DUNGUN (Terengganu): Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, membidas dakwaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, kononnya Kerajaan Perpaduan bercadang menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor kerana takut kalah pada pilihan raya berkenaan.

Datuk Ahmad Zahid, yang juga Presiden Umno berkata, sebagai mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin tidak seharusnya membuat andaian kerajaan akan mengambil tindakan menangguhkan pilihan raya seperti yang pernah dilakukannya ketika menerajui pentadbiran negara.

Beliau berkata kerajaan tidak akan mengikut langkah Tan Sri Muhyiddin yang mengisytihar darurat bagi menangguhkan pilihan raya ketika penularan wabak Covid-19 pada 2021 lalu.

“Jadi, janganlah ingat apa yang dia (Tan Sri Muhyiddin) buat, dia fikir orang lain akan buat macam dia juga,” katanya selepas merasmikan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Dungun di Terengganu, pada 20 April, lapor portal berita, Malaysiakini.

Datuk Ahmad Zahid mengulas kenyataan Tan Sri Muhyiddin yang dilaporkan berkata cadangan penangguhan PRN didorong rasa takut akibat kehilangan sokongan rakyat.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pontian (Johor), Datuk Seri Dr Ahmad Maslan, mencadangkan supaya kerajaan menangguhkan PRN Johor dan Melaka menyusuli krisis geopolitik Timur Tengah, dan mahu membawa usul mengenainya ke Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya itu, berkata cadangan itu disuarakan beliau berdasarkan pengalaman yang pernah menjadi Ketua Penerangan Umno Malaysia dan Setiausaha Agung Umno, di mana faktor ‘timing’ atau ketepatan masa dalam politik sangat penting.

Bagaimanapun, Datuk Ahmad Maslan kemudian mengakui ia adalah pendapat peribadi beliau dan bukannya pendirian atau keputusan parti.

Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Melaka, Encik Khoo Poay Tiong, juga dilapor mencadangkan penangguhan PRN kerana mahu mengurangkan beban rakyat yang berdepan kenaikan kos sara hidup akibat krisis tenaga sejagat ekoran konflik Timur Tengah yang berlarutan sehingga kini.

Datuk Ahmad Zahid berkata tidak timbul soal hasrat menangguhkan PRN di kedua-dua negeri itu kerana keputusan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah hak mutlak pemerintah negeri.

“Ini (PRN) terserah pada Tuan Yang Terutama (TYT), Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Sultan Johor dan Yang di-Pertuan Agong sendiri kerana hak pembubaran DUN terletak kepada mereka,” katanya lagi.

Tempoh penggal terakhir kerajaan Melaka adalah pada Disember ini, manakala Johor pula pada 2027.