliknya, Cik Latipah bersama rakannya mempunyai rutin senaman di sana.

Beliau telah mengikuti kegiatan senaman dalam air kendalian ActiveSG selama lebih sedekad sebelum menyertai program, ‘Aqua Fun Fit’ kendalian Active Health di Kompleks Renang Choa Chu Kang baru-baru ini.

“Saya sangat suka bersenam dalam air.

“Lagipun saya rasa tahap kesihatan saya lebih baik sekarang,” ujar ibu empat anak dan nenek kepada 12 cucu itu, yang baru-baru ini menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-80 bersama rakannya pada Ogos.

Program, ‘Aqua Fun Fit’ kendalian Active Health merupakan program senaman dalam air selama 12 minggu menggunakan rintangan air dan peralatan seperti dumbel diperbuat daripada busa atau foam, untuk meningkatkan daya kekuatan dan keseimbangan warga emas.

Namun, bagi Cik Latipah, sesi mingguan itu bukan sekadar peluang untuk kekal aktif, malah ia menjadi ruang untuk beliau bertemu dan bersosial bersama rakan.

Selepas suaminya meninggal dunia pada 2003, beliau memutuskan untuk tinggal bersendirian di flatnya di Choa Chu Kang, meskipun dua daripada empat anaknya tinggal berdekatan.

Sebelum ini, beliau bekerja sebagai pembungkus di sebuah kilang gula di Jurong sebelum bersara lebih sedekad lalu.

Justeru, Cik Latipah berkata program, ‘Aqua Fun Fit’, memberinya peluang untuk keluar rumah, bertemu orang lain, dan mengelakkan dirinya daripada berasa bosan.

“Sesi senaman ini memberi saya peluang mendapat kawan baru dan tidak rasa bosan di rumah.

“Kalau tak, saya rasa saya akan terperap di rumah sahaja dan menonton televisyen,” katanya.

Cik Latipah Bidin (barisan depan, tiga dari kanan) bersama rakan-rakannya semasa mengikuti program, ‘Aqua Fun Fit’. Selain bersenam, sesi mingguan itu menjadi peluang untuk mereka bertemu dan bersosial.
Cik Latipah Bidin (barisan depan, tiga dari kanan) bersama rakan-rakannya semasa mengikuti program, ‘Aqua Fun Fit’. Selain bersenam, sesi mingguan itu menjadi peluang untuk mereka bertemu dan bersosial. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Sepanjang mengikuti program, ‘Aqua Fun Fit’, Cik Latipah turut menjalin persahabatan dengan sekitar 20 peserta lain daripada berbeza kaum.

Malah, apabila ditanya perkara yang paling dinanti-nantikan setiap kali menghadiri sesi itu, beliau tersenyum sebelum menjawab:

“Jumpa kawan-kawan dan ‘enjoy’ (berseronok).”

Menurut Cik Latipah, minatnya terhadap senaman dalam air bermula lebih sedekad lalu selepas seorang rakannya mengajak beliau mencubanya.

Ketika itu, beliau yang tinggal di flat bersebelahan kompleks renang tersebut sering melihat peserta lain bersenam di dalam kolam, namun tidak terus menerima pelawaan rakannya untuk turut serta.

Cik Latipah Bidin bersama rakan-rakannya mengikuti gerakan senaman yang dipimpin jurulatih, Encik Desmond Chow, semasa sesi program, ‘Aqua Fun Fit’.
Cik Latipah Bidin bersama rakan-rakannya mengikuti gerakan senaman yang dipimpin jurulatih, Encik Desmond Chow, semasa sesi program, ‘Aqua Fun Fit’. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

“Mula-mula saya perhatikan dahulu bagaimana mereka lakukan senaman dan kemudian tergerak hati mahu mencuba.

“Lama-kelamaan, minat saya terhadap senaman dalam air semakin bertambah, jadi saya datang ke sini setiap minggu,” jelasnya.

Meskipun sesi senaman itu tidak mengajar peserta cara berenang, Cik Latipah berkata beliau yang sebelum ini langsung tidak tahu berenang kini sudah mampu berenang sedikit selepas memberanikan diri untuk belajar sendiri.

Selain memberi peluang untuk bersosial, beliau menjelaskan bahawa senaman dalam air turut menjadi sebahagian daripada usahanya menjaga kesihatannya.

Cik Latipah, yang menghidap kencing manis selama lebih 30 tahun, berkata kegiatan fizikal, serta penjagaan pemakanan, membantunya mengawal tahap kesihatannya.

Cik Latipah Bidin, yang menghidap kencing manis selama lebih 30 tahun, menjadikan kegiatan fizikal sebagai sebahagian daripada usahanya menjaga kesihatan.
Cik Latipah Bidin, yang menghidap kencing manis selama lebih 30 tahun, menjadikan kegiatan fizikal sebagai sebahagian daripada usahanya menjaga kesihatan. - Foto BH oleh FANDY RAZAK

Menurutnya, doktor juga sering menggalakkannya supaya terus bersenam dan pernah memuji tahap gula dalam darahnya yang terkawal.

Cik Latipah turut menggalakkan warga emas lain agar tidak menjadikan usia sebagai penghalang untuk kekal aktif, sebaliknya memulakan senaman secara perlahan mengikut kemampuan masing-masing.

“Kalau kita mahu sihat, jangan malas dan mesti kuatkan azam untuk bersenam.

“Mulakan sikit-sikit dahulu.

“Walaupun hanya mampu berjalan di dalam air, itu pun sudah memadai berbanding duduk sahaja di rumah tanpa berbuat apa-apa,” nasihatnya.

Menurut Majlis Sukan Singapura (SportSG), ‘Aqua Fun Fit’ merupakan antara kegiatan yang boleh disertai warga emas selepas menamatkan program Menangani Kehilangan Otot Berkaitan Usia (CALM) 1.0 di Pusat Penuaan Aktif (AAC).

Mereka yang berminat boleh mendaftar untuk ‘Aqua Fun Fit’ dan program senaman air yang lain, menerusi wadah MyActiveSG+, serta menggunakan baki kredit ActiveSG untuk menampung sehingga 30 peratus daripada harga program.

Kalau kita mahu sihat, jangan malas dan mesti kuatkan azam untuk bersenam. Mulakan sikit-sikit dahulu. Walaupun hanya mampu berjalan di dalam air, itu pun sudah memadai berbanding duduk sahaja di rumah tanpa berbuat apa-apa.
Cik Latipah Bidin.
Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti
Laporan berkaitan