Seramai lima penunggang motosikal warga Malaysia dilaporkan mengalami kecederaan selepas terlibat dalam satu kemalangan berantai di Kilometer 0.6 Jalan Tambak Johor, menghala ke Singapura, sekitar 9.20 pagi pada 5 Januari.
Kemalangan itu menjadi tular di media sosial menerusi satu rakaman video yang memaparkan mangsa-mangsa di tengah laluan ketika waktu sibuk sedang ramai yang menuju ke tempat kerja.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Penolong Pesuruhjaya (ACP) Raub Selamat dalam satu kenyataan media pada 5 Januari mengesahkan kejadian tersebut melibatkan lima motosikal.
“Hasil siasatan awal mendapati kesemua mangsa dalam perjalanan ke tempat kerja di Singapura.
“Ketika kejadian cuaca baik serta lalulintas sibuk.
“Semasa kemalangan berlaku, salah seorang penunggang dipercayai sedang berhenti dan membuat pusingan ‘U’ untuk mengambil barang peribadi yang terjatuh, lalu datang empat penunggang motosikal yang lain tidak sempat mengelak lalu melanggar motosikal tersebut,” katanya.
Kesemua mangsa yang berusia antara 29 hingga 50 tahun itu mengalami kecederaan ringan dan telah dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk rawatan lanjut.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat.
Setakat ini, pihak polis Malaysia masih menjalankan siasatan lanjut dan sedang mendapatkan saksi tambahan yang berada di tempat kejadian untuk membantu siasatan.
“Pihak polis diraja Malaysia menyeru semua pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati semasa memandu.
“Sentiasa patuh terhadap undang-undang jalan raya dan pastikan rehat secukupnya ketika memandu dan kenderaan berada dalam keadaan yang baik untuk mengelakkan kemalangan,” tambah ACP Raub.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg