Minat terhadap filem dan lagu Melayu klasik bukan sekadar menjadi hobi buat pengantin baharu, Muhammad Yusoff Mohd Rasid, dan Tara Nizam Kamarraj.

Sebaliknya, karya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menjadi ilham di sebalik video praperkahwinan mereka, yang mencuri perhatian ramai di media sosial baru-baru ini.

Video tersebut, yang dimuat naik di akaun media sosial Yusoff, mempunyai lebih 20,000 tontonan di Instagram dan kira-kira 17,000 tontonan di TikTok.

Yusoff, yang dikenali sebagai pempengaruh yang memartabatkan keindahan bahasa Melayu dalam lakonan sketsanya, berkata beliau dan Tara sememangnya meminati filem serta lagu Melayu lama, khususnya karya legenda seni Allahyarham P. Ramlee.

Yusoff, 30 tahun, dan Tara, 24 tahun, diijabkabulkan pada 10 Julai di National Service Resort & Country Club (NSRCC), sebelum mengadakan majlis persandingan pada keesokan harinya, 11 Julai.

Mengulas tentang inspirasi video praperkahwinan itu, Yusoff, yang kini bernaung di bawah syarikat media, HEPMIL Media Group, berkata mereka mahu menghidupkan semula suasana romantik yang sinonim dengan filem Melayu klasik, tetapi dalam latar Singapura moden.

“Dari segi suasana, kami mahu menghidupkan semula sifat usik-mengusik, saling bermanja dan bersahaja, yang sering dipaparkan dalam babak romantik filem Melayu klasik.

“Kami menggunakan lagu Getaran Jiwa sebagai lagu latar, selain menampilkan pakaian klasik dan gaya songkok senget.

“Itulah konsep yang kami berikan kepada rakan saya yang juga penerbit video, Taufiq Amaran, dan beliau berjaya menghidupkan idea itu dengan baik,” jelasnya kepada Berita Harian (BH).

Namun, Yusoff berkata video itu bukan sekadar penghormatan kepada karya Allahyarham P. Ramlee atau menampilkan unsur nostalgia.

Sebaliknya, beliau mahu menyampaikan mesej bahawa sesebuah hubungan tidak memerlukan dua individu yang serupa dalam semua perkara.

“Dari segi dialog dalam video, kami ingin menyampaikan mesej bahawa meskipun kami berdua mempunyai minat, cita rasa dan latar belakang yang berbeza, dalam bab cinta, ia tidak bermakna kami perlu melihat setiap perkara daripada sudut yang sama setiap masa.

“Walaupun kami dua orang berbeza dalam perjalanan hidup bersama, kami boleh mencipta sesuatu yang milik hanya kami berdua.”

Dalam video praperkahwinan mereka, Yusoff dan Tara menghidupkan semula aksi berjalan sambil melompat yang ikonik daripada filem, ‘Bujang Lapok’.
Dalam video praperkahwinan mereka, Yusoff dan Tara menghidupkan semula aksi berjalan sambil melompat yang ikonik daripada filem, ‘Bujang Lapok’. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM YUSOFF RASID

Tambah beliau, memasuki alam perkahwinan juga memberi makna baharu kepada perkataan yang sering digunakan pasangan bercinta.

Menurut Yusoff, istilah ‘sayang’ kini bukan lagi sekadar panggilan manja, tetapi datang seiring tanggungjawab sebagai seorang suami.

“Sekarang, ‘sayang’ bukan sekadar nama panggilan sahaja. Apabila dah jadi suami, perasaan sayang terhadap isteri datang sekali dengan tanggungjawab dan amanah.

“Bukan sahaja dari segi kewangan atau pendapatan, tetapi juga menjaga emosi, kesejahteraan dan kebahagiaan kami berdua.

“Kadang-kadang, duduk serumah bermaksud saya terpaksa menonton perlawanan pasukan Arsenal,” seloroh Yusoff, penyokong Chelsea.

Video praperkahwinan Yusoff dan Tara, yang dihasilkan oleh rakan mereka, Taufiq Amaran, menampilkan unsur nostalgia menerusi latar suasana kampung dan pakaian klasik.
Video praperkahwinan Yusoff dan Tara, yang dihasilkan oleh rakan mereka, Taufiq Amaran, menampilkan unsur nostalgia menerusi latar suasana kampung dan pakaian klasik. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM YUSOFF RASID

Menyentuh mengenai perancangan selepas berkahwin, Yusoff berkata fasa baharu itu turut membuka ruang untuk beliau dan Tara menghasilkan lebih banyak kandungan bersama.

Selain berkongsi perjalanan sebagai pasangan suami isteri, mereka juga bercadang menghasilkan sketsa ringan yang mengusik realiti kehidupan berumah tangga, serta berkongsi pengalaman mengembara bersama.

“Sebelum ini kami memang pernah menghasilkan kandungan bersama beberapa kali, tetapi selepas berkahwin, rasanya lebih banyak jenis kandungan yang boleh kami hasilkan.

“Selain berkongsi perjalanan kami sebagai suami isteri, saya kadangkala mungkin mencipta lakaran yang mengusik Tara secara berseloroh atau mempersendakan jangkaan masyarakat tentang bagaimana seharusnya suami atau isteri bersikap,” kongsinya.

“Dari segi suasana, kami mahu menghidupkan semula sifat usik-mengusik, saling bermanja dan bersahaja, yang sering dipaparkan dalam babak romantik filem Melayu klasik. Kami menggunakan lagu ‘Getaran Jiwa’ sebagai lagu latar, selain menampilkan pakaian klasik dan gaya songkok senget.”
Muhammad Yusoff Mohd Rasid, pempengaruh S’pura.