SPH Logo mobile
Langgan|
success-icon

Topic followed successfully

Go to BHku

Zahid: Umno kekal antara parti tertua Asean, giat lahir pemimpin pelapis

Zahid: Umno kekal antara parti tertua Asean, giat lahir pemimpin pelapis

Umno setaraf parti politik lama di rantau ini termasuk Parti Tindakan Rakyat (PAP), Parti Demokrat Thailand, Golkar Indonesia
Apr 10, 2026 | 5:12 PM

Zahid: Umno kekal antara parti tertua Asean, giat lahir pemimpin pelapis

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. - Foto fail

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyatakan Umno, yang bakal menginjak usia 80 tahun pada 2026, kekal sebagai antara parti politik tertua di rantau Asean.

Legasi perjuangannya mempamerkan daya ketahanan dan peranan penting dalam pembangunan negara.

Menerusi hantaran Keluaran Khas Umno 80 di Facebook, Datuk Ahmad Zahid, menyamakan Umno dengan parti politik veteran serantau: Parti Tindakan Rakyat (PAP) Singapura yang menjangkau 70 tahun; Parti Demokrat Thailand yang mencecah 80 tahun; dan Golkar Indonesia yang berusia 60 tahun.

Beliau menambah, dengan sejarah yang panjang, Umno gigih membentuk barisan pemimpin pelapis demi kesinambungan perjuangan parti itu.

“Umno telah mengharungi pelbagai liku perjuangan dan pasang surut landskap politik, sekali gus mencerminkan pengalaman, ketahanan, serta peranan vitalnya dalam membina negara.

“Sejajar peredaran zaman, usaha melahirkan pelapis yang berwibawa amat mustahak bagi memastikan perjuangan terus hidup dan kekal relevan pada masa hadapan,” ujarnya dalam hantaran bertarikh 10 April.

Datuk Ahmad Zahid, Pengerusi Barisan Nasional (BN), turut mengimbau sejarah Umno, di mana Istana Besar Johor Bahru menjadi saksi kelahirannya.

Di situ, 41 pertubuhan Melayu berhimpun, bersatu hati dengan tekad mempertahankan tanah air dan maruah bangsa.

“Di Istana Besar Johor Bahru, 41 pertubuhan Melayu bersatu menubuhkan Umno. (Allahyarham) Datuk Onn Jaafar, dipilih sebagai pemimpin pertama. Inilah jawapan orang Melayu terhadap Malayan Union.

“Di bawah pimpinan Datuk Onn, Umno menjadi suara lantang, jawapan tegas kepada Malayan Union. Inilah titik permulaan, langkah pertama dalam perjalanan panjang negara menuju masa depan yang lebih berdaulat,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Umno ditubuhkan pada 11 Mei 1946. Tidak lama kemudian, bendera parti ditetapkan (29-30 Jun tahun sama), yang kemudian dinamakan Sang Saka Bangsa.

“Hanya tujuh minggu selepas kelahirannya, Umno sudah mula membentuk identiti perjuangannya. Bendera parti ditetapkan sebagai lambang kesatuan dan semangat bangsa.

“Bendera ini, Sang Saka Bangsa, kemudiannya dikenali sebagai simbol perjuangan, keberanian dan jati diri Umno sejak awal penubuhan.

“Dalam tempoh singkat, lahirlah bukan sekadar sebuah parti, malah, juga satu identiti yang menyatukan perjuangan orang Melayu demi mempertahankan tanah air,” tambahnya.

Datuk Ahmad Zahid, Ahli Parlimen Bagan Datuk (Perak), turut mengimbau detik Malaysia beroleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, iaitu 11 tahun selepas Umno lahir.

“Di Stadium Merdeka (Kuala Lumpur), tujuh laungan Merdeka! bergema, membelah langit dan menyentuh jiwa seluruh rakyat.

“Tanah Melayu akhirnya bebas. Merdeka tanpa setitis darah, hasil perjuangan, kesatuan dan kebijaksanaan pemimpinnya. Sebelas tahun selepas Umno lahir, impian menjadi kenyataan.

“Inilah detik sebuah bangsa berdiri sendiri, melangkah sebagai negara berdaulat, dengan semangat merdeka yang terus hidup selamanya,” kongsi beliau.

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg