Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bermula sebagai gurauan, 3 remaja buka gerai makanan Barat di kedai kopi

Usia muda antara cabaran terbesar apabila pembekal persoal kredibiliti serta keupayaan mereka kendali niaga
Jan 6, 2026 | 10:19 AM
Kedai makanan Barat baru di Yishun, ‘Berjaya Western’, diasaskan oleh tiga remaja, (dari kiri) Encik Muhammad Qusyairi Abdul Rahman, Encik Hanz Haiqyl K Yazid dan Encik Mohamad Irfan Mohamad Tahar.
Kedai makanan Barat baru di Yishun, ‘Berjaya Western’, diasaskan oleh tiga remaja, (dari kiri) Encik Muhammad Qusyairi Abdul Rahman, Encik Hanz Haiqyl K Yazid dan Encik Mohamad Irfan Mohamad Tahar. - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Apa yang bermula sebagai gurauan dalam kalangan tiga sahabat berusia 19 tahun kini menjadi kenyataan apabila mereka membuka gerai makanan Barat pertama mereka di Yishun.

Encik Hanz Haiqyl K Yazid, Encik Mohamad Irfan Mohamad Tahar, dan Encik Muhammad Qusyairi Abdul Rahman, merupakan pelajar sepenuh masa yang memberanikan diri menceburi industri makanan dan minuman (F&B) walaupun tidak mempunyai sebarang pengalaman terdahulu.

Sejak usia 16 tahun, mereka telah mengusahakan sebuah syarikat penerbitan media yang menawarkan khidmat video untuk majlis perkahwinan, acara serta perniagaan F&B.

Ditubuhkan pada 2022, syarikat tersebut menjadi sumber pendapatan utama mereka sebelum melangkah ke dunia perniagaan makanan.

Ketika ditemui Berita Harian (BH), Encik Qusyairi, yang juga pelajar jurusan media penyiaran di Maktab Seni Lasalle, berkongsi idea membuka gerai makanan tercetus apabila mereka kerap menerima tugasan penerbitan media di sekitar kawasan Yishun.

“Pada awalnya, kami sering mendapat tawaran kerja di kawasan Yishun. Setiap kali melalui kawasan itu, kami ternampak gerai kosong di sebuah kedai kopi,” katanya.

Beliau menambah kawasan tersebut juga mempunyai pilihan makanan halal yang terhad.

Meskipun tiada seorang pun daripada mereka menetap di Yishun – dua tinggal di Woodlands dan seorang di Bishan, – mereka sering bergurau untuk membuka gerai di kawasan tersebut.

“Di kawasan ini memang tidak ada banyak pilihan makanan halal. Selalunya cuma ada kedai mamak dan tiada kedai alternatif seperti menjual makanan Barat.

“Jadi kami pun terfikir sesama sendiri, apa kata kalau kami buka gerai makan di sini?

“Pada mulanya, ia sekadar gurauan sahaja sesama kami kerana kami hanya ingin melihat bagaimana rasanya mencuba sesuatu yang baru,” tambahnya.

Gerai yang terletak di Blok 291, Yishun Street 22, yang dinamakan Berjaya Western itu ditubuhkan pada November 2025 dan dibiayai melalui pendapatan hasil kerja penerbitan media mereka.

Menurut Encik Hanz, sokongan daripada klien mereka terdahulu turut memainkan peranan penting dalam merealisasikan impian mereka.

“Ramai klien yang pernah bekerjasama dengan kami sudi memberi nasihat dan membantu membangunkan perniagaan ini.

“Antaranya termasuk bekas klien, The Brindin’ Productions, yang merupakan seorang cef,” kata pelajar jurusan Filem Digital dan Television di Politeknik Temasek (TP) itu.

Berbekalkan ilmu asas yang dipelajari melalui subjek Sains Makanan dan Khasiat Pemakanan (NFS) di sekolah menengah serta kemahiran dalam bidang penerbitan media, mereka mampu memahami asas penyediaan makanan dan memasarkan perniagaan mereka dengan lebih berkesan.

Kini, Berjaya Western menawarkan hidangan pasta ala carte berharga mesra pelajar, bermula daripada serendah $4.50 hingga $5.50.

Antara hidangan istimewa mereka pula ialah Pasta Tomyam yang dijual pada harga $5.50.

Antara hidangan yang ditawarkan di Berjaya Western di Yishun (dari atas mengikut putaran jam) ‘Chix Chop Fries Coleslaw’ ($7.50); Pasta Karbonara dan ‘Cajun Shrimp’ ($11); ‘Aglio Olio’ dan ‘Chix Cutlet’ ($9.50),  Pasta Tomyam serta dua paha ayam ($11); tiga paha ayam ($9); dan ‘Cheese Fries’ ($5).
Antara hidangan yang ditawarkan di Berjaya Western di Yishun (dari atas mengikut putaran jam) ‘Chix Chop Fries Coleslaw’ ($7.50); Pasta Karbonara dan ‘Cajun Shrimp’ ($11); ‘Aglio Olio’ dan ‘Chix Cutlet’ ($9.50), Pasta Tomyam serta dua paha ayam ($11); tiga paha ayam ($9); dan ‘Cheese Fries’ ($5). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Baru-baru ini, mereka turut memperkenalkan pilihan menu nasi, iaitu mushroom butter rice, sebagai alternatif kepada pelanggan yang lebih menggemari hidangan nasi berbanding pasta.

Di sebalik kejayaan, mereka mengakui usia muda menjadi antara cabaran terbesar apabila ada pembekal yang mempersoalkan kredibiliti serta keupayaan mereka untuk mengendalikan perniagaan sendiri.

Walaupun berdepan dengan keraguan tersebut, ketiga-tiga sahabat itu kekal berfikiran positif.

“Oleh kerana kami masih muda, ada yang ragu-ragu. Tetapi kami menghadapinya secara positif,” ujar mereka.

Selain itu, mereka turut berdepan cabaran mengimbangi pengajian sepenuh masa, mengurus syarikat penerbitan media serta menjalankan operasi harian gerai.

Kekangan ruang dan peralatan di gerai kecil di Yishun, di samping mengurus maklum balas pelanggan serta kemungkinan komen negatif di media sosial, turut menjadi ujian buat mereka.

Meskipun masa peribadi mereka amat terhad, minat yang mendalam terhadap bidang keusahawanan serta semangat untuk terus belajar mendorong mereka menikmati setiap proses perjalanan itu.

“Kami membahagikan masa antara kami bertiga supaya sekurang-kurangnya seorang daripada kami dapat turun ke gerai untuk memantau operasi semasa hari lapang masing-masing,” kongsi Encik Irfan yang juga menuntut di Politeknik Temasek.

Tiga sahabat itu berharap dapat memperkenalkan lebih banyak perisa baharu serta hidangan berkonsep gabungan (fusion) bagi menarik lebih ramai pelanggan, tidak kira usia dan generasi pada masa yang akan datang.

Alamat: Blok 291, Yishun Street 22, Best Cafe Coffeeshop, Singapura 760291

Waktu niaga: Isnin hingga Ahad, 10 pagi hingga 2.30 petang; 4.30 petang hingga 9 malam.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg