Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga M’sia hutang kad kredit RM23b pada 2025
Warga M’sia hutang kad kredit RM23b pada 2025
Warga M’sia hutang kad kredit RM23b pada 2025
KUALA LUMPUR: Warga Malaysia telah membayar semula lebih RM23 bilion ($7.4 bilion) hutang kad kredit setakat Disember 2025, iaitu pada kadar rekod yang meningkatkan kebimbangan terhadap tahap hutang isi rumah yang tinggi, yang telah mencecah 85 peratus daripada Hasil Kasar Dalam Negeri (GDP).
Data yang diterbitkan di laman web Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan hutang pembayaran balik kad kredit mencapai RM23.67 bilion pada Disember 2025, sebelum menurun kepada RM23.38 bilion pada bulan pertama 2026.
Sementara itu, kredit yang disalurkan melalui kad kredit mencecah paras tertinggi RM24 bilion pada akhir 2025, lapor MalayMail.
Tidak jelas berapa banyak daripada hutang tersebut melibatkan pembayaran kepada syarikat yang menyediakan kemudahan Buy Now Pay Later (Beli Dulu Bayar Kemudian atau BNPL), yang berkembang pesat dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.
Perkhidmatan BNPL sering bertindih dengan penggunaan kad kredit, walaupun banyak juga yang menawarkan kredit secara berasingan.
Malaysia mempunyai nisbah hutang isi rumah kepada GDP kedua tertinggi selepas Thailand, walaupun Bank Negara Malaysia menyatakan tahap pinjaman isi rumah masih terkawal dan mempunyai risiko rendah kepada sistem kewangan, kerana sebahagian besar hutang adalah pinjaman perumahan.
Pihak berwajib jarang menjelaskan trend peningkatan hutang kad kredit di Malaysia ini, namun penganalisis secara umum berpendapat ia berpunca daripada peningkatan kos sara hidup dan aspirasi terhadap taraf hidup lebih tinggi, khususnya dalam kalangan penduduk bandar.
“Digabungkan dengan gaji yang tidak meningkat, ini menyebabkan ramai bergantung kepada kredit untuk perbelanjaan asas dan bukan asas.
“Inflasi dan harga yang tinggi menyebabkan rakyat Malaysia berdepan peningkatan kos sara hidup yang berterusan,” tulis penyelidik dari Universiti Taylors.
“Mengikut Kajian Perbelanjaan Isi Rumah yang diterbitkan DOSM, secara purata rakyat Malaysia membelanjakan RM229 sebulan untuk komunikasi, meningkat 950 peratus berbanding RM24 pada 1993,” tambah mereka.
DOSM turut memperincikan perbelanjaan bagi perumahan, air, elektrik dan gas, yang meningkat sebanyak 440 peratus, daripada RM245 sebulan pada 1993 kepada RM1,068 sebulan pada 2019.
Menurut kumpulan penyelidik terbabit, perbelanjaan bagi barangan runcit dan makanan di restoran masing-masing meningkat sebanyak 280 peratus dan 440 peratus.
Secara keseluruhan, perbelanjaan meningkat hampir empat kali ganda sejak 1993, daripada RM1,161 kepada RM4,534 sebulan, manakala pendapatan pertengahan hanya meningkat sedikit daripada RM1,500 kepada RM2,062 antara 2010 dengan 2020.
“Di sebalik peningkatan hutang ini ialah pertumbuhan gaji yang perlahan,” kata penganalisis terbabit.
Generasi hari ini memasuki pasaran pekerjaan dengan gaji yang belum seiring dengan peningkatan kos sara hidup yang semakin tinggi.
Satu kajian oleh TransUnion, sebuah agensi pelaporan kredit antarabangsa, mendapati 84 peratus pengguna Generasi Z di dunia mempunyai sekurang-kurangnya satu kad kredit pada suku keempat 2023, berbanding 61 peratus pengguna Milenial sedekad sebelumnya.
