Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Hidangan bento bagi pelajar Hwa Chong undang kritikan dalam talian

Jan 7, 2026 | 4:52 PM
Komen-komen yang ditinggalkan pada hantaran di platform media sosial Reddit menyamakan hidangan bento tersebut dengan makanan penjara dan hidangan rumah masak tentera.
Komen-komen yang ditinggalkan pada hantaran di platform media sosial Reddit menyamakan hidangan bento tersebut dengan makanan penjara dan hidangan rumah masak tentera. - Foto INSTITUSI HWA CHONG

Institusi Hwa Chong (HCI) tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa gambar hidangan bento (makanan siap bungkus) sekolahnya yang tular di media sosial, sehingga mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen.

Kekecohan itu bermula pada 3 Januari lalu apabila gambar set bento yang dibekalkan oleh syarikat katering penerbangan, SATS, dimuat naik ke platform Reddit pada hari pertama sekolah.

Beberapa komen yang ditinggalkan menyifatkan hidangan tersebut kelihatan tidak menyelerakan dan menyamakannya dengan makanan penjara atau hidangan rumah masak tentera atau cookhouse.

Menjawab pertanyaan media, jurucakap HCI menyatakan bahawa pihak sekolah sedia maklum tentang kebimbangan yang dibangkitkan.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa gambar yang tersebar itu tidak menggambarkan kualiti sebenar, sukatan atau kepelbagaian pilihan makanan yang ditawarkan kepada 4,300 pelajar dan kakitangannya secara harian, lapor akhbar The Straits Times.

Sejak 2 Januari, HCI telah beralih ke model kantin hibrid yang menggabungkan bento dari dapur pusat dengan gerai yang menyediakan masakan segar di lokasi.

Pihak sekolah menjelaskan bahawa model baru ini diperkenalkan bagi menangani beberapa isu kritikal yang melanda sektor kantin sekolah secara menyeluruh.

Antara cabaran utama yang dihadapi adalah kekurangan tenaga kerja, di mana semakin sukar untuk mencari pengusaha gerai bebas yang sanggup mengendalikan operasi kantin secara sendirian.

Selain itu, lonjakan harga bahan mentah pada 2025 telah memberikan tekanan besar kepada harga jualan makanan.

“Memandangkan kekangan tenaga kerja yang menjejaskan operasi kantin sekolah secara meluas, model hibrid ini membolehkan kami memastikan pelajar terus mempunyai akses kepada hidangan yang seimbang dan harga yang munasabah,” ujar jurucakap itu lagi.

Beliau turut menambah bahawa sistem pesanan awal melalui aplikasi mudah alih turut diperkenalkan bagi menjimatkan waktu beratur semasa waktu rehat.

Melalui kerjasama dengan SATS, harga bento biasa dapat ditetapkan pada kadar $3.60, manakala pilihan premium pula dijual pada harga $4.80.

Pihak sekolah turut menegaskan bahawa setiap menu dirancang oleh pakar pemakanan bertauliah bagi memastikan keperluan pemakanan bagi pelajar dipenuhi.

Sebelum pelaksanaan rasmi, HCI sebenarnya telah mengadakan sesi rasa makanan bersama sekitar 200 wakil ibu bapa, guru, dan pelajar pada Oktober 2024.

Pihak sekolah turut menjemput wakil daripada kumpulan sokongan ibu bapa dan majlis pelajar sekolah itu pada 5 Januari lalu untuk mencuba sendiri makanan tersebut serta menyemak menu bento yang disediakan.

Hasil daripada sesi tersebut, rata-rata peserta memberikan maklum balas positif dan menyatakan bahawa makanan yang disajikan mencukupi dan ia juga tidak dihidangkan dengan suhu yang sejuk.

“Maklum balas menunjukkan bahawa porsi mencukupi, makanan dihidangkan panas, dan harga berpatutan. Peserta juga menyambut baik penggunaan perasa yang lebih ringan serta putaran menu yang tetap,” menurut kenyataan pihak sekolah.

Sebagai langkah seterusnya, HCI sedang dalam proses membentuk Jawatankuasa Semakan Kantin yang akan melibatkan wakil kakitangan, pelajar dan ibu bapa.

Jawatankuasa ini akan bertemu secara berkala untuk meninjau mutu makanan serta memberikan cadangan penambahbaikan terus kepada pihak SATS.

Transformasi ini sebenarnya seiring dengan inisiatif Kementerian Pendidikan (MOE) yang telah mula model perintis dapur pusat di Sekolah Menengah Yusof Ishak sejak 2022, sebelum merancang untuk meluaskannya ke lebih banyak sekolah menjelang 2026 sebagai penyelesaian jangka panjang.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg