Berita Netizen
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kerja pembaikan di City Sprouts Bedok bagi atasi keprihatinan penyewa, penduduk

Jan 12, 2026 | 4:46 PM
Kerja pembaikan, City Sprouts Bedok,  keprihatinan penyewa, penduduk
Tular di media sosial berkenaan aduan yang dibuat oleh seorang peniaga tempatan tentang kawasan City Sprouts Bedok yang dikatakan mempunyai ruang yang tidak diselenggara dengan baik, struktur yang tidak rata serta pencahayaan yang tidak mencukupi. - Foto BH oleh DESMOND WEE

Satu jawatankuasa telah dibentuk bagi meneliti aspek keselamatan dan operasi hab masyarakat City Sprouts di Bedok susulan kebimbangan yang dibangkitkan oleh penyewa dan penduduk setempat, kata Menteri Negara Kanan (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Encik Tan Kiat How.

Encik Tan, yang juga Anggota Parlimen (AP) bagi GRC East Coast, berkata walaupun pasukannya tidak terlibat dalam pengurusan ruang tersebut, beliau berasa penting untuk melibatkan diri untuk mencari penyelesaian.

Sebuah video yang dimuat naik oleh perniagaan tempatan Chickata, yang mengkhusus dalam hidangan halal mookata (barbeku dan hotpot ala Thai), menyorot kebimbangan mengenai ruang yang tidak diselenggara dengan baik, struktur yang tidak rata serta pencahayaan yang tidak mencukupi.

Dalam video yang dimuat naik pada 2 Januari lalu di TikTok, Chickata turut membangkitkan isu keselamatan melibatkan longkang, dinding dan tangga.

View post on TikTok

Menurut Chickata, mereka juga menerima aduan daripada penduduk Bedok yang pernah terjatuh ketika menaiki tangga berhampiran premis tersebut akibat kawasan yang gelap.

Mereka turut memaklumkan bahawa aduan telah dikemukakan kepada pihak pengurusan City Sprouts dan Penguasa Tanah Singapura (SLA), selain menyalin aduan tersebut kepada AP kawasan itu, namun tiada maklum balas diterima ketika itu.

Susulan video pertama berkenaan, Chickata memuat naik satu lagi video yang menjelaskan isu-isu tersebut serta menjawab komen netizen pada 11 Januari.

Mereka turut berkongsi bahawa wakil dari pejabat Encik Tan telah menghubungi mereka pada 4 Januari, sebelum menjemput mereka ke pejabat pada keesokan harinya bagi memahami situasi dengan lebih lanjut.

Pada 11 Januari, Encik Tan memuat naik sebuah hantaran di media sosial mengenai kunjungan beliau ke City Sprouts bersama pasukan sukarelawan, sejurus beliau pulang daripada lawatan kerja.

Dalam lawatan tersebut, beliau mendengar sendiri kebimbangan yang disuarakan oleh penyewa dan penduduk sekitar.

“Kawasan ini mempunyai nilai istimewa kepada masyarakat setempat kerana ia terletak di bekas tapak pusat masyarakat dan menyimpan kenangan bagi ramai penduduk yang membesar di situ.

“Meskipun kami tidak terlibat dalam mengendali ruang ini, kami fikir penting untuk melibatkan diri – untuk mendengar, memahami dan membantu mencari huraian,” katanya.

Beliau menambah bahawa Jawatankuasa Penasihat telah dibentuk tiga minggu lalu bagi mengumpul maklum balas di peringkat akar umbi dan berinteraksi secara konstruktif dengan pengendali tapak berkenaan.

Cadangan penambahbaikan, khususnya berkaitan keselamatan dan pengaktifan semula ruang tersebut untuk manfaat penduduk, telah pun dikemukakan.

Beliau menggalakkan orang ramai agar terus menyalurkan maklum balas, sambil menegaskan bahawa pihak berkuasa memandang serius suara masyarakat dan akan berusaha memastikan ruang awam selamat serta lebih baik untuk semua.

Chickata juga memberi kemas kini terbaru di mana mereka berkongsi bahawa pada 9 Januari lalu, Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri, Encik Edwin Tong, sendiri telah melawat ke City Sprouts bersama wakil daripada SLA dan Persatuan Rakyat (PA) untuk berbincang bersama penyewa di kawasan tersebut.

Kerja-kerja pembaikan di City Sprouts akan disiapkan menjelang Tahun Baru Cina – yang bermula pada 17 Februari tahun ini – manakala tempoh pengecualian sewa turut akan diberikan kepada para penyewa di situ, kata Encik Tong, yang juga Menteri menerajui pasukan di GRC East Coast, kepada CNA pada 9 Januari lalu.

“Saya datang ke sini hari ini terlebih dahulu untuk memahami isu-isu yang dibangkitkan kerana saya bimbang dan berasa persekitaran di sini agak mencabar.

“Saya fikir kita perlu melakukan apa yang termampu bagi membolehkan perniagaan terus bertahan dan berkembang,” kata Encik Tong.

“Kami bersetuju mengenai langkah-langkah yang perlu diambil untuk menyelesaikan masalah ini, bergerak ke hadapan, serta mencari cara untuk menghidupkan semula ruang ini, meningkatkan jumlah pengunjung, dan mungkin menganjurkan bersama acara-acara di sini supaya penduduk sekitar sedar bahawa ruang ini kini dibuka dan perniagaan yang ada akan mendapat lebih pendedahan,” tambah beliau, lapor CNA.

Lawatan BH ke City Sprouts pada 13 Januari mendapati kerja-kerja penambahbaikan masih dijalankan.

Kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di City Sprouts, Bedok pada 13 Januari ketika BH mengunjungi kawasan tersebut.
Kerja-kerja pembaikan sedang dijalankan di City Sprouts, Bedok pada 13 Januari ketika BH mengunjungi kawasan tersebut. - Foto BH oleh DESMOND WEE

BH turut menemui seorang penyewa yang berkongsi bahawa terdapat perubahan yang dilihatnya, khususnya pada kemudahan tandas yang sebelum ini menghadapi masalah seperti pintu tidak boleh dikunci dan tempat membuang air yang tidak berfungsi.

“Saya dapat melihat perubahan hasil kerja pengubahsuaian ini walaupun ia baru sahaja dijalankan. Namun, saya harap ruang hadapan City Sprouts serta lif dapat diperbaiki juga,” kata individu tersebut yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Jeryl, 24 tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg