SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

10 tahun harungi IVF, 8 kali keguguran demi timang cahaya mata

10 tahun harungi IVF, 8 kali keguguran demi timang cahaya mata

Apr 10, 2026 | 5:30 PM

10 tahun harungi IVF, 8 kali keguguran demi timang cahaya mata

Bukan sekali dua tetapi lapan kali beliau perlu menanggung derita keguguran ketika berusaha mendapatkan zuriat.

Sepanjang sedekad, Cik Khairunisak Hussain tidak berputus asa mengharungi empat kitaran rawatan persenyawaan in vitro (IVF), dengan menjalani beberapa kitaran pemindahan embrio, termasuk embrio segar dan beku.

Berkat kesabarannya, penantiannya untuk menimang anak sendiri berakhir pada 2012, dalam kitaran keempat yang melibatkan dua embrio terakhir.

Salah satu daripadanya berjaya berkembang menjadi kehamilan yang sihat.

Selepas 10 tahun menunggu dengan penuh harapan, Cik Khairunisak dikurniakan seorang anak lelaki, Khaizuran Aidan Mohamed Asri, yang kini berusia 13 tahun.

Selepas hampir sedekad menanti, Cik Khairunisak dan Encik Asri akhirnya dikurniakan cahaya mata mereka, Khairuzan Aidan pada 2013.
Selepas hampir sedekad menanti, Cik Khairunisak dan Encik Asri akhirnya dikurniakan cahaya mata mereka, Khairuzan Aidan pada 2013. - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM ASRI AZMI

Ketika dihubungi Berita Harian (BH), ibu berusia 44 tahun itu mendedahkan bahawa kebanyakan kehamilannya terhenti antara minggu keenam dengan kelapan, termasuk dua kehamilan yang berlaku secara semula jadi.

“Saat paling mencemaskan adalah menunggu panggilan keputusan IVF. Ada kala kami sudah melihat degupan jantung bayi, namun akhirnya degupan terhenti,” kata guru bahasa Melayu itu.

Beliau mendirikan rumah tangga pada usia 21 tahun dan pada awalnya tidak merancang untuk mempunyai anak dalam masa terdekat.

Namun, selepas tiga tahun tidak mengandung, kebimbangan mula timbul.

Sekitar pertengahan usia 20an, beliau mendapatkan rawatan kesuburan, bermula dengan ubat-ubatan sebelum beralih kepada beberapa kitaran IVF.

Sepanjang rawatan, beliau berdepan cabaran fizikal dan emosi yang berat, termasuk menjalani prosedur berulang kali dan menanggung derita kehilangan bayi.

Tekanan itu turut dirasai dalam kehidupan harian, terutamanya ketika musim Raya, apabila beliau terpaksa berdepan dengan soalan tentang zuriat.

“Tidak semua orang memahami cabaran melalui IVF,” ujarnya yang mengakui situasi itu pernah menjejas emosi dan membuat beliau kurang selesa dengan sambutan perayaan.

Beliau berkongsi bahawa dari segi emosi, beliau mengalami ketidakstabilan, dipengaruhi tekanan dan perubahan hormon.

Keadaan ini turut memberi kesan kepada hubungan suami isteri.

Namun, sokongan suaminya, Encik Mohamed Asri Mohamed Azmi, yang sabar dan memahami menjadi kekuatan utama.

“Kami belajar untuk mengawal emosi, berkomunikasi walaupun dalam keadaan sukar, serta tidak membiarkan konflik berlarutan,” kata Encik Asri, seorang penasihat kewangan.

Setiap kehilangan diharungi bersama dengan tangisan, sokongan dan saling memujuk, tanpa memendam perasaan sendirian.

“Kami juga mendapatkan bantuan luar melalui kaunseling, sokongan agama, serta berkongsi pengalaman dengan pasangan lain yang melalui situasi sama. Pendekatan ini amat membantu kami dalam mengurus tekanan dan mengurangkan rasa terasing,” tambah Encik Asri, 44 tahun.

Seiring waktu, mereka belajar menerima ketidakpastian, menangani jangkaan dan menetapkan batas dalam pergaulan bagi melindungi emosi.

Walaupun berdepan tekanan sosial, mereka kekal fokus pada matlamat bersama untuk membina keluarga.

Kehamilan yang berjaya itu juga tidak mudah.

“Kami sangat berhati-hati dan sentiasa peka akibat kesan daripada pengalaman kehilangan yang berulang sebelum ini.

“Setiap perkembangan dicatat dan saya cuba memahami istilah perubatan yang dijalani serta peka terhadap sebarang perubahan atau tanda amaran ketika mengandungkan Aidan,” kata Cik Khairunisak.

Dari sudut emosi, mereka juga lebih berhati-hati.

Walaupun sedang hamil, pengalaman keguguran lalu membuatkan mereka tidak terlalu meletakkan harapan tinggi, sebaliknya mengawal perasaan dan jangkaan.

Pada usia kandungan 28 minggu, Cik Khairunisak berdepan risiko apabila serviks mula terbuka, memerlukan rawatan di hospital dan rehat di katil selama hampir sebulan.

Aidan akhirnya dilahirkan secara pramatang pada usia 32 minggu dengan berat kurang dua kilogram.

Kini, Aidan merupakan antara bintang cilik di kaca televisyen dengan bakat dalam menyanyi dan berlakon serta merupakan artis cilik buat Magika Raya JMJ 2026.

“Kami berjaya mengharunginya bukan kerana ia mudah, tapi kerana seorang kekal sabar, kededuanya terus komited dan kami belajar dari masa ke semasa untuk memikul kesedihan itu bersama, bukan secara bersendirian,” kata Cik Khairunisak.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg